Selasa, Mac 29, 2016

LARANGAN SUJUD MACAM UNTA

Hasil carian imej untuk untaPandangan Oleh : Abu al-Harith Muhammad Faiz Fathi Bin Asmori

1. HADITH-HADITH YANG SALING BERCANGGAH

Berkaitan hal ini terdapat hadith-hadith yang saling bercanggah, satu hadith menyatakan turun ketika hendak sujud didahului dengan lutut sebelum tangan dan satu lagi hadith menyatakan turun ketika hendak sujud didahului dengan tangan sebelum lutut. Hadith-hadith tersebut ialah :
Hadith 1 :
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : (( إِذَا سَجَدَ أَحَدُكُمْ فَلاَ يَبْرُكْ كَمَا يَبْرُكُ الْبَعِيرُ وَلْيَضَعْ يَدَيْهِ قَبْلَ رُكْبَتَيْهِ)) .
Daripada Abu Hurairah berkata : Bersabda Rasulullah saw : “Apabila seseorang diantara kamu semua hendak sujud, maka janganlah dia turun seperti seekor unta turun untuk duduk. Dan hendaklah dia meletakkan kedua-dua tangannya sebelum kedua-dua lututnya”.[1]
(Riwayat Abu Daud)
Hadith 2 :
عَنْ وَائِلِ بْنِ حُجْرٍ قَال : (( رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا سَجَدَ وَضَعَ رُكْبَتَيْهِ قَبْلَ يَدَيْهِ وَإِذَا نَهَضَ رَفَعَ يَدَيْهِ قَبْلَ رُكْبَتَيْهِ )) .
Daripada Wail Bin Hujr berkata : “Aku melihat Nabi saw ketika Baginda sujud, Baginda meletakkan kedua-dua lututnya sebelum kedua-dua tangannya, dan apabila Baginda berdiri, Baginda mengangkat kedua-dua tangannya sebelum kedua-dua lututnya”.[2]
(Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)
2. HURAIAN HADITH

Hadith (1) menerangkan kepada kita bahawa Nabi saw melarang umatnya untuk turun ketika sujud menyerupai unta ketika mana unta itu turun untuk duduk serta Nabi memberitahu bagaimana cara untuk turun sujud. Manakala hadith (2) pula merupakan athar daripada sahabat yang menunjukkan cara Nabi saw turun untuk sujud.
Oleh itu, untuk menyelesaikan percanggahan hadith-hadith ini, maka perlulah untuk diteliti dua perkara ini iaitu :
  1. Status hadith-hadith yang saling bercanggah.
  2. Bagaimana cara unta turun untuk duduk.
2.1 Status Hadith-Hadith Yang Saling Bercanggah

Untuk meneliti status hadith (1) ini, maka hendaklah dilihattariq sanad yang telah diriwayatkan oleh Abu Daud. Yang mana Abu Daud telah mengambil hadith ini daripada Sacid Bin Mansur, daripada cAbd al-Aziz Bin Muhammad, daripada Muhammad Bin cAbdullah Bin Hasan, daripada Abu al-Zinad, daripada al-Acraj, daripada Abu Hurairah.[3]

Menurut al-Albani, sanad hadith ini sahih. Para perawinya thiqah dan merupakan perawi yang digunakan oleh Muslim, kecuali kepada perawi Muhammad Bin Abdullah Bin Hasan, kerana dia ma’ruf dengan hadith-hadith tentang tazkiyah al-nafs, dan dia juga merupakan seorang al-Alawi (Ahli al-Bait).[4] Namun menurut al-Hafiz Ibn Hajr dia merupakan perawi yang thiqah juga dan merupakan dikalangan Kibar Atba’ al-Tabi’in.[5]

 begitu, dia tetap tidak terlepas daripada perbahasan sebahagian ulama kerana mereka menyatakan didalam hadith ini terdapat 3 ‘illah, iaitu[6]
 :
Hasil carian imej untuk unta1.    Al-Daruqutni berkata bahawa riwayat al-Darawardi (Abd al-Aziz) pada hadith tersebut gharib[7] daripada Muhammad Bin cAbdullah Bin Hasan.[8]

2.    Riwayat Muhammad Bin cAbdullah Bin Hasan yang ada pada sanad ini juga gharib daripada Abu al-Zinad.

3.    Kata-kata daripada al-Bukhari : “Saya tidak mengetahui apakah Muhammad Bin cAbdullah Bin Hasan mendengar dari Abu al-Zinad atau tidak.[9]

Al-Albani telah menjawab dengan mengatakan bahawa ‘illah yang pertama dan yang kedua tidak mencacatkan kesahihan hadith ini kerana kedua-dua perawi iaitu Abd al-Aziz Bin Muhammad dan Muhammad Bin Abdullah Bin Hasan merupakan perawi yang thiqah.
Manakala untuk ‘illah yang ketiga pula, ini disebabkan kerana ia merupakan kaedah khusus al-Bukhari itu sendiri dalam meriwayatkan hadith iaitu Ma’rifah al-Liqa[10], yang mana kebanyakkan ulama hadith lain tidak meletakkan syarat tersebut. Mereka hanya cukup sekadar bertemu sekiranya kedua-dua perawi tersebut sezaman dan aman dari sifat tadlis. Dan Muhammad Bin Abdullah Bin Hasan memenuhi syarat tersebut.[11]
Dan sebenarnya terdapat juga hadith lain yang juga sahih yang menjadi mutaba’ah terhadap hadith di atas serta menjadi bukti bahawa cAbd al-Aziz tidak gharib dalam periwayatannya iaitu :
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : (( يَعْمِدُ أَحَدُكُمْ فِي صَلاَتِهِ فَيَبْرُكُ كَمَا يَبْرُكُ الْجَمَلُ )) .
Daripada Abu Hurairah berkata : Bersabda Rasulullah saw : “Turunnya seseorang diantara kamu dalam solatnya dengan lutut, maka dia turun sepertimana turunnya unta ketika hendak duduk.”[12]
(Riwayat Abu Daud)
Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Qutaibah Bin Sacid, daripada cAbdullah Bin Nafic, daripada Muhammad Bin Abdullah Bin Hasan dengan sanad yang sama seperti hadith (1). Perawi-perawi yang terdapat didalam hadith ini juga thiqah.[13]
Manakala untuk hadith (2) pula, Abu Daud telah mengambil daripada al-Hasan Bin Ali dan Husain Bin Isa, kedua-duanya daripada Yazid Bin Harun, daripada Syarik, daripada ‘Asim Bin Kulaib, daripada bapanya (Kulaib), daripada Wail Bin Hujr. Sanad hadith ini da’if. Namun para ulama hadith berselisih dalam hadith ini kerana al-Tirmizi menyatakan bahawa hadith ini hasan gharib. Manakala al-Hakim menyatakan bahawa Muslim menjadikan Syarik sebagai hujah[14], dan telah dipersetujui oleh al-Zahabi.

Al-Albani menyatakan bahawa Syarik sama sekali tidak dijadikan hujah oleh Muslim. Hal ini kerana Muslim hanya meriwayatkan hadith Syarik sebagai mutaba’ah sahaja. Ia juga telah ditegaskan oleh beberapa peneliti hadith yang lain yang mana di antara mereka ialah al-Zahabi sendiri di dalam kitabnya al-Mizan. Perkara ini sering menyebabkan al-Hakim tergelincir pada kekeliruan ini, kerana beliau seorang yang mutasahil[15]yang mana pada akhirnya al-Hakim mensahihkan setiap hadith yang diriwayatkan oleh Syarik, yang juga turut diikuti oleh al-Zahabi. Ibn Hajar telah menyebutkan di dalam kitabnya Lisan al-Mizan, Syarik merupakan perawi yang sudduq[16], mempunyai kesalahan yang banyak, dan berubah-ubah daya hafalannya.[17]

Adapun al-Daruqutni berkata : “Hadith ini telah diriwayatkan secara gharib oleh Yazid Bin Harun daripadaSyarik, dan tiada seorang pun yang menceritakan hadith ini daripada ‘Asim Bin Kulaib melainkan hanya Syarik, sedangkan Syarik bukanlah seorang perawi yang kuat, apabila periwayatannya gharib.”

Maka disebabkan inilah al-Albani menda’ifkan hadith ini, kerana apabila Syarik gharib dalam periwayatannya, maka ia tidak boleh dijadikan hujah, lebih-lebih lagi jika dia menyalahi perawi-perawi thiqah yang lain.[18]

Kesimpulannya, atas perbincangan dan kajian yang telah dibuat, maka hadith (2) tidak dapat dijadikan hujah atau dalil dalam penentuan hukum.

Namun, andai kata hadith (2) tetap ingin diterima statusnya sebagai hadith hasan. Maka di dalam ilmu Muktalif al-Hadith, kaedah yang boleh digunakan ialah kaedah tarjih.Dan di dalam kaedah tarjih bentuk yang boleh digunakan ialah :
القول مقدم علي الفعل
Maksudnya : “Kata-kata diutamakan daripada perbuatan”.
Maka hadith (1) lebih diutamakan dari hadith (2). Wa Allahu ‘Alam.

2.2 Cara Unta Turun Untuk Duduk
Perbincangan kedua berkaitan hadith ini yang boleh dibincangkan, ialah Nabi saw melarang umatnya meniru atau menyamai unta ketika mana unta itu turun untuk duduk. Persoalannya, bagaimanakah cara unta turun untuk duduk? Adakah ia berkaitan dengan mendahulukan kedua-dua lutut sebelum kedua-dua tangan atau mendahulukan kedua-dua tangan sebelum kedua-dua lutut? Dan yang manakah yang lebih tepat dan rajih? Maka dibawakan perbahasan para ulama berkaitan hal ini.

Para ulama telah berselisih dalam keadaan turunnya unta ketika hendak sujud, antara perselisihan yang timbul ialah :

1.    Ketika unta turun untuk duduk, maka ia akan menurunkan tangannya (kaki hadapan) dahulu kemudian barulah ia akan menurunkan lututnya (kaki belakang). Begitu juga ketika unta itu naik untuk berdiri, ia akan menaikkan lututnya (kaki belakang) dahulu kemudian barulah tangannya (kaki depan). Pendapat ini merupakan pendapat daripada Ibn Qayyim al-Jauzi.[19]

Beliau berkata demikian kerana inilah maksud sebenar larangan Nabi supaya jangan menyerupai turunnya unta.[20] Selain itu, beliau menyatakan bahawa ketika unta turun untuk duduk, anggota pertama yang menyentuh tanah adalah tangannya (kaki depan).
Dan berkaitan hadith Abu Hurairah, beliau menyatakan bahawa hadith tersebut telah tertukar sebahagian periwayatannya.[21] Hal ini kerana beliau menemui satu hadith lain yang berbeza iaitu :
عن عبد الله بن سعيد ، عن جده ، عن أبى هريرة ، عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : (( إذا سجد احدكم فليبدأ بركبتيه قبل يديه ولا يبرك بروك الجمل )) .
Maksudnya : Daripada cAbdullah Bin Sacid, daripada datuknya, daripada Abu Hurairah, daripada Nabi saw, beliau bersabda : “Apabila seseorang diantara kamu semua hendak sujud, maka mulakan dengan lututnya sebelum tangannya dan janganlah dia turun seperti seekor unta turun untuk duduk.”[22]
(Riwayat al-Baihaqi)
Beliau juga menyatakan bahawa lutut unta terletak pada tangannya (kaki depan) merupakan kata-kata yang tidak diterima akal, dan tidak diketahui oleh ahli bahasa.[23] Justeru itu, beliau menyatakan bahawa mendahulukan lutut sebelum tangan ketika sujud lebih rajah.

2.    Pendapat kedua pula menyatakan bahawa lutut unta terletak pada tangannya (kaki depan). Ia telah disebut oleh ahli sastera yang bernama al-Jahiz, beliau berkata : “Setiap haiwan yang berkaki empat maka lututnya terletak di tangannya dan lutut manusia terletak di kedua kakinya.”[24]

Al-Thahawi juga pernah berkata : “Lutut unta terletak di tangannya, begitu juga dengan semua haiwan kecuali anak Adam.” Al-Azhari juga berkata : “Lutut unta terdapat di tangannya dan kedua lutut unta ini merupakan dua sendi yang terletak selepas perut di saat unta sedang turun untuk duduk. Adapun dua sendi yang menonjol ke arah belakang adalah curqub (urat kaki).[25]

Di dalam Lisan al-Arab juga disebutkan : “Lutut seekor unta berada pada tangannya.” Ini semua menunjukkan bahawa lutut unta terletak pada tangannya dan apabila unta hendak turun untuk duduk, ia menurunkan lututnya terlebih dahulu kemudian ia meletakkan badan sehingga mengeluarkan suara.

Oleh kerana ketika solat perlu kepada kekhusyukan, maka meletakkan tangan dahulu akan menjadikan solat lebih tenang. Hal ini kerana jika turun dengan lutut dahulu, ia akan menghasilkan hentakkan, lebih-lebih lagi jika seseorang solat di tempat yang berkayu dan ramai, maka ia akan menghasilkan bunyi-bunyi yang akan mengganggu orang solat.[26]

Berkaitan dengan hadith yang dibawa oleh Ibn Qayyim pula, hadith tersebut terdapat seorang perawi yang bernama Abdullah Bin Sa’id. Beliau adalah al-Maqburi yang merupakan seorang perawi yang matruk. Sebahagian ulama menuduhnya dirinya sebagai dusta, bahkan boleh jadi beliau sengaja melakukan pendustaan, sehingga membalikkan lafaz hadith tersebut.[27]
Berkaitan dengan pendapat Ibn Qayyim yang menyatakan bahawa maksud larangan Nabi agar jangan menyerupai turunnya unta dengan menurunkan tangan dahulu pula, ia adalah satu pendapat yang keliru. Hal ini kerana yang dilarang adalah turun ke lantai dengan hentakkan dan ini terjadi apabila lutut diturunkan lebih dahulu seperti yang dilakukan unta. Berkaitan dengan lutut unta terletak di tangannya juga telah jelas di dalam kitab Lisan al-Arab, malah ia bukanlah seperti sangkaan Ibnu Qayyim yang menyangka bahawa hal ini tidak diketahui dalam bahasa arab. Kesemuanya ini telah dijawab oleh Syeikh Ahmad Shakir.[28]

3. KESIMPULAN

Daripada hadith-hadith yang telah dihuraikan di atas dengan melihat hujah-hujah dan pendapat-pendapat yang dikeluarkan oleh para alim ulama, maka saya lebih cenderung untuk menerima pendapat yang menyatakan bahawa cara turun ketika hendak sujud adalah didahulukan dengan tangan kemudian barulah lutut. Hal ini kerana cara turun sebegini sesuai dengan larangan yang Nabi saw sabdakan agar jangan menyerupai turunya unta ketika hendak duduk.

Pendapat Saya (Orang yang menaqalkan pandangan ini dalam webnya) :
Saya melihat bahawa pandangan yang pertama lebih sesuai dengan amalan orang sekarang ini. Di tambah pula dengan adanya pandangan yang bersandarkan hadiith-hadith yang menyokong pandangan yang pertama. Jika dilihat dengan amalan orang sekarang samada orang itu ulama atau orang biasa kebanyakannya sujud dengan meletakkan lutut terlebih dahulu barulah dengan tangan.

Melainkan jika seseorang itu sakit di lututnya, maka boleh dia sujud dengan meletakkan tangannya terlebih dahulu. Tidak memerlukan dia menggunakan kerusi atau solat secara duduk, ia lebih digalakkan untuk sujud dengan meletakkan tangannya terlebih dahulu. Wallahu ‘alam.

*******
Akhir kata dari saya, sesungguhnya telah jelas dalil-dalil yang telah dibincangkan. Marilah kita bersama-sama berusaha untuk mentaatinya. Moga-moga kita semua terhindar daripada kesesatan, sepertimana firman Allah :
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلالا مُبِينًا (٣٦)
Maksudnya : “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.”
(Surah al-Ahzab : Ayat 36)

Tiada ulasan: