Isnin, Ogos 25, 2008

Majlis Ilmu

Semasa saya menjadi pengerusi forum di Masjid Fatimah Az Zahra' yang panelistnya Dato' Hassan ALi (Exco Agama Selangor) dengan Al Fadhil Al Ustaz Roslan bin Mohammad dari Universiti Malaya, saya amat tertarik dengan forum yang memuatkan banyak maklumat-maklumat ilmu. Antaranya ialah satu hadis nabi yang dibaca oleh Ust Roslan. Hadis yang dibaca itu memberitahu tentang "HIDANGAN ALLAH", majlis ilmu diumpamakan oleh Rasulullah Hidangan ALLAH, atau jemputan ALLAH. Tidakkah kita mahu menerima undangan ALlah melalui majlis ilmu ini.
Ada lagi yang juga amat menarik yang diberitahu oleh Dato Hassan, kata Dato' masjid-masjid adalah "Universiti Rakyat", iaitu tempat rakyat menuntut ilmu. Beliau mengharapkan agar masjid-masjid ini menyuburkan peranan masing-masing, agar universiti rakyat ini sentiasa segar dengan ilmu.
Itulah beberapa perkara menarik yang sempat saya sedutkan untuk rakan-rakan sekelian.
Wasallam.

Rabu, Ogos 20, 2008

SUMPAH....ANTARA PANDANGAN MUFTI DAN PIMPINAN PAS

Salam sejahtera buat semua teman-teman....
Dah sah isu kali ini ialah sumpah yang dibuat oleh Saiful terhadap DSAI. Ramai yang beri pendapat terutama dari pimpinan PAS. Hari ini pula, awal pagi lagi Mufti Wilayah Persekutuan mulai menjelaskan pandangan-pandangan ulama yang berkaitan dengan sumpah. Dari satu sudut, rakyat Malaysia dapat ilmu yang menyentuh pertelingkahan Ulama tentang satu isu yang jarang dikedepankan iaitu "hukum aiman/sumpah".
Cuma persoalan pertama yang bermain dibenak saya ialah mengapa sumpah ini dilakukan agak tergesa-gesa, tanpa pemantauan resmi dari pihak-pihak penting seperti Majlis Fatwa, Jakim, NGO-ngo. Kedua, mengapa majlis sumpah ini dilakukan sehari sebelum pernamaan calon di Permatang Pauh. Ketiga, kenapa sumpah ini tidak diisytiharkan, seolah-olah dibuat secara tertutup. Khabarnya pihak akhbarpun tidak semua dijemput, begitu juga pihak tv...bukan semua yang dijemput, pelik juga. Keempat, lafaz sumpahnya yang jelas ada kesilapan. Itu sekadar beberapa persoalan yang mungkin dapat dijawab oleh sesiapa yang sudi menjawab.
Bila mendengar beberapa pandangan ulama yang dikemukakan oleh pihak-pihak tertentu, saya rasakan bahawa kadang-kadang golongan agama sukar membaca permainan politik sesetengah ahli politik. Kita pernah membaca ungkapan kata
كلمة حق يرادُ بها باطل
Maksud ungkapan di atas ialah "kalimah yang benar tetapi bertujuan batil/jahat". Perkataan di atas yang boleh dianggap sebagai kaedah mengenali sesuatu yang di belakang tabir. Tidakkah kita merasa bahawa suasana sekarang semacam ada kait mengait dengan pilihanraya kecil di Permatang Pauh. Namun, dalam saat pertembungan politik ini, golongan agama yang berjawatan penting seringkali terlibat dengan unsur-unsur "tadakhul siyasi" atau lebih tepat dengan maksud "penglibatan politik."
Sumpah telah disebut dalam firman ALLAH, dengan qaul-Nya :
ولا تجعلوا اللهَ عُرضةً لأَيْمانِكم
Maksud : "dan janganlah kamu jadikan nama ALLAH dalam sumpah kamu sebagai benteng" - Al Baqarah 224.
Harmalah berkata, aku pernah mendengar Imam As Syafie berkata "Aku tidak pernah bersumpah dengan nama ALLAH samada aku benar ataupun dusta".
Memang ulama banyak bertelingkah dalam sumpah, ada yang menyebutkan cara-caranya, ada yang menekankan pada lafaznya yang tertentu, ada juga yang tidak menyandarkan dengan sebutan kalimahnya cukup sekadar mengatakan akau bersumpah dan banyak lagi.
Apabila ulama mutakhir bercakap tentang sumpah, maka tidak dapat tidak mereka akan mengambil pandangan-pandangan tertentu ulama zaman silam. Pihak tertentu dalam kerajaan yang mempunyai authority dalam agama perlu bersidang dan menetapkan cara mana yang diguna pakai.
Dalam isu sumpah Saiful ini, pihak yang terlibat terutama majlis fatwa perlu memantau perlaksanaan sumpah ini. Adakah sesuai sumpah ini berlaku tanpa kehadiran pihak ke dua ? itu perlu dijelaskan. Bersambung....

Jumaat, Ogos 01, 2008

ANTARA KETAATAN DENGAN NAFSU MANUSIA


Salam sejahtera buat semua rakan-rakan yang sentiasa peka dengan perkhabaran semasa yang serba tidak menentu sekarang ini. Ramai rakan-rakan yang memberikan pandangan dan fikrah dalam isu semasa ini. Orang berjuang sebenarnya mempunyai tempat istimewa di sisi ALLAH Ta'ala, sebagaimana firman ALLAH dalam ayat 20 surah Taubah :


الذين ءامنوا وهاجَروا وجاهدوا في سبيل الله بأموالهم وأنفسهم أعظمُ درجةً عندَ الله وأولئك همُ الفائزون


(Orang-orang beriman dan yang berhijrah serta yang berjihad pada jalan Allah dengan harta benda mereka dan jiwa mereka adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah, dan itu orang-orang yang mendapat kemenangan)


Walaupun kita mempunyai darjat yang tinggi di sisi Allah, tetapi tidak bermakna kita boleh berjuang tanpa wujudnya perancangan dan peraturan.


Berjuang secara bersendirian misalnya tanpa berjemaah bukannya cara sunnah Nabi, kerana kita tahu penerusannya tidak akan berlaku, kerana Da'i itu tidak mempunyai pelapis kerana dia seorang sahaja dalam perjuangannya.


Perjuangan mesti ada organisasi, ada kepimpinan, ada matlamat, ada tujuan dan banyak lagi kerana ini jelas disebut oleh Saidina Ali,


الحق بلا نظام يغلبه الباطل بالنظام


(Kebenaran tanpa susunan/sistem akan dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun/bersistem)


Isyarat kepada organisasi adalah jelas dalam perkataan Saidina Ali ini. Ramai pejuang Islam mengetahui perkataan ini, malah ada yang menggunakannya untuk berhujjah dan berdalil denganya.


Memang banyak sebab mengapa perjuangan itu mesti dengan organisasi, yang paling senang difahami ialah seperti contoh yang pernah disabdakan Rasulullah, baginda mengambil contoh seekor kambing yang bersendirian lebih senang ditangkap serigala daripada kambing yang berada dalam kumpulan.


Bila kita berada dalam organisasi, ataupun lebih terkenal dengan sebutan "jemaah' maka kita akan didedahkan pula dengan sabda Rasulullah :


تلزم جماعة المسلمين وأمامهم


(Beriltizamlah dengan Jamaah Muslimin dan juga kepimpinannya)


Hadis inipun orang jemaah biasa baca, biasa hafal, dah berkurun rasanya hadis ini dilemparkan di tengah-tengah warga jemaah. Kepimpinan itu perlu dipatuhi dan ditaati, itu syarat dan terma yang perlu dipatuhi oleh setiap warga jemaah. Kerana ia akan menguatkan jemaah, mengelakkan perpecahan, wujud rasa tanggungjawab, juga wujud penghormatan kepada orang yang memimpin dan banyak lagi manafaat serta hikmahnya.


Berkenaan dengan kepimpinan lagi, kita biasa dengan hadis yang menggambarkan sebuah kapal, bagaimana Rasulullah memperlihatkan kepada warga jemaah betapa pentingnya kepatuhan kepada pemimpin walaupun ada warga jemaah yang tidak setuju dengan keputusan kepimpinan atasannya. Rasulullah memberi kiasan sesebuah organisasi samalah seperti penumpang di sebuah kapal, mereka telah dibahagikan kepada dua kumpulan, satu duduk di atas, dan satu lagi di bahagian bawah. Orang di bawah, jika memerlukan air maka mereka mesti mintanya dari orang di atas. Oleh kerana ada yang tidak suka meminta dari orang atas, maka mereka mencadangkan agar ditebuk saja kapal ini untuk mendapatkan air. Rasulullah menyebut, jika dibiarkan, maka semua di dalam kapal itu akan binasa, jika ditegah maka semua akan selamat.


Hadis ini juga memberi gambaran betapa rapat hubungan organisasi dengan kepimpinan, seolah-olah mahu dinyatakan betapa kepatuhan kepada kepimpinan itu amat wajib dan mesti hukumnya.


Skop kepatuhan dan ketaatan juga diberikan oleh baginda, sabda Rasulullah :


السمع والطاعة مالم يؤمر بمعصية فإن أُمروا بمعصية لا سمع ولا طاعة


(Dengar dan patuh jika tidak diarah kepada maksiat, sekiranya disuruh kepada maksiat maka tiada dengar dan tiada patuh lagi)


Skop ini memang luas dan lebar, mencakupi semua perkara. Kerana menjaga organisasi perjuangan yang memperjuangkan Islam, samalah juga menjaga Islam itu sendiri. Selain dari hadis-hadis dan ayat-ayat di atas, Rasulullah juga pernah menyebutkan bahawa, jika pemimpin kamu itu dilantik dari hamba yang rambutnya seperti biji anggur sekalipun, kamu mesti patuh dan taat. Semuanya ini menggambarkan kepatuhan.


Kepimpinan yang menerajui jemaah pula merupakan golongan cendikiawan agama yang warak dan tawadhu' serta mempunyai ilmu dan juga adalah ahli ibadah yang cekal serta rajin, inilah ciri-ciri kepimpinan yang mendapat keberkatan dari ALLAH.


يَرْفَعُ اللهُ الذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ والذِينَ أُوتوا العِلْمَ دَرجات - سورة المجادلة : 11


(Allah meninggikan orang-orang beriman dan mereka yang berilmu dengan beberapa darjat)


Tidakah mereka ini mempunyai tempat yang istimewa di sisi ALLAH. Kalau ALLAH sendiri memberi penghormatan kepada mereka, maka terlebihlah lagi kita. Kita juga mestilah sentiasa memuliakan, menghormati serta mendengar cakapnya, juga arahannya, meskipun kita tidak menyukai apa yang diarahkannya.


Ulama yang menjadi pemimpin mempunyai dua perkara yang menjadi penyebab mereka perlu dipatuhi, pertama kerana mereka pemimpin dan kedua kerana mereka ulama'. Apakah kita boleh menengking, mencaci serta memaki hamun mereka hanya kerana kita tidak bersetuju dengan arahannya ataupun tindak tanduknya yang memang tidak bercanggah dengan syara' ? Firman ALLAH Ta'ala :


وعسى ان تكرهوا شيئا وهو خير لكم وعسى أن تحبوا شيئا وهو شرلكم - 216 البقرة


(Dan kemungkinan apa yang kamu benci sebenarnya baik bagimu, dan apa yang kamu sukai sebenarnya tidak baik bagimu)


Allah menyuruh kita bersabar dengan mereka yang warak dan rajin beribadah, jelas dinyatakan dalam ayat-Nya:

Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran (Al Kahfi 28)

Ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis nabi menjadi rujukan kepada setiap warga jemaah, bah kita telah dilatih dalam banyak tamrin dan bengkel. Segala fikrah dan idea da'wah dimuatkan dalam kantong pemikiran kita, kita terbina dengan pentarbiyahan yang cukup mantap dan panjang masanya. Semuanya itu hasil dari didikan pimpinan ulama kita......
Tetapi sayangnya apabila sesuatu arahan dan tindakan pemimpin tidak kita senangi, kita boleh melupai semua yang diajar, semua yang dibimbing, semua ayat-ayat yang dibaca dan kita juga melupai semua hadis-hadis yang diajar.
Saidina Umar pernah menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap keputusan Rasulullah berdamai dengan Kuffar Quraisy sehingga termeterainya perjanjian hudaibiyyah, malah bukan Umar sahaja, majoriti umat Islam yang terdiri dari kibarussohabah tidak berpuas hati. Tetapi Rasulullah tetap meneruskannya, hasilnya apa yang tidak disukai itu menjadi satu tindakan yang menguntungkan umat Islam dan Islam sendiri. Bukankah ini satu peristiwa yang selalu kita sebut dalam usrah-usrah dan tamrin-tamrin, apakah kita tidak mampu menghubungkannya dengan zaman kita, dengan situasi kita dengan muzakarah kita, dengan muqobalah kita????? Kita merasakan penyesalan yang amat sangat dengan sikap sesetengah manusia yang konon dah matang berjuang tetapi bertindak seperti baru sehari dua dalam saf perjuangan. Tanpa memikirkan dengan lebih jauh kita dah bertindak memberikan pandangan yang akhirnya merugikan jemaah.......sedangkan fikrah yang kita bawa sekadar rasa hati kita bukan keputusan syura dan sebagainya.
Rasa memadai sekadar ini....bersambung........