Khamis, Disember 11, 2014

Imam Malik bin Anas


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani..
Alhamdulilah,segala puji hanyalah bagi Allah…
Imam Malik rahimahullahu taala (93h-179h) (1)
Beliau ialah Imam Malik Bin Anas Bin Malik Bin Abi A’mir Al-Asbahiy yang dinisbahkan kepada Dzi Asbah,iaitu suatu kabilah bangsa arab di Yaman,salah seorang nenek moyangnya telah berhijrah dari Yaman ke Madinah dan menetap disitu,dan datuknya Abu Amir merupakan seorang sahabat nabi yang mulia yang telah menyertai hampir semua siri peperangan bersama baginda nabi kecuali peperangan Badar.
Imam Malik dilahirkan pada tahun 93 hijrah mengikut riwayat yang masyhur,dan ada juga yang mengatakan beliau dilahirkan pada 97 hijrah,beliau dilahirkan di Kota Madinah Al-Munawwarah,beliau telah hidup disitu,belajar disitu dan beliau tidak pernah keluar daripada Kota Madinah kecuali hanyalah ke Kota Mekah untuk menunaikan haji,kemudian beliau akan balik ke Madinah semula,menjadi pengajar,pembimbing dan penyampai hukum-hakam Allah Taala pada setiap masalah yang disoal manusia kepadanya,sehinggalah beliau telah pergi menemui Allah Taala pada tahun 179 hijrah,dan beliau tergolong daripada golongan Tabii’ Tabiien mengikut riwayat yang sahih.
Syeikh-syeikh beliau :
Imam Malik telah menceburi bidang ilmu semenjak beliau masih kecil lagi,dan beliau telah berguru dengan ramai ulama’ Kota Madinah,syeikh pertama yang beliau lazimi,bergaul denganya dalam jangka masa yang lama ialah Abdul Rahman Bin Hurmuz,beliau juga telah berguru dengan Nafi’ Bin Abi Nuaim,Hisyam Bin Urwah dan ramai lagi syeikh-syeikh lain yang terdiri daripada para perawi hadith baginda nabi dan Ahli Feqh,dan syeikh beliau dalam bidang feqh ialah Rabia’h Bin Abdur Rahman yang lebih dikenali sebagai Rabiatul Ra’yi.
Imam Malik telah mengajar Ilmu Hadith dan Ilmu Feqh dan mengeluarkan fatwa kepada penduduk Kota Madinah ketika beliau baru berumur 17 tahun,ianya selepas para syeikh beliau melihat bahawa beliau sudah mampu untuk berbuat demikian,dan telah diriwayatkan daripada beliau : ( Dan tidaklah aku boleh berfatwa dan mengajar hadith sehinggalah aku telah disaksikan oleh 70 orang syeikh daripada golongan ahli ilmu bahawa aku dibenarkan berbuat sedemikian…)
Dan Imam Malik dianggap sebagai Imam Ahli Hijaz,sepertimana Imam Abu Hanifah yang menjadi imam di Iraq,dan kedua-dua imam ini menjadi imam di madrasah feqh masing-masing di zaman mereka,iaitu Madrasah Madinah di Hijaz,dan Madrasah Kufah di Iraq..
Dan sesungguhnya Imam Malik mempunyai keutamaan yang besar dalam menyampaikan hadith nabi dan feqh islami,kerana beliau merupakan seorang penyampai hadith yang benar,dalam ilmu pengetahuanya,wara’ dan mempunyai kedudukan yang tinggi,disebabkan itulah betapa ramainya fuqaha’ dari berbagai ceruk dunia datang daripada jauh semata-mata ingin berguru dan mengambil ilmu daripada beliau,dan sesungguhnya betapa ramainya ulama’ dari berbagai negara islam telah meriwayatkan ilmu daripada beliau,antaranya dari Yaman,Syam,Iraq,Khurasan,Mesir,Maghribi (ehem ehem) dan juga dari Andalus,dan sesungguhnya para ulama’ telah bersepakat di atas kealimanya, kebaikkan perihal agamanya dan kewarakkanya dan kefahamanya yang jitu terhadap sunnah nabi yang mulia,dan beliau juga telah dipuji oleh kebanyakkan ulama’,dia antaranya ialah Imam As-Syafie’ yang berkata : « Malik ialah hujjatullah(bukti kekuasaan Allah ) di atas ciptaaNya » dan Ibnu Mehdi yang berkata : « Tidaklah aku pernah melihat seorang pun yang lebih sempurna aqalnya dan tersangat taqwanya kepada Allah daripada Malik » dan berkata : « Dan tiadalah di atas muka bumi ini yang lebih beriman kepada hadith rasulullah sallallahu alaihi wassalam daripada Malik »
Abu Ja’far Al-Mansur pernah menginginkan untuk menjadikan kitab Al-Muwattho’ Imam Malik sebagai rang undang-undang yang perlu diaplikasikan ke setiap negara islam,tetapi Imam Malik enggan beliau melakukan sedemikian dan telah berkata kepadanya : « Jangan lakukanya ! kerana para sahabat masih berselerakkan di berbagai tempat,dan mereka telah meriwayatkan hadith-hadith selain hadith-hadith dari Hijaz iaitu hadith-hadith yang menjadi sandaranku,dan manusia telah mengambil hadith-hadith tersebut (hadith yang diriwayatkan oleh para sahabat) maka biarkanlah mereka di dalam keadaan mereka itu » maka beliau mengatakan kepada Imam Malik :« Semoga Allah mengurniakanmu kebaikkan wahai Abu Abdullah »
Sesungguhnya Khalifah Harun Ar-Rasyid ketikamana beliau pergi menunaikan haji,beliau ingin bertemu dengan Imam Malik,lalu beliau pun menghantar utusan menyatakan bahawa beliau ingin bertemu denganya,maka berkatanya Imam Malik kepada utusan tersebut : Katakanlah dikau kepada Amirul Mukminin itu :« sesungguhnya penuntut ilmu itu sepatutnya berusaha mendapatkanya,dan sesungguhnya ilmu itu tidak akan berusaha mendatangi sesiapa pun » lalu akurlah khalifah apabila mendengarkan perkataan Imam Malik itu,lalu beliau pun pergi kepada Imam Malik menziarahinya di rumahnya,lalu beliau pun mengarahkan manusia lain agar meninggalkan majlis tersebut,tetapi Imam Malik tidak bersetuju dengan perlakuan tersebut,lalu berkata : « Jika dihalangkan ilmu kepada orang awam,maka tiadalah beroleh kebaikkan kepada orang yang khusus »
Dan khalifah Harun Ar-Rasyid menginginkan agar Imam Malik datang ke rumah beliau agar mengajarkan dua orang anak beliau iaitu Al-Amin dan Al-Ma’mun kitab Al-Muwattho’,dan juga menginginkan agar kedua orang anaknya itu berguru dengan  Imam Malik,maka berkatanya Imam Malik kepada khalifah : « Semoga Allah memuliakanmu wahai Amirul Mukminin,sesungguhnya kalian akan mendapat ilmu itu,jika kalian memuliakan ilmu,maka ilmu akan dimuliakan,manakala jika kalian mencela ilmu itu,maka ilmu itu juga akan dicelakan,dan sesungguhnya ilmu itu didatangi dan tidaklah ilmu itu yang mendatangi » berkatanya khalifah : « Benarlah perkataanmu itu,pergilah kamu berdua wahai anakku ke masjid untuk mendengarkan pelajaran bersama manusia lain » lalu berkatanya Imam Malik : « dengan syarat hendaklah kedua mereka tidak diawasi dengan pengawal,dan hendaklah mereka berdua duduk disitu sehinggalah majlis habis »
Maka pergilah kedua anak khalifah itu ke majlis ilmu Imam malik dengan syarat tersebut.
Maka disini dapatlah kita lihat ketegasan Imam Malik dalam menyatakan kebenaran dan betapa kuatnya beliau dalam memuliakan ilmu itu sendiri,dan beliau tetap juga menyatakan pandanganya walaupun kemungkinan akan mendatangkan kemurkaan khalifah..
Dan disebabkan ketegasan beliau itu telah menyebabkan beliau mengharungi pancaroba sebagai seorang penyampai kebenaran,ketikamana beliau mengeluarkan fatwa yang tidak jatuhnya thalaq ke atas orang yang dipaksa,dan beliau telah berdalilkan hadith nabi yang mulia : « Tiadalah thalaq ke atas orang yang dipaksakan » dan fatwa ini tanpa syak lagi tidak disukai oleh para pemerintah Abbasiyyin kerana mereka telah memaksa rakyat jelata supaya mengiktiraf pemerintahan mereka,dan kerana fatwa tersebut bakal menggambarkan bahawa : jika sesiapa yang dipaksa supaya membai’ah mereka,maka orang yang dipaksa itu boleh sahaja tidak membai’ah mereka dan boleh membai’ah pemerintahan selain Abbasiyyiin kerana diqiyaskan kepada fatwa yang menyatakan tidak jatuhnya thalaq ke atas sesiapa yang dipaksa…atau dengan maksud lain : tidak adanya bai’ah ke atas sesiapa yang dipaksa..
Dan disebabkan peristiwa fatwa itu,Abu Ja’far Al-Mansur telah melarang Imam Malik daripada bercakap tentang hadith tersebut,kemudian beliau telah menghantar seorang utusan untuk menyoal Imam Malik tentang masalah tersebut,apabila Imam Malik disoal oleh utusan tersebut,dia telah menyatakan hadith tersebut di hadapan seluruh manusia yang hadir,lalu disebabkan itu,dia telah dipukul dengan cemeti oleh pemerintah Kota Madinah iaitu Ja’far bin Sulaiman,tanganya telah diikat dan diregangkan sehingga hampir terkehel bahunya.
Dikatakan juga Imam Malik telah mengeluarkan fatwa bahawa haramnya perkahwinan Muta’h (2) dan fatwa tersebut bertentangan dengan pendapat nenek moyang pemerintahan Abbasiyy.
Diriwayatkan juga apabila beliau disoal tentang orang yang menderhaka kepada pemerintahan khalifah adakah dia boleh dibunuh ? lalu beliau menjawab : jika mereka menderhaka terhadap pemerintahan seperti pemerintahan Umar Bin Abdul Aziz maka mereka boleh diperangi,lalu ditanya pula : jika ianya tidak seperti demikian ? beliau menjawab : biarkanlah mereka,kerana Allah Taala akan membalas kezaliman mereka itu dengan kezaliman,maka Allah yang akan membalas ke atas kedua mereka (kedua-dua keadaan tadi)
Maka disebabkan kesemua pendapat-pendapat berani beliau inilah yang menyebabkan beliau diuji di dalam perjalanan beliau di dalam menyampaikan kebenaran,hubungan beliau dengan pemerintah pada mulanya keruh,tetapi lama kelamaan menjadi semakin baik..
Usul mazhab..
Sesungguhnya Imam Malik menggunakan usul mazhabnya yang agak berlainan daripada mazhab-mazhab lain yang wujud,diantara usul-usul beliau di dalam mazhab ialah :
(1) Al-Quran : seperti para imam mazhab yang lain,iaitu bersandar kepada kitabullah pertamanya.
(2) As-Sunnah
(3) Ijma’
(4) Al-Qiyaas : tetapi beliau tidaklah terlalu membuka luas pintu penggunaan qiyas di dalam mengeluarkan hukum hakam,sepertimana yang dilakukan oleh para fuqaha’ Hanafiah.
(5) Amalun Ahli Madinah (perlakuan penduduk Kota Madinah) : beliau menambah usul ini selepas keempat-empat usul utama yang disepakati tadi,yang mana perbuatan penduduk Madinah di dalam mazhab Maliki seakan-akan hadith yang diriwayatkan daripada baginda nabi daripada sekumpulan manusia kepada sekumpulan manusia yang lain,iaitu seperti hadith mutawatir,sebab itulah Imam Malik mendahulukan usul ini daripada Al-Qiyas didalam memperdalilkan sesuatu hukum,dan begitulah juga  pada kata-kata sahabat yang tidak boleh diijtihadkan(3) juga mendepani Al-Qiyas,Masalihul Mursalah (4) ,Sadduz Zarai’e (5) ,Al-‘Urf(6) ,Istihsan dan juga Istishab. (7)
Usul-usul Imam Malik ini agak berbeza dengan usul-usul para imam mazhab yang lain,di antara yang membezakan usul ini dengan usul mazhab lain ialah :
(1) Beliau mensyaratkan hadith ahad ( 8 ) tidak boleh bercanggah dengan perbuatan penduduk Madinah(amalun ahli Madinah) kerana perbuatan penduduk Madinah pada pandangan beliau dan pada pandangan gurunya yang mulia iaitu Rabiah Bin Abdul Rahman ialah : “riwayat seribu orang dari seribu orang adalah lebih baik daripada riwayat seorang dari seorang” dan sandaran beliau di dalam meriwayatkan sunnah ialah periwayatan Ahli Hijaz,dan Imam Malik terlalu teliti dan terlalu memeriksa sesuatu hadith itu dengan memperdalaminya sebelum beliau menerimanya,dan beliau juga beramal dengan hadith mursal(9),dan beliau terlalu banyak menggunakan as-sunnah di dalam berhukum berbanding dengan Imam Abu Hanifah.
(2) Beliau menggunakan pendapat sahabat jika sanadnya sahih,dan beliau menggunakan pendapat sahabat yang paling mengetahui atau a’lim,seperti Abu Bakar,Umar,Utsman,Ali,Ibnu Umar dan Ibnu Abbas,Ibnu Masu’d dan lain-lain,yang mana beliau menggunakanya jika sesuatu masalah itu tidak dijumpai didalam Al-Quran atau nas-nas di dalam hadith nabi yang bermartabat sahih,dan pendapat para sahabat,seperti yang kami maklumkan,beliau mendepankanya daripada Al-Qiyas.
Usul beliau ini telah ditolak oleh beberapa ulama’,contohnya Imam Ghazali di dalam kitabnya Al-Mustasfa yang menolak dalil ini dengan berkata : Para sahabat sesungguhnya mereka itu tidaklah sempurna,dan harus bagi mereka untuk melakukan kesalahan,maka kata-kata mereka tidak boleh dijadikan sebagai hujjah.
(3) Beliau beramal dengan Masalihul Mursalah,iaitu Masalih yang tidaklah dibatalkan oleh hukum syarak dan juga tidaklah dibatalkan oleh nas yang tertentu,yang mana beliau melihat kepada menjaga maqsud syarak itu sendiri,yang mana dapatlah diketahui bahawa ianya adalah maqsud syarak dengan bersandarkan kepada Al-Quran,As-Sunnah atau Ijmak.
Dan beramal dengan Al-Maslahah itu tidaklah dipercanggahkan oleh para ulamak,tetapi apa yang menjadi percanggahan sesama mereka itu ialah apabila ianya bertembung dengan Maslahah yang lain,dan Imam Malik akan menganggap salah satu maslahah daripada yang bercanggah itu sebagai dalil manakala yang satu lagi tidaklah beliau menganggapnya sebagai dalil,contohnya : menyebat orang yang dituduh sebagai pencuri kerana melihatkan barang curian tersebut sebagai bukti,dan Imam Malik berpendapat sedemikian kerana beliau berpandangan terdapatnya maslahah pada hal sedemikian,kerana jika sebatan dilakukan ke atas orang yang dituduh itu akan membuatkan barang yang dicuri itu dikembalikan kepada tuanya,dan dapat mengelakkan daripada harta tersebut hilang begitu sahaja,dan pendapat beliau itu telah ditolak oleh ulama’ yang lain,kerana maslahah yang diperkatakan Imam Malik ini telah bertembung dengan maslahah yang lain pula,iaitu maslahah pada orang yang dituduh itu dengan tidak menyebatnya kerana kemungkinan orang yang dituduh itu tidak bersalah,dan tidak menyebat orang yang bersalah adalah lebih ringan daripada menyebat orang yang tidak bersalah,dan jika maslahah ini yang tidak menyebat orang yang dituduh itu akan menyebabkan kesukaran mendapatkan kembali harta yang dicuri itu,maka maslahah menyebat orang yang dituduh itu pula akan menyebabkan menyeksa orang yang tidak bersalah.
Dan di antara contoh Maslahah lain yang diamalkan oleh Imam Malik ialah : isteri kepada seorang lelaki yang hilang ghaib entah ke mana dan tidaklah diketahui hidupnya atau matinya dan menyebabkan perempuan tersebut tertekan kerana kehilangan suaminya itu,maka Imam Malik mengatakan bahawa isteri lelaki tersebut mempunyai ‘iddah dan boleh di kahwini selepas masa 4 tahun bermula dari terputusnya khabar berita tentang lelaki tersebut,yang mana ianya merupakan maslahah kepada isteri lelaki tersebut melebihi daripada maslahah suaminya yang telah hilang ghaib tidak diketahui khabar beritanya.
(4) Beliau juga beramal dengan Al-Istihsan pada kebanyakkan masalah yang dihadapi,di antaranya ialah : memberikan jaminan kepada pekerja dan pengawal secara bersama,dan Al-Qiyas mengatakan bahawa mereka tidak perlu dijamin,kerana mereka ialah orang yang memegang amanah dan yang memegang amanah tidaklah perlu dijamin,tetapi demi maslahah kepada umum mereka perlu diberikan jaminan,kerana ianya dapat memelihara harta manusia yang dijaga oleh mereka,dan jika tidak diberikan jaminan kepada mereka akan menyebabkan kemungkinan harta manusia yang dijaga itu hilang begitu sahaja dan juga keperluan manusia yang sememangnya memerlukan khidmat mereka,walaupun Imam Malik beramal dengan Al-Istihsan,tetapi tidaklah beliau menggunakanya secara meluas seperti Imam Abu Hanifah yang beramal dengan Al-Istihsan secara meluas.
Kitab-kitab beliau :
Di antara kitab agung beliau yang sampai kepada kami ialah Kitab Al-Muwattho’,kitab agung yang mulia ini telah dikarang oleh beliau yang mana termuat di dalamnya hadith-hadith beserta feqh,dan termuat juga di dalamnya kata-kata para sahabat dan Tabi’en beserta pendapat-pendapat beliau di dalam bidang feqh yang telah di ijtihadkan oleh beliau,kitab ini telah disusun mengikut tertib kitab-kitab feqh iaitu dimulai dengan bab bersuci kemudianya bab solat,bab zakat,bab puasa dan bab haji dan begitulah seterusnya,dan lebih daripada itu lagi,beliau telah mensyarahkan hadith-hadith tersebut bersama mengeluarkan hukum-hakam feqh berdasarkan hadith tersebut,berdasarkan perbuatan ini,kitab ini telah dianggap sebagai kitab feqh,manakala jika dilihat kitab ini yang dipenuhi oleh banyak hadith-hadith nabi yang telah dikumpulkan dan disatukan oleh beliau ini pula telah dilihat sebagai kitab hadith.
Kitab mulia ini telah dikarang dan disaring oleh Imam Malik selama 40 tahun lamanya,dikatakan bahawa pada mulanya kitab ini mengandungi 10,000 buah hadith,kemudian selepas disaring dan dibuang hadith-hadith yang lemah menjadi sebanyak 1720 buah hadith sahaja.
Anak-anak murid beliau :
Sesungguhnya Imam Malik tidak pernah keluar daripada Kota Madinah,cuma anak-anak muridnya sahaja yang mengembara dari berbagai negara ke Kota Madinah untuk berguru dengan beliau,selepas mereka berguru dengan beliau mereka pun balik ke negara masing-masing dan menyebarkan mazhab beliau ini,sebahagian anak-anak murid beliau ada yang datang dari Mesir dan sebahagianya ada yang datang dari negara lain,dan anak-anak murid beliau yang datang dari Mesir merupakan tulang belakang mazhab Maliki,di antaranya ialah :
(1) Abdullah Bin Wahab Bin Muslim,dilahirkan pada tahun 125 hijrah dan mengembara ke Madinah dan berguru dengan Imam Malik pada tahun 148 hijrah,dan beliau telah berguru dengan Imam Malik dan melaziminya selama 20 tahun,dan beliau tidak pernah meninggalkan gurunya itu sehinggalah Imam Malik pergi menemui Allah,dan beliau ada meriwayatkan Al-Muwattho’ daripada Imam Malik,dan juga beliau ada mengarang kitab di dalam mazhab,beliau juga telah berguru ilmu feqh dengan Al-Laits Bin Saad dan Sufyaan Bin Uyaynah,disebabkan kecerdikkan dan kepintaran beliau di dalam bidang feqh,Imam Malik telah menggelarkan beliau sebagai Faqih Mesir,dan juga digelarkan sebagai Mufti,Berkatanya Ibnu Al-Qasim tentang beliau : “Jikalau matinya Ibnu Uyaynah,maka aku akan pukulkan hati unta kepada Ibnu Wahab”(10)beliau telah meninggal di Mesir pada tahun 197 hijrah.
(2) Abdur Rahman Bin Al-Qasim,dilahirkan di Syam pada tahun 128 hijrah dan meninggal dunia di Mesir pada tahun 191 hijrah,beliau telah berguru dan melazimi Imam Malik selepas Ibnu Wahab selama 10 tahun lamanya,apa yang istimewanya,beliau tidak mencampurkan ilmu yang beliau dapati daripada Imam Malik dengan para fuqaha’ yang lain,maka jadilah beliau di dalam mazhab maliki seperti Muhammad Bin Al-Hasan di dalam mazhab Hanafi yang tidak mencampurkan ilmu imamnya dengan imam yang lain,beliau telah mengarang kitab Al-Mudawwanah yang mana kitab tersebut mengumpulkan kesemua pendapat-pendapat di dalam mazhab maliki,dan Al-Faaqih Maliki Sahnun telah meriwayatkan kitab tersebut daripada beliau.
(3) Asyhab Bin Abdul Aziz Al-Qaisiy,dilahirkan pada tahun 145 hijrah dan meninggal dunia di Mesir pada tahun 204 hijrah,beliau telah berguru dengan Imam Malik dan Al-Laits Bin Saad,beliau merupakan salah seorang perawi di dalam mazhab dan merupakan di antara penyebar mazhab maliki,dan juga di antara imam yang mempertahankan mazhabnya,beliau juga merupakan ketua di dalam mazhab maliki di Mesir selepas Ibnu Al-Qasim.
(4) Abdullah Bin Al-Hakam,dilahirkan di Iskandariah pada tahun 155 hijrah,dan meninggal dunia pada tahun 214 hijrah,beliau telah mendengarkan Al-Muwattho’ daripada Imam Malik dan telah meriwayatkanya,dan para ashab mazhab maliki seperti Ibnu Wahab,Ibnu Al-Qasim dan Asyhab telah meriwayatkan dari apa yang mereka telah dengari dari beliau,beliau merupakan kawan rapat dengan Imam As-Syafie’ rahimahullahu taala,dan beliau merupakan ketua di dalam mazhab maliki selepas Asyhab Al-Qaisiy.
Manakala anak-anak murid Imam Malik yang datang dari negara selain Mesir iaitu seperti di Utara Afrika dan dari negara Andalus ialah :
(1) Asad Bin Al-Furat,menetap di Tunisia,beliau telah mengembara ke Madinah dan berguru dengan Imam Malik dan telah mendengarkan Al-Muwattho’ dan telah meriwayatkanya,kemudianya beliau telah mengembara ke Iraq dan telah berguru dengan Abu Yusuf dan Muhammad Bin Al-Hasan,dan beliau telah mempelajari dan mendalami feqh hanafi dari kedua orang syeikh ini,beliau telah menggabungkan pendapat feqh dari kedua-dua madrasah ini,beliau telah menjadi ketua mazhab maliki di Qairawan,beliau wafat pada tahun 213 hijrah yang mana ketika itu beliau menjadi Ketua Turus Angkatan Tentera di dalam peperangan.
(2) Sahnun iaitu Abdus Salam Bin Habib At-Tanuukhi,dilahirkan pada tahun 160 hijrah dan wafat pada tahun 240 hijrah,beliau telah belajar di Qairawan dan telah belajar Al-Mudawwanah Al-Asadiah dengan Asad Bin Al-Furat,kemudian beliau telah mengembara ke Mesir dan telah bertemu dengan Ibnu Al-Qasim dan telah mengajarkan beliau Al-Asadiah,dan Ibnu Al-Qasim telah membetulkan beliau pada beberapa masalah,kemudian beliau pulang ke Qairawan dan menjadi pemerintah di sana sehinggalah beliau wafat.
(3) Yahya Bin Yahya Bin Katsir Al-Laitsi,beliau telah berangkat dari Cordova di Andalus mengembara ke Madinah dan telah berguru dengan Imam Malik di sana,kemudian beliau mengembara ke Mesir dan telah berguru pula dengan Al-Laits Bin Saad,beliau juga telah bertemu dengan para ashab mazhab maliki di sana dan telah berguru dengan mereka,kemudian beliau pulang ke Andalus dan telah menyebarkan mazhab maliki di sana,dan beliau telah menjadi ketua mazhab maliki di sana sehinggalah beliau wafat pada tahun 234 hijrah.
Tanpa syak lagi,sesungguhnya kesemua anak murid Imam Malik ini telah menabur jasa yang besar dalam menyebarkan mazhab maliki,beliau hanyalah duduk di Madinah sahaja,tetapi mazhab beliau telah tersebar sehingga ke Mesir,Utara Afrika,Sudan dan Andalus dari jalan periwayatan anak-anak murid beliau ini.
**************************************************************************************************************************************************************
RUJUKKAN DAN PENERANGAN :
(1) Al-Madkhal Ila Al-Feqh Al-Islamiy oleh Fadhilatus Syeikh Dr.Mahmud Muhammad At-Thontawi
(2) Nikah Muta’h : juga dinamakan sebagai Nikah Al-Muaqqat (sementara) dan juga dinamakan sebagai Nikah Kontrak,iaitu suatu nikah yang mana si lelaki akan mengahwini seorang perempuan itu selama satu hari,seminggu atau sebulan sahaja,dan dinamakan Muta’h (menikmati) kerana si lelaki dapat menikmati kesedapan perkahwinan dengan perempuan tersebut di dalam jangka masa yang ditentukan,yang mana bukanlah ianya bertujuan untuk memenuhi tuntutan syarak di dalam perkahwinan,dan perkahwinan jenis ini telah disepakati oleh para ulama’ bahawa ianya berhukum haram,dan jika berlakunya perkahwinan ini,maka perkahwinan tersebut adalah batal hukumnya,dan para ulama’ berdalilkan di antaranya :
(2.1) Sesungguhnya perkahwinan ini tiada perkaitanya dengan ayat Al-Quran yang menerangkan tentang hukum-hakam perkahwinan menurut syarak,begitu juga pada bab thalaq,’iddah dan juga bab pewarisan harta tinggalan,maka ianya terbatal.
(2.2) Terdapatnya hadith nabi yang secara terang-terangan mengharamkanya : Dari Ibnu Majah : Sesungguhnya rasulullah sallallahu alaihi wassalam mengharamkan Al-Muta’h dengan berkata : Wahai manusia sekalian,sesungguhnya aku pernah mengizinkan kalian Al-Istimta’ (Al-Muta’h) dan sesungguhnya Allah telah mengharamkanya sehinggalah ke hari qiamat,dan dari Ali radiallahu anhu sesungguhnya baginda nabi telah melarang mengahwini perempuan secara Muta’h di hari Khaibar dan juga melarang (memakan) daging keldai kota (pada hari itu) (*)
Dan golongan Syiah Imamiah telah mengharuskan perkahwinan jenis ini.
(Kitab Feqh Sunnah karangan Syeikh Sayyid Sabiq)
(*)Secara sahihnya Muta’h diharamkan pada hari pembukaan Kota Mekah dan ianya telah termaktub di dalam Sahih Muslim,ianya telah menjadi khilaf di kalangan ahli ilmu.
(3) Kata-kata sahabat yang tidak boleh diijtihadkan : iaitu hadith Mauquf (**) secara lafaz tetapi berhukum Marfu’ (***) secara hukum,iaitu kata-kata yang dilafazkan oleh seseorang sahabat tetapi dianggap ianya dinisbahkan kepada baginda nabi,contohnya berkatanya sahabat tentang perkara-perkara lampau seperti permulaan kejadian alam,kisah umat-umat terdahulu,hal-hal ghaib,alam akhirat dan hal-hal yang akan datang atau ganjaran-ganjaran terhadap amalan tertentu yang mana ianya tidak boleh diijtihadkan atau ditakwil dari segi bahasa atau disyarahkan lafaz-lafaz asing di dalamnya,begitu juga pada perlakuan sahabat yang mana ianya tidak boleh diijtihadkan kerana ianya tidak diingkari oleh nabi ketika mereka melakukanya dan dianggap ianya diangkat kepada baginda nabi,begitu juga jika berkatanya sahabat : “kami dahulu pernah berkata begini” atau “kami dahulu pernah melakukanya”,atau berkatanya sahabat :  “Kami telah disuruh melakukanya,”kami telah dilarang dari melakukanya” dan begitu juga hadith yang diriwayatkan dari Tabi’en dari sahabat dengan lafaz “dan telah mengangkatnya”
(**) Hadith Mauquf : apa-apa yang dinisbahkan kepada sahabat dari sudut perkataan,perbuatan atau pengakuan atau sifat mereka,dan dinamakan Mauquf (yang dihentikan) kerana hadith tersebut terhenti kepada sahabat dan tidak berakhir kepada baginda nabi,dan dipanggil juga sebagai Al-Atsar sebagaimana yang dikatakan oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar.
(***) Hadith Marfu’ : iaitu hadith yang dinisbahkan kepada baginda nabi dari sudut perkataan,perbuatan atau pengakuan atau sifat baginda nabi sallallahu alaihi wassalam.
(Mu’jam Al-Mustholahaat Al-Haditsiah oleh Dr.Muhammad Abu Al-Laitsul Khair Abadi)
(4) Masalihul Mursalah : iaitu suatu faedah atau kebaikkan yang mana tiadanya dalil daripada syarak yang menunjukkan ia boleh diterima atau tidak boleh diterima,yang mana ianya bertujuan untuk mendatangkan kebaikkan kepada kehidupan manusia dan menolak kemudharatan atau keburukkan di dalam kehidupan manusia.
Contohnya seperti perlakuan para sahabat yang mengumpul Al-Quran ke dalam satu mushaf,menempa duit syiling dan membiarkan tanaman yang diusahakan oleh penduduk sesebuah tempat yang ditawan kepada tuanya tetapi dikenakan cukai tanaman kepada tuan tanah tersebut,yang mana kesemua contoh maslahah ini dipanggil sebagai Maslahah Mutlaq kerana tiadanya dalil dari syarak yang memperakuinya tetapi ianya mendatangkan kebaikkan dan menolak keburukkan di dalam kehidupan manusia,manakala Maslahah Al-Mu’tabarah pula ialah kebaikkan-kebaikkan yang terdapatnya dalil dari nas-nas syarak secara terang dan jelas yang mana ianya memang sudah siap sedia mendatangkan kebaikkan dan menolak keburukkan di dalam kehidupan manusia contohnya hukuman hudud dan qisas.
(5) Sadduz Zaraie’ : ialah menghalang setiap perkara yang boleh membawa kepada melakukan perkara yang dilarang disebabkan ianya boleh membawa kepada kebinasaan dan kemudharatan.Maka setiap perkara yang boleh membawa kepada melakukan perkara yang haram adalah haram dan setiap perkara yang membawa kepada perkara yang diwajibkan maka ianya adalah wajib.
Jika melakukan perkara yang keji itu adalah haram,maka melihat kepada aurat perempuan ajnabiah itu adalah haram kerana boleh membawa kepada melakukan perkara yang keji,dan jika ibadat haji itu adalah suatu kefardhuan,maka pergi ke Baitullah Al-Haram dan tempat-tempat untuk melakukan fardhu haji adalah juga fardhu,kerana hukum syarak itu jika mewajibkan seseorang itu melakukanya,maka setiap perkara yang membawa kepada menyempurnakan kewajipan itu adalah wajib,dan jika ia melarang manusia melakukan sesuatu,maka setiap perkara yang boleh membawa kepada perkara yang dilarang itu adalah haram.
(6) Al-‘Urf : iaitu setiap kebiasaan atau adat yang dilakukan oleh sekumpulan manusia yang mana perkara tersebut sememangnya dikenali di kalangan mereka sudah menjadi kebiasaan mereka,begitu juga apa-apa percakapan yang diertikan kepada makna khas di kalangan mereka yang mana tidaklah percakapan tersebut dapat diertikan dari sudut bahasa formal yang mana ianya tidak akan disalah ertikan oleh pendengar apabila mendengar percakapan tersebut.
Ianya terbahagi kepada Al-‘Urf Amali (perbuatan) dan Al-‘Urf Qauli (percakapan),jikalau kita di dalam masyarakat melayu Al-‘Urf Amali adalah seperti berpantun-pantun sebelum meminang sebagai cara berlapik di dalam berkata-kata agar tidak menyatakan hasrat tersebut secara berterus terang,dan Al-‘Urf Qauli pula ialah seperti perkataan Ulama’ yang merujuk kepada orang yang berilmu agama yang mana ianya digunakan di dalam masyarakat kita samada kepada seorang atau kepada ramai yang mana perkataan ini merupakan pinjaman daripada bahasa arab,jika ianya dilihat dari sudut bahasa arab ianya digunakan hanya kepada orang yang ramai,begitu juga pada perkataan tuak yang merujuk kepada minuman kelapa wangi kepada penduduk di sebelah Pantai Timur manakala perkataan tuak bagi penduduk di sebelah Pantai Barat pula bermaksud arak.
Dan penerimaan adat-adat manusia ini jika dilihat dari segi penerimaanya di dalam hukum syarak ianya terbahagi kepada dua :
(6.1) Al-‘Urf As-Sahih : iaitu adat-adat kebiasaan manusia yang tidak menghalakan apa yang diharamkan dan tidak pula menghalalkan apa yang telah diharamkan.
(6.2) Al-‘Urf Al-Fasid : iaitu adat-adat kebiasaan manusia yang menghalalkan apa yang telah diharamkan dan mengharamkan pula apa yang telah dihalalkan,contohnya seperti adat sesuatu bangsa yang menjamu minuman yang memabukkan kepada tetamu yang hadir di dalam sesuatu majlis keraian,bercampurnya lelaki dan perempuan secara bebas di dalam sesuatu majlis,begitu juga membiarkan solat fardhu berlalu begitu sahaja di dalam sesuatu majlis,yang mana mereka menghalalkan apa yang diharamkan dan mengharamkan apa yang dihalalkan di atas nama adat manusia!!
Maka jelaslah disini yang Al-‘Urf As-Sahih sahaja yang boleh diterima di dalam hukum  syarak selagimana adat-adat tersebut tidak bertentangan dengan apa yang telah termaktub di dalam dalil-dalil hukum syarak,dan ianya diterima di dalam hukum syarak adalah kerana ianya bersesuaian dengan hajat keperluan manusia dan  bertujuan supaya menolak kesusahan di dalam kehidupan manusia disebabkan adat-adat kebiasaan mereka yang sudah sebati di dalam kehidupan mereka dan adat-adat tersebut tidak pula bercanggah dengan hukum syarak,tetapi jikalau sesuatu adat itu bahkan menyusahkan kehidupan manusia maka ianya tidak dianggap Al-‘Urf yang sahih,dan Al-‘Urf ini tidaklah ianya dianggap sebagai suatu dalil hukum syarak yang tetap,cuma ianya hanyalah untuk menjaga kemaslahatan manusia.
(7) Al-Istishab : iaitu suatu hukum yang ingin menetapkan sesuatu atau ingin menafikan sesuatu samada di waktu sekarang atau akan datang dengan melihatkan yang perkara yang ingin ditetapkan atau ingin dinafikan itu telah berlaku di waktu dahulu kerana tiadanya dalil yang datang untuk mengubahnya.
Jika kita menetapkan kewujudan sesuatu dan berasa ragu-ragu dengan ketidakwujudanya,maka kita perlu berhukum yang ianya wujud,kerana asalnya ia wujud,dan tiadanya dalil yang datang mengubah keadaan asalnya,jika kita ingin mengetahui hukum tentang haiwan atau tumbuhan tertentu,atau hukum tentang makanan,minuman dan pekerjaan tertentu,dan tiadanya dalil tentang hukum-hakam perkara-perkara tersebut,maka hukumlah dengan keharusanya,kerana hukum harus ialah hukum asalnya.Oleh itu,setiap perkara yang bermanfaat adalah harus selagimana tiadanya dalil yang menyatakan ianya haram dan begitu juga setiap pekara yang memudharatkan adalah haram selagimana tiadanya dalil yang menyatakan ianya harus.
(Penerangan bernombor (5),(6) dan (7) dari : Al-Wajiz Fi Usul Al-Feqh oleh Fadhilatus Syeikh Dr.Wahbah Az-Zuhaili)
(8) Hadith Ahad : iaitu hadith-hadith yang tidak mencukupi syarat-syarat hadith Al-Mutawatir,dan terbahaginya hadith ahad dari sudut jalan periwayatanya kepada 3 iaitu Hadith Masyhur,Hadith Aziz dan Hadith Gharib,(kalau mahu lebih lanjut lagi,rujuklah di dalam kitab-kitab Musthalah Hadith)
(9) Hadith Mursal : iaitu hadith yang terjatuh perawinya di akhir sanad selepas At-Tabi’e,seperti berkatnya seorang Tabi’e : “Berkatanya rasulullah begini” “Baginda nabi telah melakukan begini” atau “telah diperlakukan sebegini dihadapan baginda nabi”
Contoh : Diriwayatkan kepada kami Muhammad Bin Rafi’,dari Hujain,dari Al-Laits,dari ‘Uqail,dari Ibnu Syihab dari Said Bin Al-Musayyab : sesungguhnya Rasulullah sallallahu alaihi wassalam telah melarang dari Al-Mazabanah (contohnya menjual buah gred yang rendah dengan tukaran buah yang gred baik),dan Said Bin Musayyab ialah seorang tabi’e yang besar,dan hadith ini telah terjatuhnya perawi yang meriwayatkan di antara beliau dan nabi di akhir sanad.
Manakala hadith Mursal dikalangan para ulama’ feqh dan ulama’ Usul lebih bersifat umum,iaitu setiap hadith yang terputus sanadnya dianggap sebagai Hadith Mursal.
(Penerangan bernombor (8) dan (9) dari : Mabahits Fi Ulumil Hadith oleh Fadhilatus Syeikh Manna’ Bin Khalil Al-Qatthon)
(10) Kata-kata Ibnu Al-Qasim terhadap Abdullah Bin Wahab itu tadi bermaksud : Jikalau matinya Ibnu Uyaynah,maka aku akan bermusafir dan mengembara ke tempat Abdullah Bin Wahab semata-mata untuk menuntut ilmu darinya.
Dan penyataan “maka aku akan pukulkan hati unta” itu ialah suatu bentuk perumpamaan masyarakat arab yang bermaksud : bersungguh-sungguh untuk mengembara dan bermusafir untuk sesuatu tujuan,yang mana jikalau seseorang yang bermusafir dengan menaiki unta pastilah dia akan menghentak-hentakkan kakinya ke rusuk unta tersebut untuk mempercepatkan perjalananya.

Tiada ulasan: