Di sini ada suatu kisah tentang seorang ahli ibadah yang ingin masuk syurga dengan amalannya, mari kita menelusuri kisahnya.
Dari Jabir bin Abdullah, dia berkata: “Suatu hari kami keluar bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Di tengah perjalanan Rasulullah bersabda: “Sebentar tadi Jibril datang kepadaku, dia berkata: “Wahai Muhammad, dahulu kala Allah mempunyai seorang hamba yang sangat soleh. Dia beribadah kepada Allah selama lima ratus tahun. Seluruh hidupnya dia abdikan hanya kepada Allah. Dia tinggal di puncak sebuah gunung yang terletak di tengah lautan. Luas dan tinggi gunung tersebut sekitar tiga puluh hasta, sementara lautnya terbentang luas sekitar empat ribu farsakh.
Tidak jauh dari tempat dia beribadah, di kaki gunung, keluarlah air tawar sebesar jari yang keluar dari celah-celah batu sebagai tempatnya menghilangkan rasa haus. Di tempat tadi juga ada sepohon delima yang setiap malam mengeluarkan buahnya. Apabila petang hari tiba, dia turun dari puncak gunung menuju kepada air tawar tadi untuk mengambil wudhu’ sekaligus minum dan makan buah delima sebagai mengisi perutnya yang kosong. Setelah itu dia kembali beribadah. Demikianlah rutinnya sehari-hari.
Suatu hari dia memohon kepada Allah agar dimatikan dalam keadaan sujud, lalu Allah mengabulkan permohonannya itu, dia pun mati dalam keadaan sujud. Ketika dia sudah berada di hadapan-Nya (pada hari Kiamat), Allah kemudian berfirman: “Wahai hamba-Ku, masuklah ke dalam syurga dengan rahmat-Ku.” Hamba itu menjawab: “Ya Allah, aku masuk syurga kerana amalku, bukan kerana rahmat-Mu.” Allah kembali berfirman: “Wahai hamba-Ku, masuklah ke dalam syurga dengan rahmat-Ku.” Hamba tadi kemudian menjawab kembali: “Ya Allah, bukan kerana rahmat-Mu aku masuk ke dalam syurga, melainkan kerana ibadahku. Aku habiskan seluruh umurku hanya untuk beribadah kepada-Mu.”
Allah lalu berfirman: “Hamba-Ku ini membandingkan nikmat yang telah Aku berikan dengan amal ibadah yang telah dilakukannya. Ketahuilah wahai hamba, nikmat penglihatan sahaja yang Aku berikan kepadamu itu cukup untuk membalas amal ibadahmu yang lima ratus tahun itu, belum lagi dengan nikmat-nikmat-Ku yang lain.” Allah berfirman lagi: “Baiklah wahai hamba, mendekatlah dan jawablah pertanyaan-pertanyaan-Ku ini. Wahai hamba, siapakah yang telah menciptakanmu dari tiada?” Hamba itu menjawab: “Engkau ya Allah.” Allah kembali bertanya: “Siapa yang memberimu kesihatan sehingga kau dapat beribadah selama lima ratus tahun?” Hamba itu kembali menjawab: “Engkau ya Allah.”
Allah kembali bertanya: “Siapa yang menempatkanmu di tengah lautan sehingga kau dapat beribadah dengan tenang? Siapa pula yang telah mengeluarkan air tawar sebagai tempatmu minum padahal kau berada di tengah lautan yang masin airnya? Siapa pula yang telah mengeluarkan buah delima dari pohonnya yang selalu berbuah setiap hari sebagai makananmu padahal buah itu (sepatutnya) ada setahun sekali? Siapa pula yang mematikanmu ketika kau sedang sujud?” Hamba itu menjawab: “Engkau ya Allah.” Allah kembali berfirman: “Semua itu adalah rahmat-Ku, dan kerananya (rahmat) pula Aku memasukkanmu ke syurga. Engkaulah hamba-Ku yang paling beruntung, kerananya masuklah ke dalam syurga.” Hamba itu kemudian masuk ke dalamnya (syurga).”
(Riwayat Al-Hakim, sanadnya sahih
Tiada ulasan:
Catat Ulasan