Khamis, Disember 11, 2014

Kasih Isteri.....



Dari sebuah kisah benar, tidak berapa lama dahulu di mana seorang isteri kematian suaminya. Pada majlis menguruskan jenazah suaminya si isteri menangis-nangis merayu untuk memandikan sendiri jenazah suaminya. Namun rayuannya di tegah oleh orang ramai, kerana belum ada terjadi di kawasan itu, seorang perempuan memandikan jenazah lelaki. Malah mertuanya sendiri pun tidak membenarkan hajat si isteri.
"Ini janji kita berdua, jika abang meninggal dahulu, sayang mandikan abang, dan kalau sayang pergi dahulu, insyaAllah abang akan mandikan jenazah sayang" kata-kata itu masih segar dalam ingatan si isteri. 
Ketika seorang ustaz hadir bersama beberapa rakannya untuk memulakan mandi serta mengkafan jenazah suaminya, si isteri tetap terus berusaha mengajukan rayuannya untuk memandikan jenazah suaminya sendiri.
"Itu tidak menjadi masalah apabila isteri mahu memandikan jenazah suaminya, cuma cara adapnya berbeza sedikit" jawab ustaz tersebut dan menambah "Mari kita uruskan dengan segera jangan sampai melengah-lengahkan" Lalu ustaz dan beberapa orang yang lain membantu si isteri  memulakan memandi jenazah suaminya.
Si isteri dengan tenang membasuh muka jenazah suaminya sambil berkata "Inilah wajah suamiku yang ku sayang tetapi Allah lebih menyayangi abang. Moga Allah ampunkan segala dosa-dosa abang dan satukan kita di akhirat nanti".
Si isteri membasuh tangan jenazah suaminya sambil berkata "Tangan inilah yang mencari rezeki halal untuk kami. Tangan inilah yang sentiasa menjaga urusan kebajikan kami. Moga Allah memberimu pahala untukmu wahai suamiku".
Kini si isteri membasuh badan jenazah suaminya sambil berkata "Tubuh inilah yang selalu memberikan pelukan kasih sayang kepadaku dan anak-anak. Semoga Allah memberikan pahala berganda buatmu wahai suamiku".
Seterusnya si isteri membasuh kaki jenazah suaminya sambil berkata"Dengan kaki ini abang keluar mencari rezeki untuk kami, berjalan dan berdiri sepanjang hari semata-mata untuk mencari sesuap nasi. Terima kasih abang, semoga Allah berikan abang kenikmatan di akhirat dan pahala berlipat gandanya".
Selesai memandikan jenazah suaminya, si isteri mengucup sayu wajah jenazah suaminya seraya berkata "Terima kasih abang kerana saya amat bahagia selama menjadi isterimu. Terima kasih kerana meninggalkan zuriat-zuriat yang mewarisi kebaikanmu. Terima kasih di atas segala ilmu dan didikkan yang abang berikan selama hayatmu. Saya sebagai isteri abang, saya redha dengan pemergian abang demi kasih sayang Allah".

Betapa sucinya kasih sayang seorang isteri.
Aisyah r.a. berkata bahwa Rasulullah saw pernah bersabda
“Barang siapa memandikan mayat sambil menyempurnakan segala amanatnya, tidak membicarakan segala aib yang ada pada dirinya, maka orang yang memandikan itu bersih dari dosa, laksana seorang anak yang baru dilahirkan oleh ibunya”
Kemudian Rasulullah bersabda lagi
“Akan lebih utama yang memandikan mayat itu adalah kerabatnya, kalau dia mampu, tetapi kalau dia tidak mampu, siapa saja yang dipandangahlinya, teliti, dan amanat”
( Hadis Riwayat Ahmad )
Rasulullah saw bersabda pada isterinya
“Aisyah, jika kamu meninggal terlebih dahulu, aku yang akan memandikan dan mengkafanimu serta akulah yang akan menyalati dan menguburkanmu” 
( Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah )



Tiada ulasan: