Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.
Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W keluarga
serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari
kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Sifat buruk sangka, bangga diri, ujub dan
sombong adalah sifat-sifat mazmumah yang perlu kita jauhi. Tanpa kita sedari
bahawa apabila sifat-sifat ini telah bertapak dalam hati kita akan
menyebabkan hati kita berpenyakit dan akan merosakkan amalan kita kepada Allah
S.W.T.
Terdapat satu kisah seorang ulama sufi bernama Hassan
al-Basri dengan seorang pemuda berdua-duaan dengan seorang wanita.
Suatu hari, di tepi sungai Dajlah, Hassan al-Basri
melihat seorang pemuda duduk berdua-duaan dengan seorang wanita. Di sisi mereka
terletak sebotol arak. Lalu Hassan berbisik, "Alangkah jahatnya orang itu
dan alangkah baiknya kalau dia seperti aku!"
Tiba-tiba Hassan melihat sebuah perahu di tepi sungai
yang sedang tenggelam. Lelaki yang duduk di tepi sungai tadi segera terjun
untuk menolong penumpang perahu yang hampir lemas. Enam dari tujuh penumpang
itu berjaya diselamatkan.
Kemudian dia berpaling ke arah Hassan al-Basri dan
berkata, "Jika engkau memang lebih mulia daripada saya, maka dengan nama
Allah, selamatkan seorang lagi yang belum sempat saya tolong. Engkau diminta
untuk menyelamatkan satu orang saja, sedang saya telah menyelamatkan enam
orang."
Bagaimanapun Hassan al-Basri gagal menyelamatkan yang
seorang itu. Maka lelaki itu bertanya padanya, "Tuan, sebenarnya wanita
yang duduk di samping saya ini adalah ibu saya, sedangkan botol itu hanya
berisi air biasa, bukan arak. Ini hanya untuk menguji tuan."
Hassan al-Basri terpegun lalu berkata, "Kalau
begitu, sebagaimana engkau telah menyelamatkan enam orang tadi daripada bahaya
tenggelam ke dalam sungai, maka selamatkanlah saya daripada tenggelam dalam
kebanggaan dan kesombongan."
Orang itu menjawab, "Mudah-mudahan Allah mengabulkan
permohonan tuan."
Semenjak itu, Hassan al-Basri selalu merendahkan diri
bahkan dia menganggap dirinya sebagai makhluk yang tidak lebih daripada orang
lain.
Sahabat yang dimuliakan,
Sebagai pengajaran untuk diambil sebagai iktibar kisah di
atas, terdapat dua cara untuk mengatasinya.
1. Jangan berburuk sangka dengan orang
lain serta memandang rendah padanya. Apabila kita melihat orang lain membuat
maksiat kepada Allah jangan menghinanya atau reda dengan perbuatannya dan cuba
mencari aibnya. Berilah nasihat yang baik penuh hikmah. Anggaplah
berkemungkinan orang itu jahil tentang perbuatannya. Sebagai muhasabah diri
sendiri pula, kita patut malu pada diri sendiri yang dikurniakan oleh Allah
S.W.T ilmu ini tetapi masih juga melakukan perbuatan yang dilarang oleh-Nya.
Buruk sangka kepada orang lain atau yang
dalam bahasa Arabnya disebut su'u zhan mungkin biasa atau bahkan sering hinggap
di hati kita. Lebih parahnya, terkadang prasangkaan kita tiada mempunyai asas
dan tiada alasan yang benar. Memang semata-mata sifat kita suka curiga dan
penuh sangka kepada orang lain, lalu kita membiarkan zhan tersebut bersemayam
di dalam hati. Bahkan kita membicarakan serta menyampaikannya kepada orang
lain. Padahal su'u zhan kepada sesama kaum muslimin tanpa ada bukti yang kukuh
merupakan perkara yang terlarang.
2. Perkara yang patut kita ingat adalah
tentang diri kita iaitu perbuatan baik orang pada kita dan perbuatan jahat kita
pada orang lain. Perkara yang patut kita lupakan adalah kebaikan kita pada
orang dan kejahatan orang pada kita. Barulah hati kita akan menjadi bersih dan
terhindar daripada sifat bangga diri dan menghargai kebaikan orang lain.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
إِنَّمَا يُؤْمِنُ بِآيَاتِنَا الَّذِينَ إِذَا ذُكِّرُوا
بِهَا خَرُّوا سُجَّداً وَسَبَّحُوا بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَهُمْ لَا
يَسْتَكْبِرُونَ
"Sesungguhnya orang-orang yang percaya pada
keterangan Kami, ialah orang yang apabila dibaca ayat-ayat itu kepada mereka,
mereka sujud, tasbih memuji Tuhan dan mereka tidak menyombongkan diri.
{س} تَتَجَافَى
جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفاً وَطَمَعاً وَمِمَّا
رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ
Mereka meninggalkan tempat tidurnya menyeru Tuhannya
dengan perasaan penuh kecemasan dan pengharapan dan mereka membelanjakan (di
jalan kebaikan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka."
(Surah as-Sajadah:15-16)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan