Rabu, Julai 22, 2009

Al Quran

Salam sejahtera buatsemua ahli kariah Bukit Indah
Firman Allah :
أفلا يتدبرون القرآن أم على قلوب أقفالُها
(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)? Surah Muhammad ayat 24
Ayat di atas menjelaskan bahawa setiap pembaca al-Quran mestilah memahami isi kandungan al-Quran, bukan sekadar membacanya. Mestilah mengetahui makna-makna dan apa yang dikehendaki oleh Allah dalam ayat-ayatNya. Ia melibatkan hukum hakam yang melibatkan 500 ayat lebih. Juga melibatkan kisah-kisah yang menjadi contoh-contoh kepada manusia. Kisah-kisah yang berasaskan tauhid dan akhlak yang terpuji.
كتابٌ أنزلنا إليك مبارك ليدبروا آياته وليذكر أولوا الألباب29]
(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar - سورة ص
Berdasarkan 2 ayat tadi, dapatlah difahami bahawa setiap pembaca al-Quran mestilah juga mengetahui akan maksud serta isi kandungan ayat, bukan sekadar membaca ayat-ayatnya dan membetulkan tajwidnya semata-mata, malah perlu mengetahui apa yang dikehendaki oleh ayat-ayat yang dibacanya. Sabda Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam :
مَنْ جعلَ القرآنَ أمامَهُ قادَهُ إلى الجنةِ ومن جعلَهُ وراءَ ظَهرِهِ ساقَهُ إلى النار
(Sesiapa yang meenjadi al-Quran itu sebagai pemimpinnya nescaya ia akan memimpinnya ke syurga, sesiapa yang menjadikan al-Quran dibelakangnya nescaya ia akan memimpin ke neraka - rujukan dalam kitab wasiat agama dan nasihat Imam dalam bab Al Quran, kebanyakan hadis dalam kitab ini dinaqalkan dari kitab bahrul mazi)
Mudah-mudahan setiap guru yang mengajar al Quran dan juga pelajar-pelajarnya mempelajari al-Quran dengan memahami kehendak-kehendak ayat, jangan sampai nanti apa yang dibaca, mengenai kepala pembacanya sendiri, sedangkan pembaca tidak mengetahui al Quran sedang melaknatnya, sebab kerana pembacanya tidak mengetahui makna dan kehendak ayat.

Jumaat, Julai 17, 2009

Sedekah Menyembuhkan Penyakit

Assalamualaikum
Buat teman-teman yang sentiasa inginkan kebaikan menerusi majlis ilmu dari blog ini, salam bahagia buat antum semua. Juga buat pelajar-pelajar saya yang selalu memantau blog saya ini, saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih.
Buat kali ini saya cuba membawa tajuk sedekah atau sumbangan. Kita mulakan dengan satu hadis Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam, bermaksud "Ubatilah sakitmu dengan sedekah" teks Arabnya sebagaimana berikut :
داووا مرضاكم بالصدقة
Hadisnya ini memberikan penekanan tentang sedekah yang boleh menyembuhkan sakit seseorang. Bermakna sedekah itu mempunyai banyak khasiat dan manafaat antaranya boleh menyembuhkan sakit.
Firman Allah bermaksud "Berimanlah kamu kepada Allah dan rasulNya, dan belanjakanlah dari apa yakni harta yang kamu dijadikan Allah mempusakainya, maka orang-orang yang beriman antara kamu dan membelanjakan (hartanya di jalan kebajikan) akan memperolehi pahala yang besar - Surah al Hadid ayat 7.
أمنوا باللهِ ورسولِه وأنْفِقوا مما جعلكم مستخلفين فيه فالذين أامَنوا منكم وأنفقوا لهم أجر كبير
Ayat Allah ini memerintah manusia yang beriman suapaya bersedekah. Malah ini adalah bukti terhadap iman seseorang kepada Allah. Bukti iman ialah sanggup mengeluarkan hartanya demi kerana Allah, bermaksud tidak menjadikan harta di hadapan, atau tidak mengasihi harta lebih dari kasih pada Allah.
Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam yang bermaksud "Sesiapa yang bersedekah seberat kurma dari rezeki yang baik, akan menerima sedekah itu dengan penuh kemegahanNya, lalu dia memeliharanya seumpama seseorang menjaga dan memelihara seekor anak kuda yang baru beranak, sehingga akhirnya sedekah itu membesar seperti sebuah gunung. Mata hadisnya ialah seperti berikut :
منْ تصدقَ بعدلٍ تَمرٍ مِن كَسْبٍ طيب ولا يقبلُ اللهُ إلا طيبا فإن اللهَ يأخُذُها بيمينه فيُربِّيها لهُ كما يُرَبِّي أَحَدُكُم فِلْوَهُ حتى تكونَ مثلَ الجبل
Perumpamaan ini menjelaskan tentang sedekah itu berkembang dan membesar. Dipeliharanya sampai ke hari kiamat, sentiasa subur dan menjalar sebagaimana pokok-pokok yang tidak berhenti-henti menjalar serta menghijau dengan subur.
Sesiapa sahaja yang beriman boleh bersedekah pada bila-bila masa sahaja,siang atau malam, pagi atau petang. Inilah yang difirmankan oleh Allah melalui ayat 274 surah al-Baqarah yang bermaksud "Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada waktu malam dan siang, secara sembunyi-sembunyi mahupun terang terangan, maka mereka akan memperolehi ganjaran dari Tuhan mereka, mereka tiada takut dan tiada pula berdukacita. Ayatnya ialah :
الذين يُنفقون أموالَهم باليل والنهار سرا وعلانية فلهم أجرهم عند ربِهم ولا خوف عليهم ولاهم يحزنون
Ayat ini menjelaskan tentang waktu dan masa seseorang beriman itu boleh bersedekah, tiada had masa dan waktu serta tiada had tempat untuk seseorang itu bersedekah, mereka boleh bersedekah pada bila-bila masa. Bahkan orang yang cintakan sedekah boleh menjadikan perangai bersedekah dengan menjadikannya sebagai suatu rutinnya yang dilakukannya secara berpanjangan. Mereka yang bersedekah ini juga boleh mengajak teman taulannya keluarganya untuk sama-sama menyertainya bersedekah, agar banyak wang yang dapat dikumpulkan bagi disedekah kepada orang yang memerlukan.
Biarpun mereka berhadapan dengan masalah kewangan, dan mereka amat memerlukan wang, akan tetapi sumbangan tetap diberikan biarpun sedikit. Inilah dia tanda orang beriman. Orang kaya yang dermawan adalah orang yang amat berguna di atas muka bumi ini, serta dikasihi Allah.

Selasa, Julai 14, 2009

Kematian di Jordan

Assalamualaikum
Apabila saya membaca cerita dan kisah Jordan oleh Us...Dr Hasrizal, teringat juga kisah-kisah ketika di sana. Salah satunya ialah kisah kematian adik-adik yang baru 8 bulan belajar di Jordan. 5 orang pelajar baru yang dah saya lupa namanya, yang saya ingat ialah Suzaidi dan nazri sahaja. Malam berlakunya kemalangan di Aqabah itu, saya sempat menemui rakan-rakan ini di Airport Alia. Mereka ke Aqabah 2 buah kereta. Saya teringat soalan saya kepada suzaidi (kalau tak silap namanya) "Anta tukar penumpang ke ?" suzaidi jawab "ya ustaz, penumpang kereta ni dah balik malam ni, jadi saya tukar ke tempat dia!". Saya ingat lagi saya pernah pesan "jaga-jaga, jalan hampir aqabah tu gelap sangat, driver anta tu lesen baru, tu sebelah kanan, di Jordan ni sebelah kiri!" saya pesan pada adik-adik ni.
Masa cuti, memang ramai pelajar yang bercuti...termasuklah rakan-rakan kita pelajar-pelajar baru ini.
Esoknya, pagi-pagi lagi rumah saya di Duwar Iskan diketuk orang, tapi sayangnya saya tak ingat siapa yang datang. Wajahnya sugul dan sedih. Katanya "Ustaz Yi, adik-adik baru kita ke aqabah berlanggar, 4 darinya mati ditempat kejadian, seorang lagi lagi amat kritikal, pihak jemaah minta ust ke aqabah segera, ustaz harun Sulaiman akan ke aqabah terus melalui suweileh. Saya tergamam campur terkejut, spontan teringat apa yang saya pesan semalam. Tak cakap apa-apa, saya terus ke dalam bersiap, dari dalam rumah isteri (pelajar Jordan panggil Kak Yah) menjerit terkejut bila saya beritahu kemalangan itu.
Sampai di Hospital Aqabah, saya terus ke wad icu untuk melihat salah seorang yang masih hidup, sebelum sempat sampai ke wad tersebut, terdengar sahabat kita ini menjerit kesakitan dan terus meninggal. Saya lihat mukanya membengkak dan amat lebar, kerana henttakkan pintu kereta, itulah yang terakhir meninggal, Semuanya 5 orang. Saya ke bilik mayat untuk mengecam mayat, semua saya kenal, semuanya sahabat-sahabat kita yang jumpa semalam di airport, yang saya pesan semalam.
Sewaktu saya menaip article inipun masih terbayang lagi wajah ngeri mereka, berbagai-bagai keadaan.
Menunggu ijraat (proses) keluarkan mayat amat sukar, sehinggalah saya menerima panggilan dari pegawai kedutaan menyuruh saya pulang ke Amman, kerana pihak kerajaan Jordan telah mengambil alih pengurusan jenazah untuk dibawa pulang ke Malaysia. 3 hari saya di Aqabah, lemah lesu, lembik...nasib baiklah ada yang sewa kereta, bertukar-tukar driver cepatlah jugak sampai ke Madinatu Jaisy. Kawasan tentera.
Bila sampai di Madinatu Jaisy, beribu pelajar Malaysia menanti sampainya jenazah mereka. Melihatkan begitu ramai pelajar malaysia lelaki dan perempuan, saya rasa amat terharu. Kalau tidak silap saya, apabila satu demi satu mayat yang di bawa keluar dari helicopter tentera, ada satu mayat yang harum baunya, cuma sayangnya saya tak ingat nama sahabat kita ini.
Banyak kisah ini tidak dapat saya recall kembali, agak-agaknya ada teman-teman dan rakan-rakan yang masih ingat, berkongsilah dengan saya. Marilah sama-sama kita hadiahkan sekalung al fatihan kepada adik-adik kita ini. al fatihah.

Penentang-penentang Imam Mahdi

Sejurus sebelum Imam Mahdi muncul, akan muncul terlebih dahulu as-Sufyani, yang dikatakan muncul di tengah-tengah Damsyik. Dia akan menjadi pemerintah di sana dan membina angkatan tentera yang kuat, ramai dan lengkap. Dia seorang yang pintar bercakap dan mendapat sokongan daripada rakyatnya dalam setiap apa yang dilakukan termasuk memerangi Imam Mahdi. As-Sufyani yang dimaksudkan di sini adalah puak Syiah, yang mendapat kuasa pemerintahan di negara Iran pada tahun 1979, setelah mereka berjaya menjatuhkan Shah Iran, raja terakhir dari Dinasti Pahlavi. Pemimpinnya pada masa itu adalah Imam Ayatollah Ruhollah Khomeini Seyyed Mosavi.
As-Sufyani akan dibantu oleh bapa saudaranya iaitu Kalb. Dia akan memerangi sesiapa sahaja yang berani menentangnya. Penindasan akan berleluasa di setiap pelosok dunia akibat pemerintahan as-Sufyani itu, dia membunuh sesuka hati, sehingga perempuan mengandung dan kanak-kanak kecil pun turut dibunuh tanpa belas kasihan. Puak Qais bangun cuba menentang as-Sufyani tetapi akhirnya tewas dan dibunuh beramai-ramai oleh Kalb. Puak Qais yang dimaksudkan adalah pasukan Iraq yang pada hari ini dipimpin oleh Saddam Hussein, dari Parti Sosialis Baath.
Satu pasukan tentera as-Sufyani yang besar jumlahnya dihantar ke Kufah dan mereka memerangi penduduk Khurasan, melakukan kerosakan yang amat besar dan membunuh penduduknya dalam jumlah yang amat ramai. Pada ketika itulah munculnya Panji-panji Hitam yang pasukan tenteranya amat kecil tetapi amat kuat dan gagah, dipimpin oleh Syuaib bin Saleh, Bani Tamim, yang bersatu dengan pasukan pimpinan al-Hasyimi.
Pasukan Syuaib ini berjaya menghalang pasukan tentera as-Sufyani daripada terus melakukan kerosakan. Satu pertempuran yang asangat dahsyat berlaku yang mengakibatkan ramai tentera dari kedua-dua pasukan terkorban. Namun, nyata yang ramai terkorban itu adalah dari pasukan as-Sufyani, menyebabkan mereka kalah dengan seteruk-teruknya. Berbetulan dengan masa itulah, seruan-seruan dari langit berulang kali menyebut-nyebutkan nama Imam Mahdi, menyebabkan beliau sudah menjadi sebutan ramai.
As-Sufyani dengan segera menghantar satu lagi pasukan tenteranya dalam jumlah yang besar dari arah Iraq untuk menghapuskan Imam Mahdi. Mereka sampai ke Madinah lalu menghancurkannya, membunuh seramai-ramai penduduknya termasuk perempuan mengandung, orang-orang tua dan kanak-kanak kecil. Akhirnya Madinah hampir-hampir menjadi kota sepi, dengan yang tinggal hanyalah binatang-binatang liar dan runtuhan-runtuhan bangunan.
Seterusnya pasukan as-Sufyani ini meneruskan perjalanannya ke Makkah tetapi dalam perjalanan, di kawasan berhampiran Zul Hulaifah, keseluruhan pasukan ini ditelan bumi. Tiada yang selamat melainkan dua orang yang segera menyampaikan berita kemalangan itu kepada as-Sufyani. Bagaimanapun, berita buruk itu tidak menakutkan as-Sufyani walau sedikit pun.
Akhirnya dalam satu peperangan, Imam Mahdi berjaya menangkap As-Sufyani lalu menyembelihnya di tepi laut. Kemudian Imam Mahdi memerangi Kalb pula, lalu dibunuh, sama seperti yang diperbuat kepada As-Sufyani sebelumnya. Seluruh harta benda mereka berdua ini akan dirampas dan dimasukkan ke dalam Baitulmal. Dengan matinya kedua-dua musuh utama Imam Mahdi ini, seluruh dunia akan menjadi sangat aman, tidak ada lagi peperangan yang melibatkan mana-mana pihak (Islam dan Kristian) melainkan dengan India dan China sahaja lagi. Pada ketika itu, seluruh dunia sudah berjaya ditawan oleh Imam Mahdi dan diperintah secara langsung oleh beliau.
Imam Mahdi juga akan memerangi India sehingga berjaya menawannya dengan mudah sahaja. Selepas itu, seluruh India dan kawasan-kawasan sekitarnya berjaya ditakluk oleh Imam Mahdi. Kemudian Imam Mahdi akan pergi memerangi China dan negara-negara di sekitarnya termasuk Jepun. Seluruh kawasan di rantau berkenaan turut berjaya beliau tawan dan memeluk Islam.
Beliau juga akan menghadapi tentangan daripada Dajjal yang akan muncul semasa Imam Mahdi sedang memerintah dunia. Kemunculan Dajjal itu memang amat menyusahkan, dan tidak ada kesusahan yang lebih berat dari itu sepanjang sejarah peradaban manusia yang lebih berat daripada fitnah Dajjal. Dajjal seterusnya menguasai seluruh dunia dengan dibantu oleh hampir seluruh bangsa Yahudi. Dan sepanjang empat puluh hari itulah mereka benar-benar dapat merasa memerintah seluruh dunia ini, seperti yang sekian lama mereka idam-idamkan.

AL MAHDI MUNTAZOR

Mengenai Imam Mahdi, Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:
Jika tidak Tinggal dari dunia kecuali sehari, niscaya ALLAH panjangkan hari itu sampai diutuskan kepadanya seorang lelaki dari keluargaku yang namanya sama dengan namaku dan nama ayahnya sama dengan nama ayahku dan dia memenuhi dunia dengan keadilan seperti dia dipenuhi kezaliman."
Sabda Rasululullah dari Abdullah bin Mas'ud (riwayat Abu Dawud dan Thabrani)
Kata David Ben Gurion,Perdana Menteri Israel
"yang paling membimbangkan kami ialah munculnya Muhammad baru dalam dunia Islam"
Dunia sebenarnya akan menerima kedatangan seorang lelaki yang berketurunan Nabi Muhammad Sollahu 'alaihi wasallam, yang telah disabdakan oleh baginda. Beliau akan menghancurkan kezaliman dan kejahatan serta maksiat.
Namun begitu, setiap pejuang Islam mesti ingat bahawa, da'wah mesti dilaksanakan serta diteruskan biarpun jauh lagi kedatangan Imam Mahdi.

Khamis, Julai 09, 2009

Rejab & Memori Isra' & Mi'raj

Assalamualaikum
Teman-teman sekelian, sempena peristiwa Isra' & Mi'raj yang berlaku di bulan Rejab ini, marilah sama-sama kita senaraikan beberapa perkara penting yang berlaku dalam peristiwa ini, antaranya ialah :
1. Perjalanan baginda ke Masjidil Aqso.
2. Pembelahan dada baginda.
3. Perjalanan baginda ke langit-langit yang tujuh.
4. Peristiwa kembalinya baginda ke Mekah.
Bagi mengupas semua perkara ini, sila hadir dalam program forumnya pada 24 Julai ini di Masjid bukit Indah, Ahli Panelnya ialah Ust Zahazan & Ust Hasrizal Jamil.

Jumaat, Julai 03, 2009

Tugasan Yang Bertambah

Assalamualaikum
Salam sejahtera buat semua teman-teman. Bermula dari 1 Jun baru-baru ni, saya telah diberikan amanah mengurus Masjid Bukit Indah, Ampang. Memang susah pegang jawatan yang banyak kontroversial ini. Tapi apabila telah dilantik dan perlantikan itu pula telah resmi oleh Majlis Agama Islam Selangor, maka kenalah akur dan tunaikan tanggungjawab itu, walaupun sebenarnya Allah sajalah yang tahu betapa beratnya memikul jawatan dan segala tanggungjawab di dalamnya. Timbul desas desus segelintir ahli qaryah yang enggan menampilkan diri untuk menegur secara berdepan, tetapi mencemuh dari dalam shout mix di blogs masjid (sila rujuk : http;//ampangbukitindah.blogspot.com). Cemuhan ini sebenar tidak menampakkan sahabat kita ini cuba menyelesaikan masalah, tetapi menambahkan masalah. Apa yang nak kita ubah, kalau telah dilantik oleh Pejabat Agama Islam Daerah dengan resmi dan telah siap di keluarkan suratnya.
Teman-tema sekelian,
Masalah ini timbul bila corak dan sistem perlantikkan yang dibuat oleh PAID. 3 calon nazir telah dipilih, yang di pilih ialah saya sendiri, Tuan Syed Salim dan Haji Zulkifli. Manakala jawatan-jawatan yang lain dipilih terus dalam mesyuarat agung dengan sedikit pertandingan. Pihak PAID telah berkali-kali menyebut bahawa nazir akan dipilih dalam mesyuarat PAID, bukannya dipilih di mesyuarat agung, mesyuarat agung hanya memilih 3 nazir untuk dipilih oleh PAID di meja mesyuarat mereka.
Sebagaimana dinyatakan oleh Dato' Hassan Ali, bahawa calon nazir mestilah mempunyai kriteria-kriteria seperti boleh tahlil, baca khutbah dan lain-lain lagi. Maka atas dasar kriteria inilah yang mempengaruhi keputusan PAID. Antara ketiga-tiga calon nazir, hanya seorang yang bertitle ustaz, maka sudah tentu PAID akan memilih yang bertitle ustaz.
Namun begitu, satu perkara yang menimbulkan masalah ialah, apabila antara 3 nazir itu, diadakan pengundian. Sebelum pengundian dibuat, pihak PAID berkali-kali menyebut bahawa pengundian ini tidak memberi apa-apa keputusan perlantikan nazir sebenar, kerana PAID akan memilih sendiri. Tetapi apabila pengundian dibuat, dan Tuan Syed Salim menang. Segelintir ahli qaryah telah lupa bahawa pengundian itu tidak memberi keputusan siapa nazir, malah dalam mesyuarat PAID yang akan diputuskan. Hasilnya, ialah saya dilantik sebagai nazir.
Dengan keputusan inilah yang melahirkan penentangan terhadap saya yang langsung tidak tahu menahu dalam proses pemilihan nazir di meja PAID. Oleh kerana penentangan ini hanya lahir dari segelintir sahaja, maka saya teruskan kerja-kerja mengurus masjid ini. Memang sebenar dari istilah pengurusan mesti ada yang tidak bersetuju dengan kita, untuk menjadi kayu ukur kepada pengurusan kita.
Mudah-mudahan setiap yang menentang itu, menentang dengan cara yang baik bukan dengan mencemuh dan mengeji dalam shout mix. Saya sedia menerima teguran, tetapi tegurlah dengan cara berhikmah, firman Allah Ta'ala "......dan jika kamu berdebat, berdebatlah dengan cara yang baik!"
Alhamdulillah setakat ini saya boleh bertugas sebagai nazir dengan tenang dengan dibantu oleh ajk baru yang cukup berpengalaman dan sedia membantu pada bila-bila masa sahaja. Allah membantu kita Insya ALLAH.