Sabtu, November 15, 2014

15 KELEBIHAN AL-QURAN



Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad sollahu alaihi wasallam, kepada para keluarganya, sahabat2nya dan sesiapa yang mengikut manhajnya.

Rakan2 yang dikasihi sekelian,
Kita semua tahu bahawa Al-Quran ialah Kitabullah adalah salah satu mu'jizat Nabi Muhammad S.A.W. Al-Quran , al-Quran bersifat sebagai sumber ilmu yang sangat banyak, sehinggakan tidak pernah berakhir ilmunya walaupun telah ramai ahli-ahli ilmu mencedok ilmunya.

Al-Quran diturunkan untuk mengajar manusia tentang pengesaannya kepada Allah SWT (tauhid). Konsep ibadat yang jelas dan menyeluruh agar manusia sentiasa mendapat bekalan yang baru dan segar. Mengajak manusia berfikir tentang ciptaan, pengawasan dan penjagaan yang ditadbirkan oleh yang Maha Agong agar dapat mengenal sifat-sifatNya yang unggul.

Di dalam al-Quran dipaparkan juga contoh tauladan dan juga kisah-kisah yang benar berlaku sebelum turunnya al-Quran dan pada masa penurunan al-Quran. Dengan itu manusia mendapat pengajaran dan panduan dalam mengharungi kehidupan sebagai muslim yang sejati dan benar dalam semua bidang kehidupan.

Terdapat 15 kebaikan-kebaikan al-Quran di dalam hadis-hadis sahih :

Pertama : Al-Quran akan menjadi syafaat dihari akhirat.

Daripada Abu Umamah r.a berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Bacalah al-Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya”. (Hadis Riwayat Muslim)

Kedua : Al-Quran sebagai pembela (mempertahankan) orang yang membacanya dihari akhirat.

Daripada Nawwas Bin Sam’an r.a. telah berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda : “Di hari akhirat kelak akan didatangkan al-Quran dan orang yang membaca dan mengamalkan isi kandungannya, didahului dengan Surah Al Baqarah dan Surah Ali-Imraan, kedua-dua surah ini menghujah ( mempertahankan ) orang yang membaca dan mengamalkannya”. (Hadis Riwayat Muslim)

Ketiga : Sebaik-baik amalan adalah orang yang belajar dan mengajarkan al-Quran.

Daripada Osman Bin ‘Affan r.a. telah berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda : “Sebaik manusia di antara kamu orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain”.
(Hadis Riwayat Bukhari)

Keempat : Membaca al-Quran dan susah menyebutnya mendapat dua pahala.

Daripada Aisyah r.a. telah berkata: Bersabda Rasulullah S.A.W. : “Orang yang membaca al-Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kelima : Mukmin yang membaca al-Quran umpama buah yang harum dan sedap rasanya.

Daripada Abu Musa Al Asy’ari r.a. telah berkata : Rasulullah S.A.W. bersabda : “Umpama orang mukmin yang membaca al-Quran seperti buah Utrujjah ( seperti limau besar ) baunya wangi dan rasanya sedap. Umpama orang mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah tamar tidak ada bau dan rasanya manis, dan umpama orang munafik yang membaca al- Quran seperti Raihanah (sejenis pokok) baunya wangi dan rasanya pahit dan umpama orang munafik yang tidak membaca al-Quran seperti buah labu yang tiada bau dan rasanya pahit”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Keenam : Allah SWT mengangkat martabat golongan yang membaca al-Quran.

Daripada Omar Bin Al Khattab r.a. Bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda: “Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab al-Quran”.(Hadis Riwayat Muslim)

Ketujuh : Kefahaman yang sahih tentang al-Quran akan menjadi contoh ikutan.

Daripada Ibnu Omar r.a. daripada Nabi Muhammad S.A.W. telah bersabda:
“Tidak boleh berhasad dengki kecuali di dalam dua perkara : Lelaki yang dianugerahkan kefahaman yang sahih tentang al-Quran, ia menunaikan ibadat siang dan malam , lelaki yang dianugerahkan kemewahan harta lalu dinafkahkannya siang dan malam”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kelapan : Membaca al-Quran akan mendapat ketenangan (sakinah)

Daripada Barra’ dan daripada ‘Azib r.a. telah berkata : “Seorang lelaki membaca Surah Al Kahfi dan di sisinya seekor kuda yang diikat dengan dua tali, maka awan di langit mula melindunginya dan semakin hampir, dan kudanya mula menjauhinya. Apabila menjelang pagi beliau pergi berjumpa Nabi Muhammad S.A.W. dan menceritakan peristiwa tersebut maka baginda bersabda : Itulah ( sakinah ) ketenangan yang turun disebabkan bacaan al-Quran”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kesembilan : Sesiapa yang tidak mengingati ayat-ayat al-Quran umpama rumah yang roboh.

Daripada Ibnu ‘Abbas r.a. beliau berkata : Rasulullah S.A.W. bersabda : “Sesungguhnya orang yang tidak ada di dalam ingatannya sesuatu pun daripada ayat al-Quran seperti rumah yang roboh”. (Hadis Riwayat Tarmizi dan beliau berkata: Hadis ini hasan sahih)

Kesepuluh : Membaca dan memperelokkan bacaan al-Quran akan mendapat kebaikannya.

Daripada Abdullah Bin ‘Umru Bin Al ‘As r.a. Nabi Muhammad S.A.W. bersabda :
“Satu masa nanti akan dikatakan kepada orang yang membaca al-Quran: Bacalah, perbaikkilah dan perelokkanlah bacaan al-Quran sepertimana engkau memperelokkan urusan di dunia, sesungguhnya tempat engkau akan ditentukan di akhir ayat yang engkau bacakan”. ( Hadis Riwayat Abu Daud dan Tarmizi dan beliau berkata : Hadis ini hasan sahih )

Kesebelas : Membaca beberapa ayat al-Quran lebih baik daripada mendapat unta yang gemuk.

Daripada ‘Uqbah Bin ‘Amir r.a. menceritakan : Rasulullah S.A.W keluar dan kami berada di tempat duduk masjid yang beratap. Maka beliau bersabda: “Siapakah di antara kamu yang suka keluar di pagi hari pada setiap hari menuju ke Buthan atau ‘Atiq, dan dia mengambil darinya dua ekor unta yang gemuk dalam keadaan dia tidak melakukan dosa dan tidak putus hubungan silaturrahim”. Kami menjawab : “Kami suka demikian itu. Sabda Rasulullah S.A.W : “Kenapakah kamu tidak pergi ke masjid belajar atau membaca dua ayat Al Quran lebih baik dari dua ekor unta, tiga ayat lebih baik dari tiga ekor, empat ayat lebih baik dari empat ekor unta demikianlah seterusnya mengikut bilangan ayatnya”. (Hadis Riwayat Muslim)

Kedua belas : Sesiapa yang lebih fasih memebaca al-Quran lebih layak menjadi imam solat berjemaah.

Daripada Ibnu Mas’ud r.a bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda : Orang yang paling layak mengimami kaum di dalam sembahyang ialah mereka yang terfasih membaca al-Quran”. (Hadis Riwayat Muslim )

Ketiga belas : Nabi SAW mengutamakan sahabat yang paling kuat berpegang teguh kepada al-Quran untuk dikebumikan jenazah mereka.

Daripada Jabir Bin Abdullah r.a. bahawa Nabi Muhammad S.A.W. menghimpun antara dua lelaki yang terbunuh di peperangan Uhud kemudian baginda bersabda : “Yang mana satukah antara keduanya yang paling kuat berpegang teguh dengan al-Quran maka apabila aku tunjukkan kepada salah seorang daripada keduanya maka dialah orang yang pertama masuk ke liang lahad”. (Hadis Riwayat Bukhari, Tarmizi, Nasa’ie dan Ibnu Majah)

Keempat belas : Kelebihan berdoa selepas membaca al-Quran.

Daripada ‘Imran Bin Husain Bahawa beliau lalu di hadapan qari yang sedang membaca al-Quran kemudian dia berdoa kepada Allah kemudian ia kembali membaca kemudian ia berkata aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda : “Barangsiapa yang membaca al-Quran maka berdoalah kepada Allah dengan al-Quran maka sesungguhnya akan datang beberapa kaum yang membaca al-Quran dan mereka berdoa dengannya”.
(Hadis Riwayat Tarmizi, beliau berkata : Hadis ini hasan)

Kelima belas : Setiap satu huruf membaca al-Quran akan mendapat sepuluh ganjaran pahala.

Daripada Ibnu Mas’ud r.a. ia berkata : “Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada al- Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud : Alif , Lam , Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf”.(Hadis Riwayat Ad Darimi Tarmizi, beliau berkata hadis ini hasan sahih)

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita menjadikan al-Quran sebagai peduman hidup kita , apabila kita sentiasa menjadikannya sebagai panduan dan peraturan hidup kita tidak akan sesat dan sentiasa mendapat pimpinan daripada Allah S.W.T. Al-Quran juga merupakan senjata yang paling berkesan untuk membersihkan jiwa dan menyinarkannya.

Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W.bersabda : Daripada Ibnu Umar r.a berkata:
“Rasulullah S.A.W. telah bersabda maksudnya : "Hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air". Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula. Kata baginda lagi, " Dengan banyak mengingati mati dan membaca al-Quran.”

Khamis, November 13, 2014

HUKUM SOLAT JENAZAH DUA KALI



Semasa ayah saya meninggal di Shah Alam saya telah menjadi imam untuk solat jenazah ayah saya di Masjid Al I’tisam, Taman TTDI Jaya. Kemudian jenazah ayah saya telah di bawa pulang ke Kuala Ibai, Kuala Terengganu. Ketika di Masjid Kolam, Kuala Ibai, Saya jadi serba salah untuk menyembahyangkannya sekali lagi, kerana bimbang ada hukum melarang. Oleh itu di bawah ini saya nyatakan fatwa yang Berkaitan :
فقد أجاز جمع من الفقهاء الصلاة على الميت الغائب عن البلد إلى مدة شهر من دفنه، أما إذا كان في نفس البلد فإن من لم يصل عليه جاز له أن يصلى على قبره. لما في الصحيحين من حديث ابن عباس رضي الله عنهما قال: انتهى النبي صلى الله عليه وسلم إلى قبر رطب فصلى عليه وصفوا خلفه وكبر أربعاوفي الصحيحين أيضاً أن امرأة سوداء كانت تقم المسجد فسأل عنها النبي صلى الله عليه وسلم فقالوا: ماتت. قال: أفلا كنتم آذنتموني؟ قال: دلوني على قبرها فدلوه فصلى عليها.
ولا يشرع لمن صلى على الجنازة أن يصلي عليها مرة أخرى، قال صاحب بدائع الصنائع: والتنفل بصلاة الجنازة غير مشروع بدليل أن من صلى مرة لا يصلي ثانيا. أنتهى
والله أعلم
Ramai Ulama’ mengharuskan solat jenazah secara ghaib yang dipisahkan antara bandar sehingga sebulan dari tarikh pengkembumiaannya. Akan tetapi jika dari bandar yang sama dan seseorang yang masih belum solat atas jenazah tersebut maka harus harus baginya menyembahyangkkannya di atas kubornya. Sebagaimana terdapat dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Ibnu Abbas ra, bersabda Rasulullah s.a.w “berakhir Nabir sollahu alaihi wasallam ke kubur dan solat atasnya bersama dengan saf para sahabat dengan bertakbir  empat kali takbir.

Juga terdapat dalam Bukhari dan Muslim kisah seorang muslimah berkulit hitan yang menjadi petugas masjid, Rasulullah saw bertanyakannya jawap para sahaba “dia telah meninggal!” Nabi saw bersabda “Kenapa kamu tidak memberitahuku?, tunjukkanku kubornya” maka ditunjukkan kepada baginda lalu baginda solat di atasnya.

Tidak disyaratkkan bagi sesiapa yang sembahyang jenazah untuk mengulangi solat ke atas jenazah yang sama. Kata penulis kitab Bada’I as Sona’I “Hukum sunat atas solat jenazah tidak disyarakkan dengan dalil “Sesiapa yang solat sekali tidak solat kali kedua”. http://fatwa.islamweb.net

Haji Harun bin Jusoh Pejuang Islam... Bapaku Berpindah Dari Alam Fana' ke Alam Baqa'

Ayahanda Hj Harun Berbaju Petak
Insan yang mendidikku sejak dari kecil hingga besar kini telah pergi buat selama-lamanya. Tanggal 18 Oktober 2014 adalah tarikh yang akan kukenang buat selama-lamanya, Kembalinya insan mulia Haji Mohamed @ Harun bin Jusoh ke pangkuan Tuhannya. 

Seorang bapa yang tegas dan berjiwa sensitif. Ayah meninggal di KPJ Shah Alam. Di Hospital berkenaan tiada perkhidmatan untuk jenazah disedikan, Oleh itu jenazah ayah di bawa ke masjid yang terdekat dari Hospital iaitu Masjid Al I'tisam, Taman TTDI Jaya, kebetulan di Taman TTDI Jaya ini saya pernah tinggal  di situ selama setahun lebih. Tempat pertama yang diami sebaik sahaja datang dari Terengganu. Sehingga kini, saya masih meneruskan kuliah maghrib sebulan sekali. Pada mulanya ayah masuk ke KPJ Damansara, tetapi apabil Doktor Kamil mencadangkan supaya ayah di pindahkan ke KPJ Shah Alam, kerana katanya Doktor yang pakar dalam bidangnya hanya ada di situ. Dengan sebab itulah ayah dipindah ke ke KPJ Shah Alam.
JENAZAH DI BAWA KE MASJID I'TISAM
Masjid Al I'tisam
Selepas sahaja ayah menghembuskan nafasnya yang terakhir lebih kurang jam 10.40 pagi, saya terus menghubungan Saudara Kamaruzzaman yang merupakan salah seorang dari ajk Masjid untuk urusan kereta jenazah dan mandi. kereta jenazah tiba di Hospital lebih kurang 11.30 pagi, terus di bawa ke Masjid I'tisam untuk urusan mandi dan kafan. Turut sama mengiringi van jenazah Kapten Halim orang kuat Masjid I'tisam TTDI Jaya.
Ustaz Syuja' sebagai jurumandi dengan dibantu oleh beberapa teman yang lain terus memandikan jenazah ayah. Mudah urusannya, licin prosesnya. Semua adik beradik berpeluang menolong sama mandikan jenazah ayah. Keadaan ini menyebabkan semua adik beradik berpuas hati kerana dapat berikan khidmat terakhir buat ayah tercinta. Sebaik sahaja Jenazah selesai dikafankan berkemundang azan zohor. Selepas itu solat Jenazah terus dilaksanakan. Kehadiran untuk solat jenazah sangat memuaskan, teman-teman saya yang selalu mengikuti kuliah saya di situ ramai juga yang hadir ketika solat jenazah. Sahabat-sahabat ayah yang ada di Kuala Lumpur dan Selangor juga sempat datang untuk memberikan penghormatan terakhir. teman-teman sepengajian di Jordan dulu seperti Us Kamal Hisyam, Us Zawadi dan Us Hadi Talhah juga kelihatan dalam saf-saf solat jenazah. 
Wakil-wakil dari surau dan masjid juga ada yang sempat hadir sama, rombongan dari Surau
Hidayah Mustaqim yang diketahui oleh Haji Azizan, juga sempat datang rombongan dari Masjid Fatimah Az Zahra' Taman Kosas yang diketuai oleh En Sobri.
Juga tidak ketinggalan YB Syed Azman juga salah seorang yang sempat hadir mewakili kepimpinan PAS Negeri Terengganu.
JENAZAH DI BAWA PULANG KE KAMPUNG HALAMAN
Melihatkan jenazah ayah masih utuh dan segar, maka saya dan semua adik beradik bersetuju membawa pulang jenazah ayah ke Kampung Dusun, Kuala Ibai, Kuala Terengganu. Van Jenazah milik Masjid al I'tisam berlepas lebih kurang jam 2.00 petang ke Kuala Terengganu. Kami adik beradik berkonvoi mengikut van jenazah.
JENAZAH DI KUALA TERENGGANU
Jenazah ayahanda sampai di rumah kediaman rasminya lebih kurang 7.45 malam. Sementara anak terakhir sampai lebih kurang 9.00 malam. Sementara menunggu sampai anak-anak, sanak keluarga yang ada mengambil peluang untuk melihat wajah ayah buat kali terakhir. Berseri-seri wajah ayah, mulutnya kelihatan tersenyum manis.... seolah-olah suka jenazahnya di bawah terlebih dahulu ke rumah kediamannya, untuk sekadar mengucapkan selamat tinggal buat kali terakhir. Untuk tatapan teman taulan dan keluarga.
Sebaik sahaja anak terakhir mencium dan cucu-cucu mengucup ayahanda buat kali terakhir, ku cium dahi ayahanda, terasa hangat dan masih berpeluh dahinya, wajah ayah kelihatan sangat tenang dan bercahaya, ku bisikkan ke telinganya "selamat jalan ayah! buat selama-lamanya, anakmu mohon maaf di atas segala dosa dan kesalahan yang pernah ku lakukan".

DISEMBAHYANGKAN KALI KE DUA
Jenazah ayah di bawah ke masjid Kolam Kuala Ibai untuk disembahyang sekali lagi. Ramai juga yang datang untuk mengucapkan selamat tinggal, ramai juga pimpinan Pas yang hadir dari semua peringkat. Kelihatan juga teman-teman lama dalam PAS seperti Dato' Wan Mutalib Embong, Dato' Mustafa Ali dan lain-lain datang untuk ucapkan selamat tinggal buat ayah. 
Semua teman seperjuangan ayah hadir untuk menghormati jenazah ayah buat kali terakhir, namun biarpun ayah telah meninggal medan juang di atas bumi, perjuangan terus bersambung dengan anak-anak muda yang menampungnya setelah kepergian tokoh-tokoh lama.
TOKOH PAS YANG MENDAHULUINYA
Ayah di antara tokoh veteran Pas Terengganu yang pergi meninggalkan perjuangan yang mana sebelum ini rakah-rakannya yang lain mendahuluinya, seperti Dato' Harun Taib Ketua Dewan Ulama Pas, al Marhum Dato' Harun adalah teman rapat ayah dalam saf pimpinan Terengganu. Juga yang mendahulu ayah ialah Dato' Abu Bakar Chik, juga Us Awang Nasruddin yang dulu dikenali dengan Us Awang Tukul Besi. Semuanya telah meninggalkan perjuangan ini untuk diserahkan kepada generasi muda Pas.
Namun suatu yang sangat menyedihkan, setelah kepergian semua pejuangan ini, PAS berhadapan dengan konflik yang sangat meruncing dalam sejarah perjuangan PAS. Sebahagian besar dari Ahli Jawatan Kuasa Pusat telah bertindak memasalahkan PAS, mereka memperlekehkan pimpinan tertinggi, mereka cuba tanpa sedar merosakkan PAS dari dalam.
 


Rabu, November 12, 2014

JAUHI SIFAT BERBURUK SANGKA DAN BANGGA DIRI (UJUB)



Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Sifat buruk sangka, bangga diri, ujub dan sombong adalah sifat-sifat mazmumah yang perlu kita jauhi. Tanpa kita sedari bahawa apabila sifat-sifat ini  telah bertapak dalam hati kita akan menyebabkan hati kita berpenyakit dan akan merosakkan amalan kita kepada Allah S.W.T.
Terdapat satu kisah seorang ulama sufi bernama Hassan al-Basri dengan seorang pemuda berdua-duaan dengan seorang wanita.
Suatu hari, di tepi sungai Dajlah, Hassan al-Basri melihat seorang pemuda duduk berdua-duaan dengan seorang wanita. Di sisi mereka terletak sebotol arak. Lalu Hassan berbisik, "Alangkah jahatnya orang itu dan alangkah baiknya kalau dia seperti aku!"
Tiba-tiba Hassan melihat sebuah perahu di tepi sungai yang sedang tenggelam. Lelaki yang duduk di tepi sungai tadi segera terjun untuk menolong penumpang perahu yang hampir lemas. Enam dari tujuh penumpang itu berjaya diselamatkan.
Kemudian dia berpaling ke arah Hassan al-Basri dan berkata, "Jika engkau memang lebih mulia daripada saya, maka dengan nama Allah, selamatkan seorang lagi yang belum sempat saya tolong. Engkau diminta untuk menyelamatkan satu orang saja, sedang saya telah menyelamatkan enam orang."
Bagaimanapun Hassan al-Basri gagal menyelamatkan yang seorang itu. Maka lelaki itu bertanya padanya, "Tuan, sebenarnya wanita yang duduk di samping saya ini adalah ibu saya, sedangkan botol itu hanya berisi air biasa, bukan arak. Ini hanya untuk menguji tuan."
Hassan al-Basri terpegun lalu berkata, "Kalau begitu, sebagaimana engkau telah menyelamatkan enam orang tadi daripada bahaya tenggelam ke dalam sungai, maka selamatkanlah saya daripada tenggelam dalam kebanggaan dan kesombongan."
Orang itu menjawab, "Mudah-mudahan Allah mengabulkan permohonan tuan."
Semenjak itu, Hassan al-Basri selalu merendahkan diri bahkan dia menganggap dirinya sebagai makhluk yang tidak lebih daripada orang lain.
Sahabat yang dimuliakan,
Sebagai pengajaran untuk diambil sebagai iktibar kisah di atas, terdapat dua cara untuk mengatasinya.
1.  Jangan berburuk sangka dengan orang lain serta memandang rendah padanya. Apabila kita melihat orang lain membuat maksiat kepada Allah jangan menghinanya atau reda dengan perbuatannya dan cuba mencari aibnya. Berilah nasihat yang baik penuh hikmah. Anggaplah berkemungkinan orang itu jahil tentang perbuatannya. Sebagai muhasabah diri sendiri pula, kita patut malu pada diri sendiri yang dikurniakan oleh Allah S.W.T ilmu ini tetapi masih juga melakukan perbuatan yang dilarang oleh-Nya.
Buruk sangka kepada orang lain atau yang dalam bahasa Arabnya disebut su'u zhan mungkin biasa atau bahkan sering hinggap di hati kita. Lebih parahnya, terkadang prasangkaan kita tiada mempunyai asas dan tiada alasan yang benar. Memang semata-mata sifat kita suka curiga dan penuh sangka kepada orang lain, lalu kita membiarkan zhan tersebut bersemayam di dalam hati. Bahkan kita membicarakan serta menyampaikannya kepada orang lain. Padahal su'u zhan kepada sesama kaum muslimin tanpa ada bukti yang kukuh merupakan perkara yang terlarang.
2.  Perkara yang patut kita ingat adalah tentang diri kita iaitu perbuatan baik orang pada kita dan perbuatan jahat kita pada orang lain. Perkara yang patut kita lupakan adalah kebaikan kita pada orang dan kejahatan orang pada kita. Barulah hati kita akan menjadi bersih dan terhindar daripada sifat bangga diri dan menghargai kebaikan orang lain.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
إِنَّمَا يُؤْمِنُ بِآيَاتِنَا الَّذِينَ إِذَا ذُكِّرُوا بِهَا خَرُّوا سُجَّداً وَسَبَّحُوا بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ
"Sesungguhnya orang-orang yang percaya pada keterangan Kami, ialah orang yang apabila dibaca ayat-ayat itu kepada mereka, mereka sujud, tasbih memuji Tuhan dan mereka tidak menyombongkan diri.
{س} تَتَجَافَى جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفاً وَطَمَعاً وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ
Mereka meninggalkan tempat tidurnya menyeru Tuhannya dengan perasaan penuh kecemasan dan pengharapan dan mereka membelanjakan (di jalan kebaikan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka." (Surah as-Sajadah:15-16)

ORANG YANG DIPOTONG LIDAHNYA



حَدَّثَنَا حَسَنٌ حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ سَلَمَةَ عَنْ عَلِيِّ بْنِ زَيْدِ بْنِ جُدْعَانَ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
رَأَيْتُ لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِي رِجَالا تُقْرَضُ شِفَاهُهُمْ بِمَقَارِيضَ مِنْ نَارٍ فَقُلْتُ يَا جِبْرِيلُ مَنْ هَؤُلاءِ قَالَ هَؤُلاءِ خُطَبَاءُ مِنْ أُمَّتِكَ يَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ وَيَنْسَوْنَ أَنْفُسَهُمْ وَهُمْ يَتْلُونَ الْكِتَابَ أَفَلَا يَعْقِلُونَ

Aku melihat pada malam aku diisra’kan, lelaki-lelaki yang dipotong lidah mereka dengan gunting dari api, aku bertanya Jibril “Siapakah mereka itu?”
Jawab Jibril “Mereka adalah pemidato-pemidato dari kalangan umatmu yang menyuruh manusia dengan kebaikan tetapi lupa akan diri mereka sendiri, sedangkan mereka membaca akan al Quran, tidakkah mereka berakal!”.