Sabtu, April 02, 2016

HUKUM MAKMUM MENDAHULUI IMAM


Dalam mengerjakan sembahyang jemaah, adakalanya makmum terlambat mengikut imam dan adakalanya juga makmum mendahuluinya.

Pada dasarnya, makmum wajib mengikut imam pada perbuatan-perbuatan sembahyang. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ اْلإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ، فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا، وَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا، وَإِذَا رَفَعَ فَارْفَعُوا، وَإِذَا قَالَ: "سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ"، فَقُولُوا: "رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ"، وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا.
(رواه البخاري)

Maksudnya: “Sesungguhnya imam itu dijadikan untuk diikuti. Oleh itu, jika dia bertakbir maka kamu ikutlah bertakbir dan jika dia ruku‘ maka kamu ikutlah ruku‘ dan jika dia bangkit (dari ruku‘) maka kamu bangkitlah dan jika dia membaca: “ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ ” maka kamu bacalah: “ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ ” dan jika dia sujud maka kamu sujudlah.”
(Hadits riwayat al-Bukhari)

Makmum yang senghaja melambat-lambatkan daripada mengikut perbuatan imam sehingga imam mendahuluinya dengan dua rukun fi‘li (rukun perbuatan dalam sembahyang) sama ada yang panjang ataupun pendek, maka batallah sembahyang makmum tersebut kerana terlalu banyak ketinggalan.

Sementara makmum yang tidak senghaja melambat-lambatkan daripada mengikut perbuatan imam sehingga imam mendahuluinya dengan dua rukunfi‘li yang panjang ataupun pendek, maka tidaklah batal sembahyangnya.

Namun dalam hal makmum yang tidak senghaja terlambat daripada imamnya ini, janganlah dia ketinggalan sehingga imam mendahuluinya dengan tiga rukun fi‘li yang panjang. Ini kerana jika imam mendahuluinya dengan tiga rukunfi‘li yang panjang, maka hendaklah dia terus sahaja mengikut perbuatan yang dilakukan imam pada ketika itu dan setelah imam selesai memberi salam hendaklah dia berdiri lagi bagi mengganti rakaat yang dia tidak sempat menyempurnakan beberapa rukun di dalamnya itu.

Apa yang dimaksudkan dengan rukun fi‘li yang panjang ialah berdiri (qiyam),ruku‘, sujud dan duduk tasyahhud akhir. Sementara maksud rukun fi‘li yang pendek ialah i‘tidal dan duduk antara dua sujud.

Bagaimana pula jika makmum mendahului imam sama ada pada bacaan atau perbuatan sembahyang, adakah perkara ini boleh merosakkan sembahyang makmum itu?


Makmum mendahului bacaan imam

Jika makmum mendahului imam pada rukun qauli (bacaan yang wajib) selaintakbiratulihram dan salam, maka tidaklah berdosa dan sah sembahyangnya. Ini kerana makmum tersebut melaksanakan rukun qauli itu pada tempatnya tanpa banyak percanggahan perbuatannya dengan imam.

Adapun makmum yang mendahului imam melakukan takbiratulihram, atau melakukannya serentak dengan takbiratulihram imam sama ada keseluruhannya atau sebahagian takbiratulihram, atau makmum syak sama ada dia mengangkat takbiratulihram serentak bersama imam atau selepas selesai imam mengangkat takbiratulihram dan dia tidak dapat meyakini perkara yang menjadi syak ke atasnya itu dalam masa yang terdekat, maka tidaklah sah sembahyangnya itu kerana dia berniat mengikut orang yang belum berada di dalam sembahyang.

Demikian juga, jika makmum mendahului imam melakukan salam maka batal sembahyangnya melainkan jika dia berniat mufaraqah (berpisah daripada mengikut imam).

Makmum mendahului perbuatan imam

Makmum tidak boleh mendahului perbuatan imam. Perbuatan mendahului imam jika dilakukan dengan senghaja adalah haram. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa RasulullahShallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
أَمَا يَخْشَى الَّذِي يَرْفَعُ رَأْسَهُ قَبْلَ اْلإِمَامِ أَنْ يُحَوِّلَ اللَّهُ رَأْسَهُ رَأْسَ حِمَارٍ
(رواه مسلم)

Maksudnya: “Apakah tidak takut orang yang mengangkat kepalanya sebelum imam, Allah Subhanahu wa Ta‘ala akan menukarkan kepalanya dengan kepala keldai?”
(Hadits riwayat Muslim)

Menurut al-Imam an-Nawawi Rahimahullah, bahawa hadits di atas bermaksud menjelaskan perihal beratnya pengharaman perbuatan mendahului imam.

Makmum yang mendahului perbuatan imam ini bolehlah dibahagikan kepada dua:

(1)     Makmum mendahului imam kurang daripada dua rukun fi‘li

Apabila makmum mendahului imam dengan senghaja atau kerana terlupa kurang daripada dua rukun fi‘li sama ada yang panjang atau pendek, sama ada satu rukun fi‘li yang sempurna atau sebahagian rukun fi‘li ataupun satu dan sebahagian rukun fi‘li, tidaklah perbuatannya itu membatalkan sembahyang. Ini kerana perbuatannya yang bersalahan dengan imam itu adalah sedikit.

§  Contoh makmum mendahului imam dengan satu rukun fi‘li yang sempurna:

Setelah makmum melakukan ruku‘ dan mula bangkit daripada ruku‘, barulah imam melakukan ruku‘. Ini bererti makmum mendahului imam dengan satu rukun yang sempurna iaitu ruku‘.

§  Contoh makmum mendahului imam pada sebahagian rukun fi‘li:

Imam masih berdiri sedang makmum sudah membongkokkan badannya untuk melakukan ruku‘. Sebelum makmum bangkit daripada ruku‘, imam pun melakukan ruku‘. Ini bererti makmum mendahului imam dengan sebahagian rukun fi‘li iaitu ruku‘.

§  Contoh makmum mendahului imam pada satu dan sebahagian rukun fi‘li:

Ketika imam masih berdiri, makmum melakukan ruku‘ dan ketika makmum melakukan i‘tidal imam pun melakukan ruku‘. Ini bererti makmum mendahului imam dengan satu rukun fi‘li yang sempurna iaituruku‘ dan sebahagian rukun fi‘li iaitu i‘tidal.

Dalam keadaan ini, apakah yang perlu dilakukan oleh makmum? Adakah memadai dia menunggu imam sahaja ataupun kembali semula mengikut perbuatan imam?

Makmum yang senghaja mendahului perbuatan imam boleh menunggu imam sampai ke perbuatan yang didahuluinya, akan tetapi sunat baginya untuk kembali semula mengikut perbuatan imam.

Sementara makmum yang mendahului perbuatan imam kerana terlupa, harus baginya memilih sama ada menunggu imam ataupun kembali semula mengikut perbuatan imam. Walau bagaimanapun adalah lebih baik dia kembali semula mengikut perbuatan imam.

(2)     Makmum mendahului imam sehingga dua rukun fi‘li

Dalam hal ini terdapat dua keadaan:

(i)          Mendahului imam dengan senghaja dan tahu perbuatan itu haram

Apabila makmum mendahului imam dengan dua rukun fi‘li yang panjang atau pendek dengan senghaja dan dia tahu bahawa perbuatan itu haram, maka perkara ini boleh membatalkan sembahyangnya. Ini kerana perbuatannya terlalu banyak bersalahan dengan imam.

§  Contoh:

Makmum melakukan ruku‘i‘tidal dan mula hendak melakukan sujud sedangkan imam masih berdiri. Ini bererti makmum mendahului imam dengan dua rukun fi‘li iaitu ruku‘ dan i‘tidal.

(ii)       Mendahului imam kerana terlupa atau tidak tahu perbuatan itu haram

Apabila makmum mendahului imam dengan dua rukun fi‘li yang panjang atau pendek disebabkan terlupa atau tidak tahu perbuatan itu haram, perkara ini tidaklah membatalkan sembahyangnya akan tetapi perbuatan-perbuatan yang didahuluinya sebelum imam itu melakukannya adalah tidak dikira. Oleh itu wajib bagi makmum itu kembali semula mengikut perbuatan imam apabila dia teringat.

§  Contoh:

Makmum melakukan ruku‘i‘tidal dan mula hendak melakukan sujud sedangkan imam masih berdiri. Dalam keadaan ini makmum itu hendaklah kembali semula berdiri untuk mengikut imam.

Namun jika makmum itu tidak juga kembali semula mengikut perbuatan imam, apabila imam selesai memberi salam hendaklah dia berdiri lagi bagi mengganti rakaat yang tidak dikira itu. Jika imam selesai memberi salam dan dia tidak berdiri lagi bagi mengganti rakaat yang tidak dikira itu, maka hendaklah dia mengulang semula sembahyangnya.

Sebagai kesimpulan, dalam perkara sembahyang jemaah banyak lagi perkara-perkara yang perlu diketahui, contohnya dalam masalah syarat-syarat mengikut imam. Oleh sebab itu, syarat-syarat ini perlu dipelajari dan diambil perhatian mengenainya demi mencapai kesempurnaan sembahyang jemaah itu.

copypaste dari 
http://fatwairsyadbrunei.blogspot.my/2015/05/sembahyang-jemaah_8.html

Tiada ulasan: