“Ya Allah!
Kasihanilah dia kerana solat yang panjang diselangi tangisan di tengah
kedinginan malam yang sepi, ketika orang-orang lain sedang nyenyak dibuai
mimpi. Ya Allah! Kasihanilah dia yang sering menahan lapar dan dahaga ketika
bertugas jauh dari Madinah
atau Mekah dalam menunaikan ibadah puasa kepadaMu. Ya Allah! Aku menyerahkannya
di bawah pemeliharaanMu, aku redha dengan apa yang telah Engkau tetapkan bagiku
dan baginya, dan berilah kami pahala orang-orang yang sabar...!" [Doa
Asma' radhiallahu anha buat puteranya, Abdullah bin Zubair]
Asma'
binti Abu Bakar As-siddiq, saudara kepada Aisyah Ummul Mukminin (isteri
Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam), puteri kepada sahabat Rasulullah yang
mulia, Saidina Abu Bakar As-siddiq, isteri Zubair bin Awwam, pejuang dan tokoh
Islam yang mengutamakan redha Allah di dalam perjuangannya, Merupakan seorang
wanita muhajir yang mulia dan bonda kepada Abdullah bin Zubair, salah seorang
pejuang yang gugur mempertahankan agamanya, dan sesungguhnya kedudukannya ini
cukup untuk mengangkat darjat beliau ke tempat yang tinggi, mulia dan terpuji.
Peribadinya dirahmati Allah dengan keistimewaan yang sangat menonjol, setanding
dengan para Muslimin di ketika itu, cerdas, cerdik, lincah, pemurah dan berani.
Kedermawanan
beliau dapat dilihat jelas melalui ucapan anaknya," Aku belum pernah
melihat wanita yang sangat pemurah melebihi ibuku termasuk Aisyah Radhiallahu
anha. Beliau (Aisyah) mengumpulkan apa yang diperolehinya sedikit demi sedikit,
lantas setelah itu barulah dinafkahkannya kepada mereka yang memerlukannya.
Sedangkan ibuku, dia tidak pernah menyimpan sedikit pun sehingga hari
esok"
Kebijaksanaan
Dzatun Nithaqain
Kecemerlangan
berfikir Asma Radhiallahu anha terpancar dari sikapnya yang penuh prihatin dan
perhitungan yang bijaksana. Peristiwa Hijrah Abu Bakar menyaksikan pengorbanan
seorang sahabat demi Islam, tidak meninggalkan sesen pun harta untuk keluarganya
melainkan dibelanjakan keseluruhannya untuk Allah dan rasulNya. Ketika
Abu Quhafah (ayah kepada Abu Bakar radhiallahu anhu) yang masih musyrik menemui
keluarganya, beliau berkata kepada Asma',
"Demi
Allah! Tentu ayahmu telah mengecewakanmu dengan hartanya, di samping akan
menyusahkanmu dengan pemergiannya!". Jawab wanita yang mulia ini, "Tidak
wahai datuk! sekali-kali tidak! Beliau banyak meninggalkan wang buat kami"
ujarnya sambil menghibur dan menenangkan datuknya.
Dikumpulkannya
batu-batu kerikil yang kemudiannya dimasukkan ke dalam lubang tempat
kebiasaannya menyimpan wang. Kemudian dibawakan datuknya yang buta itu ke
tempat simpanan tersebut, lantas berkata, "Lihatlah datukku! Beliau banyak
meninggalkan wang buat kami!".
Perkataan
tersebut ternyata berjaya meyakinkan Abu Quhafah. Maksud perbuatan tersebut
adalah untuk menyenangkan hati datuknya, agar tidak bersusah hati memikirkan
hal tersebut. Malah, Asma' juga tidak menginginkan bantuan dari orang
musyrik meskipun datuknya sendiri. Inilah bukti yang menunjukkan besarnya
perhatian beliau terhadap dakwah dan kepentingan kaum Muslimin.
Diberi
julukan sebagai 'dzatun nithaqain' oleh Rasulullah yang membawa erti
"wanita yang mempunyai dua tali pinggang", sebagai peringatan
terhadap peristiwa Hijrah yang menyaksikan pengorbanan dan keberanian Asma'
yang tiada tolok bandingannya. Beliau bersusah payah menyediakan bekalan
makanan dan minuman buat Rasulullah dan Abu Bakar Radhiallahu anhu di saat
genting seperti itu. Beliau mengoyakkan ikat pinggangnya kepada dua untuk
dijadikan tali pengikat untuk mengikat bekalan makanan dan minuman tersebut,
sehingga kerana peristiwa itu Rasulullah mendoakan beliau agar digantikan tali
pinggang tersebut dengan yang lebih baik dan lebih indah di syurga kelak.
Tidak
hanya itu pengorbanan Asma Radhiallahu anha. Peristiwa hijrah ini turut
menyaksikan kekuatan berfikir dan perancangan strategi yang dimiliki oleh
seorang Muslimah hasil dari aktiviti politik dan kecemerlangan berfikir yang
diadun dengan ketaqwaan dan keimanan yang teguh. Asma' Radhiallahu anha bukan
sekadar menjadi penghantar makanan kepada dua orang sahabat yang berperanan
penting bagi umat Islam, malah beliau juga menyampaikan berita-berita penting
tentang rencana-rencana pihak musuh terhadap kaum Muslimin. Dengan kehamilannya
ketika itu, Asma' mengambil peranan yang menjanjikan risiko tinggi, di
mana bukan saja nyawanya menjadi taruhan, malah lebih dari itu, nyawa
Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan ayahnya turut sama terancam.
Memikirkan kemarahan musuh Islam lantaran lolosnya Rasulullah dari kepungan,
kafir Quraisy pastinya akan berusaha bersungguh-sungguh mencari-cari Rasulullah
Sallallahu Alaihi wa Sallam untuk dibunuh kerana bencinya mereka terhadap
dakwah Islam dan pejuang-pejuangnya.
Di
saat-saat genting seperti itu, Asma' mampu meramal segala kemungkinan yang
bakal berlaku, dan dengan kecerdikan dan penuh perhitungan, beliau berjalan
menuju Gua Tsur sambil menggembala kambing-kambingnya berjalan di belakangnya.
Taktik ini dilakukan untuk mengaburi mata pihak musuh kerana jejaknya terhapus
oleh jejak-jejak kambing gembalaannya itu. Tindakan ini belum tentu mampu
dilakukan oleh seorang lelaki yang berani sekalipun, lantaran hal tersebut
bakal mengundang bahaya, kezaliman, dan kekejaman orang-orang kafir Quraisy.
Permasalahan
ini tidak cukup sampai di situ. Setelah kejayaan Rasulullah dan Abu Bakar
keluar dari tempat persembunyian dan berhasil berhijrah ke Madinah, Asma'
Radhiallahu anha dan keluarganya didatangi beberapa orang Quraisy, di antaranya
Abu Jahal yang telah bertindak kasar menampar pipi Asma’ Radhiallahu anha
dengan sekali tamparan yang mengakibatkan subangnya terlepas!. Asma' menjawab
dengan penuh diplomasi saat beliau ditanya tempat persembunyian Rasulullah dan
ayahnya dengan berkata," Demi Allah, aku tidak tahu di mana ayahku berada
sekarang!"
Hijrah
Asma' Radhiallahu anha dan suaminya ke Madinah berlaku selang beberapa lama
dari hijrah sebelumnya, di mana pada ketika itu Asma' sedang sarat
mengandungkan Abdullah bin Zubair dan hanya menanti detik-detik kelahirannya.
Perjalanan yang jauh dan berbahaya ditempuhi jua sehinggalah angkatan para
sahabat tiba di Quba'. Kelahiran anak pasangan sahabat ini disambut dengan
penuh kesyukuran dan kegembiraan. Dialah bayi pertama yang dilahirkan di Madinah.
SEBAIK-BAIK
IBU DAN PENGURUS RUMAH TANGGA
Seorang
muhajirah yang agung, antara wanita yang awal memeluk Islam, sangat memuliakan
suaminya meskipun Zubair hanya seorang pemuda miskin yang tidak mampu
menyediakan pembantu buatnya. Hatta tidak mempunyai harta yang dapat
melapangkan kehidupan keluarganya, melainkan hanya seekor kuda yang dijaganya
dengan baik. Beliaulah isteri yang sentiasa sabar dan setia berkhidmat untuk
suaminya, sanggup bekerja keras merawat dan menumbuk sendiri biji kurma untuk
makanan kuda suaminya di saat Zubair sibuk menjalankan tugas-tugas yang
diperintah Rasulullah kepadanya.
Di
dalam didikannya, keperibadian Abdullah bin Zubair dibentuk. Beliau adalah seorang
ibu yang sangat memahami peranannya dalam melahirkan generasi utama yang
berkualiti, generasi yang menjadikan kecintaan kepada Allah dan RasulNya di
atas segala-galanya, sama ada harta, isteri, keluarga mahupun segala jenis
perbendaharaan dunia. Beliau mencetak keperibadian generasi yang siap berjuang
membela bendera Islam dan kalimah La ilaha illallah Muhammad Rasulullah.
Keperibadian seperti ini terpancar jelas di dalam diri puteranya, Abdullah bin
Zubair. Hal ini dapat kita lihat melalui kisah pertemuan terakhir di antara
seorang ibu dan anak yang saling menyayangi dan mencintai satu sama lain,
semata-mata kerana kecintaan keduanya kepada Allah Subhanahu wa Taala dan
RasulNya.
Abdullah:
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, wahai ibunda!
Asma':
Wa'alaikum salam warahmatullahi wabarakatuh, ya Abdullah! Mengapa engkau datang
ke sini di saat-saat seperti ini? Padahal batu-batu besar yang dilontarkan
Hajjaj kepada tenteramu menggetarkan seluruh Kota Mekah?
Abdullah:
Aku hendak bermusyawarah dengan ibu
Asma':
Tentang masalah apa?
Abdullah:
Tenteraku banyak meninggalkanku. Mereka membelot dariku ke pihak musuh. Mungkin
kerana mereka takut terhadap Hajjaj atau mungkin juga kerana mereka
menginginkan sesuatu yang dijanjikannya sehingga anak-anak dan isteriku sendiri
berpaling daripadaku. Sedikit sekali jumlah tentera yang tinggal bersamaku.
Sementara utusan Bani Umayyah menawarkan kepadaku apa saja yang ku minta berupa
kemewahan dunia asal saja aku bersedia meletakkan senjata dan bersumpah setia
mengangkat Abdul Malik bin Marwan sebagai khalifah. Bagaimana pendapatmu wahai ibu?
Asma':
Terserah kepadamu Abdullah! Bukankah engkau sendiri yang mengetahui tentang
dirimu? Jika engkau yakin bahawa engkau mempertahankan yang haq dan mengajak
kepada kebenaran, maka teguhkanlah pendirianmu sepertimana para perajuritmu
yang telah gugur dalam mengibarkan bendera agama ini! Akan tetapi, jika engkau
menginginkan kemewahan dunia, sudah tentu engkau adalah seorang anak lelakiku
yang pengecut! dan bererti engkau sedang mencelakakan dirimu sendiri dan
menjual murah harga kepahlawananmu selama ini, anakku!
Abdullah:
Akan tetapi, aku akan terbunuh hari ini ibu.
Asma'
: Itu lebih baik bagimu daripada kepalamu akan dipijak-pijak juga oleh
budak-budak Bani Umayyah dengan mempermainkan janji-janji mereka yang
sangat sukar untuk dipercayai!
Abdullah:
Aku tidak takut mati, Ibu. Tetapi aku khuatir mereka akan mencincang dan
merobek-robek jenazahku dengan kejam!
Asma':
Tidak ada yang perlu ditakuti perbuatan orang hidup terhadap kita sesudah kita
mati. Kambing yang sudah disembelih tidak akan merasa sakit lagi ketika
kulitnya dikupas orang!
Abdullah:
Semoga Ibu diberkati Allah. Maksud kedatanganku hanya untuk mendengar apa yang
telah ku dengar dari ibu sebentar tadi. Allah Maha Mengetahui, aku bukanlah
orang yang lemah dan terlalu hina. Dia Maha Mengetahui bahawa aku tidak akan
terpengaruh oleh dunia dan segala kemewahannya. Murka Allah bagi sesiapa yang
meremehkan segala yang diharamkanNya. Inilah aku, anak Ibu! Aku selalu patuh
menjalani segala nasihat Ibu. Apabila tewas, janganlah ibu menangisiku. Segala
urusan dari kehidupan Ibu, serahkanlah kepada Allah!
Asma'
: Yang ibu khuatirkan andainya engkau tewas di jalan yang sesat.
Abdullah
: Percayalah Ibu! Anakmu ini tidak pernah memiliki fikiran sesat untuk berbuat
keji. Anakmu ini tidak akan menyelamatkan dirinya sendiri dan tidak
memperdulikan orang-orang Muslim yang berbuat kebaikan. Anakmu ini mengutamakan
keredhaan ibunya. Aku mengatakan semua ini di hadapan ibu dari hatiku yang
putih bersih. Semoga Allah menanamkan kesabaran di dalam sanubari Ibu.
Asma'
: Alhamdulillah! segala puji bagi Allah yang telah meneguhkan hatimu dengan apa
yang disukaiNya dan yang Ibu sukai pula. Rapatlah kepada Ibu wahai anakku, Ibu
ingin mencium baumu dan menyentuhmu. Agaknya inilah saat terakhir untuk ibu
memelukmu..."
Abdullah
: Jangan berhenti mendoakanku Ibu!
Sebelum
matahari terbenam di petang itu, Abdullah bin Zubair syahid menemui Rabbnya.
Dia kembali kerana mengutamakan redha Allah dan redha ibunya yang beriman.
Diriwayatkan, bahawa Al-Hajjaj berkata kepada Asma' setelah Abdullah terbunuh
:"Bagaimanakah engkau lihat perbuatanku terhadap puteramu ?" Asma'
menjawab :"Engkau telah merosak dunianya, namun dia telah merosak
akhiratmu." Asma' wafat di Mekkah dalam usia 100 tahun, sedang giginya
tetap utuh, tidak ada yang tanggal dan akalnya masih sempurna. [Mashaadirut
Tarjamah : Thabaqaat Ibnu Saad, Taarikh Thabari, Al-Ishaabah dan Siirah Ibnu
Hisyam]. Semoga Allah meredhai kedua hambaNya, Asma' dan puteranya.
Khatimah
Inilah
sebuah teladan yang sangat berharga buat kita semua. Asma' Radiallahu anha
bukan sahaja menunjukkan keberaniannya, kepatuhannya kepada Allah, suami dan
ayahnya, juga pengorbanannya yang besar, sikap dermawannya dan kecemerlangan
berfikir yang menjadi cermin keperibadiannya. Bersama suaminya, Zubair bin
Awwam, terbentuklah keluarga sakinah, mawaddah wa rahmah, bukan kerana harta
yang melimpah ruah, tetapi limpahan barakah dan rahmat dari Allah
Subhanahu wa Taala kerana ahli keluarganya yang menjadikan kecintaan mereka
hanya kepada Allah dan Rasul di atas kecintaan-kecintaan lainnya. Dari keluarga
ini, lahirlah seorang syuhada yang gagah berani, tidak takut terhadap apapun
kecuali Allah Subhanahu wa Taala Semoga kisah Asma’ Abu Bakar ini akan
sentiasa mekar di jiwa kita sebagai motivasi diri dalam menyemai kecintaan
serta menjalankan kewajipan terhadap Rabbul Izzati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan