Khamis, November 13, 2014

Haji Harun bin Jusoh Pejuang Islam... Bapaku Berpindah Dari Alam Fana' ke Alam Baqa'

Ayahanda Hj Harun Berbaju Petak
Insan yang mendidikku sejak dari kecil hingga besar kini telah pergi buat selama-lamanya. Tanggal 18 Oktober 2014 adalah tarikh yang akan kukenang buat selama-lamanya, Kembalinya insan mulia Haji Mohamed @ Harun bin Jusoh ke pangkuan Tuhannya. 

Seorang bapa yang tegas dan berjiwa sensitif. Ayah meninggal di KPJ Shah Alam. Di Hospital berkenaan tiada perkhidmatan untuk jenazah disedikan, Oleh itu jenazah ayah di bawa ke masjid yang terdekat dari Hospital iaitu Masjid Al I'tisam, Taman TTDI Jaya, kebetulan di Taman TTDI Jaya ini saya pernah tinggal  di situ selama setahun lebih. Tempat pertama yang diami sebaik sahaja datang dari Terengganu. Sehingga kini, saya masih meneruskan kuliah maghrib sebulan sekali. Pada mulanya ayah masuk ke KPJ Damansara, tetapi apabil Doktor Kamil mencadangkan supaya ayah di pindahkan ke KPJ Shah Alam, kerana katanya Doktor yang pakar dalam bidangnya hanya ada di situ. Dengan sebab itulah ayah dipindah ke ke KPJ Shah Alam.
JENAZAH DI BAWA KE MASJID I'TISAM
Masjid Al I'tisam
Selepas sahaja ayah menghembuskan nafasnya yang terakhir lebih kurang jam 10.40 pagi, saya terus menghubungan Saudara Kamaruzzaman yang merupakan salah seorang dari ajk Masjid untuk urusan kereta jenazah dan mandi. kereta jenazah tiba di Hospital lebih kurang 11.30 pagi, terus di bawa ke Masjid I'tisam untuk urusan mandi dan kafan. Turut sama mengiringi van jenazah Kapten Halim orang kuat Masjid I'tisam TTDI Jaya.
Ustaz Syuja' sebagai jurumandi dengan dibantu oleh beberapa teman yang lain terus memandikan jenazah ayah. Mudah urusannya, licin prosesnya. Semua adik beradik berpeluang menolong sama mandikan jenazah ayah. Keadaan ini menyebabkan semua adik beradik berpuas hati kerana dapat berikan khidmat terakhir buat ayah tercinta. Sebaik sahaja Jenazah selesai dikafankan berkemundang azan zohor. Selepas itu solat Jenazah terus dilaksanakan. Kehadiran untuk solat jenazah sangat memuaskan, teman-teman saya yang selalu mengikuti kuliah saya di situ ramai juga yang hadir ketika solat jenazah. Sahabat-sahabat ayah yang ada di Kuala Lumpur dan Selangor juga sempat datang untuk memberikan penghormatan terakhir. teman-teman sepengajian di Jordan dulu seperti Us Kamal Hisyam, Us Zawadi dan Us Hadi Talhah juga kelihatan dalam saf-saf solat jenazah. 
Wakil-wakil dari surau dan masjid juga ada yang sempat hadir sama, rombongan dari Surau
Hidayah Mustaqim yang diketahui oleh Haji Azizan, juga sempat datang rombongan dari Masjid Fatimah Az Zahra' Taman Kosas yang diketuai oleh En Sobri.
Juga tidak ketinggalan YB Syed Azman juga salah seorang yang sempat hadir mewakili kepimpinan PAS Negeri Terengganu.
JENAZAH DI BAWA PULANG KE KAMPUNG HALAMAN
Melihatkan jenazah ayah masih utuh dan segar, maka saya dan semua adik beradik bersetuju membawa pulang jenazah ayah ke Kampung Dusun, Kuala Ibai, Kuala Terengganu. Van Jenazah milik Masjid al I'tisam berlepas lebih kurang jam 2.00 petang ke Kuala Terengganu. Kami adik beradik berkonvoi mengikut van jenazah.
JENAZAH DI KUALA TERENGGANU
Jenazah ayahanda sampai di rumah kediaman rasminya lebih kurang 7.45 malam. Sementara anak terakhir sampai lebih kurang 9.00 malam. Sementara menunggu sampai anak-anak, sanak keluarga yang ada mengambil peluang untuk melihat wajah ayah buat kali terakhir. Berseri-seri wajah ayah, mulutnya kelihatan tersenyum manis.... seolah-olah suka jenazahnya di bawah terlebih dahulu ke rumah kediamannya, untuk sekadar mengucapkan selamat tinggal buat kali terakhir. Untuk tatapan teman taulan dan keluarga.
Sebaik sahaja anak terakhir mencium dan cucu-cucu mengucup ayahanda buat kali terakhir, ku cium dahi ayahanda, terasa hangat dan masih berpeluh dahinya, wajah ayah kelihatan sangat tenang dan bercahaya, ku bisikkan ke telinganya "selamat jalan ayah! buat selama-lamanya, anakmu mohon maaf di atas segala dosa dan kesalahan yang pernah ku lakukan".

DISEMBAHYANGKAN KALI KE DUA
Jenazah ayah di bawah ke masjid Kolam Kuala Ibai untuk disembahyang sekali lagi. Ramai juga yang datang untuk mengucapkan selamat tinggal, ramai juga pimpinan Pas yang hadir dari semua peringkat. Kelihatan juga teman-teman lama dalam PAS seperti Dato' Wan Mutalib Embong, Dato' Mustafa Ali dan lain-lain datang untuk ucapkan selamat tinggal buat ayah. 
Semua teman seperjuangan ayah hadir untuk menghormati jenazah ayah buat kali terakhir, namun biarpun ayah telah meninggal medan juang di atas bumi, perjuangan terus bersambung dengan anak-anak muda yang menampungnya setelah kepergian tokoh-tokoh lama.
TOKOH PAS YANG MENDAHULUINYA
Ayah di antara tokoh veteran Pas Terengganu yang pergi meninggalkan perjuangan yang mana sebelum ini rakah-rakannya yang lain mendahuluinya, seperti Dato' Harun Taib Ketua Dewan Ulama Pas, al Marhum Dato' Harun adalah teman rapat ayah dalam saf pimpinan Terengganu. Juga yang mendahulu ayah ialah Dato' Abu Bakar Chik, juga Us Awang Nasruddin yang dulu dikenali dengan Us Awang Tukul Besi. Semuanya telah meninggalkan perjuangan ini untuk diserahkan kepada generasi muda Pas.
Namun suatu yang sangat menyedihkan, setelah kepergian semua pejuangan ini, PAS berhadapan dengan konflik yang sangat meruncing dalam sejarah perjuangan PAS. Sebahagian besar dari Ahli Jawatan Kuasa Pusat telah bertindak memasalahkan PAS, mereka memperlekehkan pimpinan tertinggi, mereka cuba tanpa sedar merosakkan PAS dari dalam.
 


Tiada ulasan: