Rabu, Julai 09, 2008

MUBAHALAH

Ada Mufti kita yang mencadangkan supaya kes liwat ini diselesaikan dengan 'MUBAHALAH'. Ada juga yang membangkang dan ada juga yang menyetujuinya. Memang mubahalah ada implikasinya, dan implikasinya mungkin memenuhi ruang masa yang agak lama. Semuanya ada nas dan dalil masing-masing. Namun begitu masyarakat Islam tentu ada segelintir yang tidak mengetahui apakah sebenarnya 'mubahalah' itu. Pihak yang memberi cadangan sedang menyelinap masuk ke dalam kancah politik, walaupun beliau menafikan penglibatannya dan tidak mahu melibatkan diri dengan politik. Bila kita berani komen orang politik dan memberi pandangan tentang arus politk negara tidakkah kita sedang melibatkan diri dalam politik, cuma mungkin kita tidak dilabelkan berada di atas landasan mana.
Kita gusar juga, kalau-kalau kita digunakan oleh seseorang ataupun organisasi tertentu untuk menyerang seseorang tanpa menghadapi risikonya, tetapi kita yang menerima risikonya. Kalau begini keadaannya, kita perlu mengkaji semula penglibatan kita. Rasanya menerima hakikat kita kurang matang dalam politik amat perlu, agar kesilapan yang kita lakukan jika boleh dikatakan kesilapan, tidak berpusing menghala kita balik, dan langsung memberikan impak yang amat buruk.
Allah menyebut mengenai mubahalah dalam ayat 61 surah Al Imran, yang bermaksud : "[61] Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta.
Inilah ayat Al-Quran yang ada kaitan dengan 'Mubahalah'. Ayat ini pernah ditafsirkan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam kuliah-kuliah beliau di Masjid Rusila. Asal dan sebab diturunkan ayat ialah sempena kedatangan seramai 60 orang yahudi Najran, termasuk 14 orang pemimpin mereka menemui Rasulullah. Kisah ini ada dinyatakan oleh Ibnu Ishak dan dinaqalkan oleh Ibnu Kathir dalam tafsirnya.
Orang Yahudi ini telah berdebat dengan Rasulullah tentang kerasulan baginda serta juga kaitannya dengan kerasulan Nabi Isa alaihissalam. Mereka telah diajak oleh Rasulullah untuk membuktikan kebenaran Islam atau Kristian dengan bersumpah yakni mubahalah bersungguh-sungguh dengan laknat dari ALLAH terhadap sesiapa yang berbohong dan menyampaikan dakwaan palsu. Apabila Yahudi mendengarkan cabaran Rasulullah ini mereka telah balik berbincang dengan para ulama mereka, ternyata mereka gerun untuk bermubahalah kerana kata ulama mereka bahawa Rasulullah adalah sebenarnya nabi dan apabila mereka bermubahalah dengan Rasulullah maka kecelakaan akan ditimpakan atas mereka dan kaum mereka.
Inilah sedikit sebanyak kisah 'Mubahalah" yang telah dijelaskan dalam tafsir Ibnu Kathir dan dari kuliah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Semoga kita sama-sama mendapatkan sedikit peringatan dan penjelasan.
Apapun yang kita bicarakan di tengah-tengah masyarakat memang akan mempunyai dua kesan, baik atau buruk. Ada yang pada anggapannya bagus dan baik tetapi tidak baik baginya atau bagi sesetengah orang, dan ada yang beranggapan tidak baik tetapi sebenarnya bagus dan baik untuknya atau sesetengah orang, dalam firman ALLAH menerusi surah Al-Baqaroh ayat 216 ada menyebutkannya.
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.“
Kita juga perlu bimbang kalau-kalau apa yang dibicarakan di khalayak ramai mempunyai unsur-unsur tohmahan atau fitnah serta membawa perbalahan di kalangan masyarakat. Semoga kita sentiasa berhati-hati dalam membicarakan sesuatu terutama apabila kita sedang dinilai dan diperhatikan orang. Wallahu 'alam.

Tiada ulasan: