Rabu, Disember 12, 2018

Jangan Ludah Malaikat

Malaikat adalah sejenis makhluk yang tak dapat dilihat tapi dipercayai dan DISENANGI semua manusia tanpa mengira agama. Banyak sekali ayat yang menunjukkan manusia kufur daripada umat lampau seperti Fir’awn pun hormati malaikat. Anda boleh rujuk ayat berikut (al-An’am 6:8, Fussilat 41: 13-14 & al-Zukhruf 43:53).

Pun begitu, ada manusia pelik yang membenci serta memusuhi Jibril AS seperti orang Yahudi. Apabila Rasulullah SAW tiba di Madinah, mereka menolak baginda kerana Jibril menjadi malaikat pembimbing baginda (Tafsir Ibn Kathir). Berikutan itu Allah menegur keras mereka dengan ayat ini:

قُلْ مَنْ كَانَ عَدُوًّا لِجِبْرِيلَ فَإِنَّهُ نَزَّلَهُ عَلَى قَلْبِكَ بِإِذْنِ اللَّهِ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ وَهُدًى وَبُشْرَى لِلْمُؤْمِنِينَ (97) مَنْ كَانَ عَدُوًّا لِلَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَرُسُلِهِ وَجِبْرِيلَ وَمِيكَالَ فَإِنَّ اللَّهَ عَدُوٌّ لِلْكَافِرِينَ (98)

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesiapa memusuhi Jibril maka sebabnya ialah kerana Jibril itu menurunkan Al-Quran ke dalam hatimu dengan izin Allah, yang mengesahkan kebenaran kitab yang ada di hadapannya (yang diturunkan sebelumnya), serta menjadi petunjuk dan memberi khabar gembira kepada orang yang beriman". Sesiapa memusuhi Allah (dengan mengingkari segala petunjuk dan perintah-Nya), memusuhi para malaikat-Nya, para rasul-Nya, terutama sekali malaikat Jibril dan Mikail, (maka dia akan diseksa oleh Allah) kerana sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang kafir (al-Baqarah 2:97-98).

Selain itu, nabi melarang umatnya MELUDAH MALAIKAT. Eh! Mana mungkin kita akan ludah malaikat? Sabda Rasulullah SAW:

إِذَا قَامَ أَحَدُكُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَلَا يَبْصُقْ أَمَامَهُ فَإِنَّمَا يُنَاجِي اللَّهَ مَا دَامَ فِي مُصَلَّاهُ وَلَا عَنْ يَمِينِهِ فَإِنَّ عَنْ يَمِينِهِ مَلَكًا وَلْيَبْصُقْ عَنْ يَسَارِهِ أَوْ تَحْتَ قَدَمِهِ فَيَدْفِنُهَا

Ertinya: Apabila sesiapa daripada kamu solat, maka janganlah ludah ke arah hadapannya kerana sesungguhnya dia sedang bermunajat kepada Allah selagi dia berada di tempat solatnya. JANGAN JUGA (LUDAH) KE ARAH KANANNYA KERANA PADA SEBELAH KANANNYA ADA MALAIKAT. (Jika terpaksa) maka ludahlah ke arah kiri atau di bawah tapak kakinya, lalu ditanamnya (dengan kaki) (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Kewujudan malaikat yang dimaksudkan hadith ini adalah KETIKA DALAM SOLAT. Ia juga melibatkan solat di kawasan luar seperti di atas pasir atau tanah dan bukannya dalam masjid. Tujuan utama arahan timbus kesan ludah di bawah tapak kaki adalah untuk mengelakkan ia terkena orang lain. Ringkasnya, kita PERLU SENTIASA HORMATI PARA MALAIKAT.

Untuk hormati serta kenali mereka sudah pasti dengan mendalami agama dan bukannya “meneka perihal makhluk ghaib secara ikut-ikutan.” Antara buku ringkas yang bagus membicarakan perihal malaikat adalah – عالم الملائكة الأبرار – ALAM PARA MALAIKAT YANG BERBAKTI karya Prof Dr ‘Umar Sulayman Abdullah al-Asyqar.

 Alhamdulillah! Buku ini menjadi bahan sampingan kelas Tafsir Dhuha mingguan saya di Masjid Ibn Sina, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

- Abdullah Bukhari @ 11 December 2018 -

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=521580525015982&id=508904676283567

Tiada ulasan: