Isnin, September 27, 2010

Makanan dan Minuman Neraka....

Alhamdulillah pagi ni sempat juga menjengok ke arah surah as Sofaaaaat, bila sampai ayat 64 - 67, rasa benar neraka itu dah hampir dengan kita, kerana kita selalu sahaja dengan dosa dan maksiat. Ayat-ayat ini menjelaskan tentang makanan dan minuman ahli neraka. Bagaimanakah makanan ahli neraka? Allah nyatakan dalam ayat 64 surah As Sofaat, firman-NYA :
إِنَّهَا شَجَرَةٌ تَخْرُجُ فِي أَصْلِ الْجَحِيمِ
37.64. Sesungguhnya dia adalah sebatang pohon yang ke luar dan dasar neraka yang menyala.
طَلْعُهَا كَأَنَّهُ رُؤُوسُ الشَّيَاطِينِ
37.65. mayangnya seperti kepala syaitan-syaitan.
فَإِنَّهُمْ لَآكِلُونَ مِنْهَا فَمَالِؤُونَ مِنْهَا الْبُطُونَ
37.66. Maka sesungguhnya mereka benar-benar memakan sebagian dari buah pohon itu, maka mereka memenuhi perutnya dengan buah zaqqum itu
Kemudian selepas memakan makanan zaqqum itu, Allah berikan minuman yang panas lagi hangat, sehingga memutuskan segala usus perutnya dan urat-uratnya, firman Allah lagi :
ثُمَّ إِنَّ لَهُمْ عَلَيْهَا لَشَوْباً مِّنْ حَمِيمٍ
37.67. Kemudian sesudah makan buah pohon zaqqum itu pasti mereka mendapat minuman yang bercampur dengan air yang sangat panas
Allah juga menjelaskan betapa buruk dan hinanya tempat tinggal mereka, firman Allah ta'ala :
ثُمَّ إِنَّ مَرْجِعَهُمْ لَإِلَى الْجَحِيمِ
37.68. Kemudian sesungguhnya tempat kembali mereka benar-benar ke neraka Jahim
Mudah mudahan Allah hindarkan kita dari neraka jahim ini, tiada siapapun yang sanggup menahan akan siksaanya.
Sekadar renungan touch n go.

Khamis, September 23, 2010

Pengajaran ayat 24 surah at Taubah


Alhamdulillah, pagi ini saya berkesempatan membaca ayat 24 suah at taubah. Surah ini tidak dimulai dengan Basmalah di permulaan, tidak sebagaimana surah-surah yang lain dalam al Quran. Ada pendapat yang mengatakan bahawa sebab berlaku sedemikian, kerana dalam surah selepas iaitu surah an Naml ayat 30, telahpun ada perkataan basmalah, firman Allah Ta'ala :
إِنَّهُ مِن سُلَيْمَانَ وَإِنَّهُ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
Sesungguhnya surat itu, dari SuIaiman dan sesungguhnya (isi)nya: "Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّى يَأْتِيَ اللّهُ بِأَمْرِهِ وَاللّهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ
Katakanlah: "jika bapa-bapa , anak-anak , saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan RasulNYA dan dari berjihad di jalan NYA, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan NYA". Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.
Ayat ini menjelaskan tentang fokas cinta dan kasih kita kepada Allah semata-mata. Jangan sekali-kali semua yang disebut di atas boleh mengalihkan cinta kita kepada Allah dan Rasul, juga jangan sekali-kali semua itu menjadi punca kita leka serta lalai dari mematuhi perintah Allah dan Rasul-Nya. Bukan bermaksud kita perlu buang kasih kita kepada semua itu, tetapi yang dimaksudkan ialah jangan kita lebih mengasihi semua itu dari Allah, Rasul-Nya dan berjuang ke jalan Allah.
Kerana semua itu akan boleh menjauhkan kita dari Allah, Rasul-Nya dan jihad ke jalan-Nya. Kita mungkin akan meninggalkan sembahyang kerana sibuk melayani kerenah anak isteri atau suami, kita mungkin lupa membela Rasulullah apabila kita mula leka dengan komitment-komitment yang lain, dan kita mungkin akan lupa dengan tugasan jihad, iaitu berjuang ke jalan Allah, keran leka dengan urusan perniagaan serta leka menguruskan harta benda dunia, sehingga tidak mahu mengeluarkan sumbangan kepada jihad fi sabillah.
Sekadar itu..buat renungan touch n go.

Rabu, September 22, 2010

Buat teman-teman, pagi ni saya membaca ayat ini.....surah ali Imran ayat 161
وَمَا كَانَ لِنَبِيٍّ أَن يَغُلَّ وَمَن يَغْلُلْ يَأْتِ بِمَا غَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ثُمَّ تُوَفَّى كُلُّ نَفْسٍ مَّا كَسَبَتْ وَهُمْ لاَ يُظْلَمُونَ
(Maksud ayat : Tidak mungkin seorang nabi berkhianat dalam urusan harta rampasan perang. Barangsiapa yang berkhianat dalam urusan rampasan perang itu, maka pada hari kiamat ia akan datang membawa apa yang dikhianatinya itu, kemudian tiap-tiap diri akan diberi pembalasan tentang apa yang ia kerjakan dengan (pembalasan) setimpal, sedang mereka tidak dianiaya.)
Saya cuba memahami bahawa ayat yang menjelaskkan tentang rampasan perang ialah harta orang ramai, atau juga dimaksud harta kerajaan. Apabila seseorang ketua yang menjadi tunggak kepada masyarakat menguruskan harta awam, maka ia hendaklah menguruskannya dengan cara yang paling teliti.
Sifat amanah yang ada pada Rasulullah saw adalah satu sifat yang terbukti berfungsi dengan aktif apabila berhadapan dengan perkara seperti ini. Terdapat di kalangan umat Islam di zaman baginda telah menuduh baginda tidak adil dalam mengagihkan harta rampasan perang, pada hal bagindalah orang yang paling adil. Rasulullah bertanya kepada orang yang mempertikaikan keadilannya "Siapakah yang paling adil kalau bukan Allah dan Rasul-Nya?!"
Keadilan itu ialah apa yang ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya, bukannya apa yang difikirkan oleh seseorang yang hanya mencakupi dirinya sahaja.
Kepada ketua atau pemimpin yang menguruskan mana-mana sumber kewangan, beringat-ingatlah tentang hal ini, kerana ia suatu urusan yang menyentuh prinsip hidup serta juga menyentuh kepercayaan seseorang kepada pengurusan ketuanya atau pemimpinnya.
Nabi Yusof pernah menyebut bahawa :
قَالَ اجْعَلْنِي عَلَى خَزَآئِنِ الأَرْضِ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ
Berkata Yusuf: "Jadikanlah aku bendaharawan negara (Mesir); sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan".(Surah Yusof ayat 55)
Nabi Yusof menyebutkan bahawa sesiapa sahaja yang ingin mengurus seperti menguruskan kewangan mestilah memiliki ilmu pengetahuan, sebagaimana dalam ayat tadi. Namun begitu, Nabi Yusof as juga mengingatkan kita tentang godaan yang sering menjadi ujian kepada jiwa dan nafsu manusia, firman Allah Ta'ala :
وَمَا أُبَرِّئُ نَفْسِي إِنَّ النَّفْسَ لأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلاَّ مَا رَحِمَ رَبِّيَ إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), karena sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyanyang.(Surah Yusof ayat 53)
Mudah-mudahan setiap yang berfungsi sebagai pengurus sesebuah firman atau syarikat mendapat peringatan.

Selasa, September 21, 2010

SOLAT HARI RAYA VS SOLAT JUMAAT


Assalamualaikum
Semasa saya solat raya di kampung saya.....agak terkejut juga dengan kenyataan salah seorang imam mengenai gugurnya solat jumaat jika telah mendirikan solat hari raya...imam tersebut berkata "jika ada orang kata solat jumaat tak wajib kerana telah solat hari raya, pandangan ini karut!!!!".
Setahu saya memang solat jumaat digalakkan sahaja, tidak diwajibkan bagi sesiapa yang telah solat sunat hari raya. Banyak juga hadis yang membincangkan suasana ini, antaranya ialah :

Pertama: Hadis Zaid bin Arqam
عَنْ إِيَاسِ بْنِ أَبِي رَمْلَةَ الشَّامِيِّ قَالَ: شَهِدْتُ مُعَاوِيَةَ بْنَ أَبِي سُفْيَانَ وَهُوَ يَسْأَلُ زَيْدَ بْنَ أَرْقَمَ قَالَ: أَشَهِدْتَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِيدَيْنِ اجْتَمَعَا فِي يَوْمٍ؟ قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: فَكَيْفَ صَنَعَ؟ قَالَ: صَلَّى الْعِيدَ ثُمَّ رَخَّصَ فِي الْجُمُعَةِ. فَقَالَ: ((مَنْ شَاءَ أَنْ يُصَلِّيَ فَلْيُصَلِّ). رواه أبو داود (1590)،
Muawiah bin Abi Sufyan bertanya kepada Zaid bin Arqam r.a: Pernahkah awak meyaksikan hari raya yang terkena pada hari Jumaat pada zaman Rasulullah SAW? Jawabnya: Ya! Kata Muawiah: Bagaimana Rasulullah melakukannya? Kata Zaid: Nabi SAW melaksanakan solat Eid (pada suatu hari Jumaat) kemudian Baginda memberikan rukhshah (kemudahan/keringanan) dalam solat Jumaat dengan bersabda: “Barangsiapa yang mahu solat (Jumaat), hendaklah dia solat.” [HR. Al-Khamsah, kecuali At Tirmizi. Hadis ini ditashih oleh ramai ulama’].

Kedua: Hadis Abu Hurairah:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: ((قَدْ اجْتَمَعَ فِي يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنْ الْجُمُعَةِ، وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ)) رواه أبو داود رقم: 1073.
Sabda Nabi saw: “Telah berkumpul pada hari kamu ini dua hari raya, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hari raya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi SAW) akan menunaikan (juga) solat Jumaat” [Riwayat Abu Daud, Ahmad, Ibn Majah. Dinilai sahih oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi. Al-Albani juga menyatakan sahih].

Ketiga: Hadis Abdullah bin Abbas.
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: ((اجْتَمَعَ عِيدَانِ فِي يَوْمِكُمْ هَذَا، فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنْ الْجُمُعَةِ، وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ، إِنْ شَاءَ اللَّهُ)). رواه ابن ماجة رقم: 1311.
Sabda Nabi Saw: “Telah berkumpul dua hari raya pada hari kamu ini, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hari raya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi s.a.w) akan menunaikan (juga) solat Jumaat, Insya’Allah”. [HR: Ibnu Majah]

Ketiga: Hadis Abdullah bin Umar.
عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: اجْتَمَعَ عِيدَانِ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى بِالنَّاسِ، ثُمَّ قَالَ: ((مَنْ شَاءَ أَنْ يَأْتِيَ الْجُمُعَةَ فَلْيَأْتِهَا)) وَمَنْ شَاءَ أَنْ يَتَخَلَّفَ فَلْيَتَخَلَّفْ)) رواه ابن ماجه رقم: 1313.
Katanya: “Telah berkumpul pada suatu ketika dua hari raya pada zaman Rasulullah saw, maka Baginda telah menunaikan solat hari raya bersama sahabat, kemudian bersabda: “Sesiapa yang mahu datang solat Jumaat, boleh datang dan sesiapa tak mahu pun boleh” [HR: Ibnu Majah]

Semua hadis ini menjelaskan kepada sesiapa yang inginkan kepastian hukum kefardhuannya keetika mana hari raya jatuh pada hari jumaat. Kita seharusnya merujuk terlebih dahulu sebelum memberikan sesuatu pandangan, tambahan pula melibatkan ramai jemaah yang mendengarnya.....maka mungkin akan timbul fitnah bagi yang menganggap ianya tetap wajib terhadap orang yang hanya mendirikan solat zohor sahaja....mereka akan dianggap telah melakukan dosa besar justeru meninggalkan solat jumaat...tidakkah itu jadi satu fitnah disebabkan orang alim tidak merujuk terlebih dahulu.
Semoga mendapat sedikit manafaat dan penjelasan bersama.

Isnin, September 06, 2010

Salam Lebaran

Assalamualaikum
Bagi teman-teman dan rakan-rakan yang sentiasa memantau blog saya...memang banyak kelemahan blog ini, tak dapat dinafikan kita ni manusia yang serba serbi lemah. Namun, sesuatu yang cemerlang perlu kita usahakan, agar kita tidak kalah dan lemah dengan kelemahan kita sendiri.
Di kesempatan ini, marilah kita berdoa kepada Allah agar, kita mampu menemui Ramadhan tahun depan lagi, mampu lagi menerokai rahsia Ramadan yang tidak pernah habis diceritakan orang. lailatul Qodar masih belum kita temui, hadirnyapun tanpa sebarang alamat dan tanda yang diperlihatkan kepada kita, cuma harapan kita agar pada malam-malam yang akhir itu menjadi salah satu malam Qodar.
Bagi sesiapa yang memiliki ibu dan bapa, segeralah pulang ke kampung, temuilah ibubapa yang amat rindukan anak cucunya kembali....masa anak cucu baliklah, ibu ayah kita rasa gembira, rasa suka hati....
Bagi pejuang-pejuang Islam, terutama di Palestin...hari raya bagi mereka adalah sama sahaja, hari-hari yang gelap bagi mereka, hidup mereka dengan peluruh dan darah para syuhada...hidup mereka terus dihujani dengan kematian dan kemurungan. Salam Aidilfitri diucapkan biarpun mereka tidak mendengarnya, biarpun mereka tidak sempat mendengarnya...justeru sibuk di medan perang.
Bagi keluargaku, semoga Allah terus memaafkanku diatas segala kesalahan dan kelalainku mendidik kalian semua, entah apakah soalan yang bakal ditanya oleh Allah di padang mahsyar nanti, adakah soalan tentang kelemahanku mendidik kamu semua, dan adakah soalan itu ada jawapan yang perlu ayahmu berikan...atau aku ini memang tiada jawapan. Adakah aku ini, ayah yang tidak memenuhi amanah yang telah diberikan-Nya, adakah aku ini ahli neraka ???? justeru kelalaianku dalam mendidiku kalian semua, dan adakah kulit-kulitku ini mampu bertahan dengan api neraka ?????
Ya Allah ampunkan dosa-dosaku, tanggalkanlah kedukaan diraut wajahku...aku lemah Ya Allah.