Jumaat, April 22, 2016

TANGGUNGJAWAB ILMU JANGAN KHIANAT

Guru yang mulia Syaikhuna Jamal Faruq al-Daqqaq al-Hasani hafizahullah ada menceritakan pada kami sepertimana yang disampaikan oleh guru beliau al-Allamah Syeikh Ismail Sodiq al-Adawi rahimahullah betapa amanah di dalam ilmu sangat dituntut dan menjadi keaiban bagi seorang ilmuan mengkhianati ilmu yang dipelajarinya.
Ceritanya :
Al-Azhar pada zaman dahulu jika ingin memberikan kepada para pelajarnya Syahadah Alimiyyah ( sijil tertinggi yang membolehkan seseorang itu mengajar di Masjid al-Azhar al-Syariff) maka akan diadakan ujian di dalam 12 bidang ilmu.
Jika pelajar tersebut lulus kesemua 12 ilmu tersebut maka dia mendapat kelulusan untuk mengajar kesemua bidang ilmu tersebut. Ada yang hanya diberikan izin mengajar 3 atau 4 sahaja bidang. Ada yang hanya dibenarkan mengajar 1 bidang sahaja.
Ada juga yang tidak dibenarkan langsung untuk mengajar sebarang bidang ilmu !!
Diantara sekian ramai penuntut ilmu yang akan mengambil ujian tersebut salah seorang daripadanya adalah anak kepada Syaikhul Azhar pada waktu tersebut ( tidak pasti siapakah Syaikhul Azhar tersebut kerana Syaikhuna menukilkan tanpa menyebutkan nama Syaikhul Azhar tersebut).
Selesai hari pertama ujian, sedang Syaikhul Azhar tersebut bersama dengan anaknya melangkah keluar daripada Masjid Agung al-Azhar al-Syariff, datang seorang lelaki bertanya soalan kepada Syaikhul Azhar tersebut .
Soalannya :
" Tuan Syaikh yang mulia, saya ingin bertanya , apakah warna anjing Ashabul Kahfi yang disebutkan di dalam al-Quran?? "
Syaikhul Azhar terkejut dengan soalan tersebut lalu menjawab :
" Saya tidak pernah pula terfikir tentang perkara tersebut. Nanti saya akan rujuk semula di dalam kitab-kitab para ulama"
Setelah pulang, sepanjang malam Syaikhul Azhar tersebut membelek segala kitab Tafsir dan kitab-kitab karangan ulama bagi mencari jawapan " warna anjing Ashabul Kahfi".
Setelah lama membelek kitab-kitab , datang anaknya yang esok akan menduduki ujian Syahadah Alimiyyah lalu berkata kepada ayahnya :
" Sudahlah ayah, saya kasihan melihat ayah sehingga tidak tidur malam mencari jawapan bagi soalan remeh tersebut. Ayah beri sahaja apa pun jawapan kepada lelaki tersebut, sudah pasti dia akan menerimanya kerana ayah adalah Syaikhul Azhar!"
Terdiam Syaikhul Azhar tersebut.
Keesokannya, anak Syaikhul Azhar tersebut diuji oleh beberapa ulama adakah dia mampu menguasai 12 bidang ilmu tersebut dan diberikan izin mengajar di Masjid Agung al-Azhar al-Syariff.
Setelah ujian selesai, kesemua ulama bersetuju memberikan Syahadah Alimiyyah kepada anak Syaikhul Azhar tersebut.
Tetapi yang mengejutkan, Syaikhul Azhar sendiri tidak bersetuju dengan keputusan para ulama lain. Malah melarang syahadah agung itu diberikan kepada anaknya sendiri. Maka para ulama bertanya kepada beliau, apa yang menyebabkan beliau mengagalkan anak beliau sendiri yang ternyata berkebolehan dan alim.
Maka Syaikhul Azhar itu lalu menjawab :
" Ini adalah kerana sikapnya yang sangat enteng dengan ilmu, malah bersikap khianat dengannya. Semalam, ketika aku mencari jawapan tentang warna anjing Ashabul Kahfi, dia malah memberikan cadangan kepadaku untuk menjawab dengan jawapan yang bohong hanya kerana pangkat dan kedudukanku yang tinggi menyebabkan orang yang bertanya sudah tentu akan mempercayainya.
Maka orang sebegini tidak layak menjadi pendidik dan tidak layak memimpin ummat" Wahai teman, ambil pengajaran, terutama kepada ustaz2.

Tiada ulasan: