Jumaat, Julai 17, 2009

Sedekah Menyembuhkan Penyakit

Assalamualaikum
Buat teman-teman yang sentiasa inginkan kebaikan menerusi majlis ilmu dari blog ini, salam bahagia buat antum semua. Juga buat pelajar-pelajar saya yang selalu memantau blog saya ini, saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih.
Buat kali ini saya cuba membawa tajuk sedekah atau sumbangan. Kita mulakan dengan satu hadis Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam, bermaksud "Ubatilah sakitmu dengan sedekah" teks Arabnya sebagaimana berikut :
داووا مرضاكم بالصدقة
Hadisnya ini memberikan penekanan tentang sedekah yang boleh menyembuhkan sakit seseorang. Bermakna sedekah itu mempunyai banyak khasiat dan manafaat antaranya boleh menyembuhkan sakit.
Firman Allah bermaksud "Berimanlah kamu kepada Allah dan rasulNya, dan belanjakanlah dari apa yakni harta yang kamu dijadikan Allah mempusakainya, maka orang-orang yang beriman antara kamu dan membelanjakan (hartanya di jalan kebajikan) akan memperolehi pahala yang besar - Surah al Hadid ayat 7.
أمنوا باللهِ ورسولِه وأنْفِقوا مما جعلكم مستخلفين فيه فالذين أامَنوا منكم وأنفقوا لهم أجر كبير
Ayat Allah ini memerintah manusia yang beriman suapaya bersedekah. Malah ini adalah bukti terhadap iman seseorang kepada Allah. Bukti iman ialah sanggup mengeluarkan hartanya demi kerana Allah, bermaksud tidak menjadikan harta di hadapan, atau tidak mengasihi harta lebih dari kasih pada Allah.
Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam yang bermaksud "Sesiapa yang bersedekah seberat kurma dari rezeki yang baik, akan menerima sedekah itu dengan penuh kemegahanNya, lalu dia memeliharanya seumpama seseorang menjaga dan memelihara seekor anak kuda yang baru beranak, sehingga akhirnya sedekah itu membesar seperti sebuah gunung. Mata hadisnya ialah seperti berikut :
منْ تصدقَ بعدلٍ تَمرٍ مِن كَسْبٍ طيب ولا يقبلُ اللهُ إلا طيبا فإن اللهَ يأخُذُها بيمينه فيُربِّيها لهُ كما يُرَبِّي أَحَدُكُم فِلْوَهُ حتى تكونَ مثلَ الجبل
Perumpamaan ini menjelaskan tentang sedekah itu berkembang dan membesar. Dipeliharanya sampai ke hari kiamat, sentiasa subur dan menjalar sebagaimana pokok-pokok yang tidak berhenti-henti menjalar serta menghijau dengan subur.
Sesiapa sahaja yang beriman boleh bersedekah pada bila-bila masa sahaja,siang atau malam, pagi atau petang. Inilah yang difirmankan oleh Allah melalui ayat 274 surah al-Baqarah yang bermaksud "Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada waktu malam dan siang, secara sembunyi-sembunyi mahupun terang terangan, maka mereka akan memperolehi ganjaran dari Tuhan mereka, mereka tiada takut dan tiada pula berdukacita. Ayatnya ialah :
الذين يُنفقون أموالَهم باليل والنهار سرا وعلانية فلهم أجرهم عند ربِهم ولا خوف عليهم ولاهم يحزنون
Ayat ini menjelaskan tentang waktu dan masa seseorang beriman itu boleh bersedekah, tiada had masa dan waktu serta tiada had tempat untuk seseorang itu bersedekah, mereka boleh bersedekah pada bila-bila masa. Bahkan orang yang cintakan sedekah boleh menjadikan perangai bersedekah dengan menjadikannya sebagai suatu rutinnya yang dilakukannya secara berpanjangan. Mereka yang bersedekah ini juga boleh mengajak teman taulannya keluarganya untuk sama-sama menyertainya bersedekah, agar banyak wang yang dapat dikumpulkan bagi disedekah kepada orang yang memerlukan.
Biarpun mereka berhadapan dengan masalah kewangan, dan mereka amat memerlukan wang, akan tetapi sumbangan tetap diberikan biarpun sedikit. Inilah dia tanda orang beriman. Orang kaya yang dermawan adalah orang yang amat berguna di atas muka bumi ini, serta dikasihi Allah.

Tiada ulasan: