Selasa, Julai 14, 2009

Kematian di Jordan

Assalamualaikum
Apabila saya membaca cerita dan kisah Jordan oleh Us...Dr Hasrizal, teringat juga kisah-kisah ketika di sana. Salah satunya ialah kisah kematian adik-adik yang baru 8 bulan belajar di Jordan. 5 orang pelajar baru yang dah saya lupa namanya, yang saya ingat ialah Suzaidi dan nazri sahaja. Malam berlakunya kemalangan di Aqabah itu, saya sempat menemui rakan-rakan ini di Airport Alia. Mereka ke Aqabah 2 buah kereta. Saya teringat soalan saya kepada suzaidi (kalau tak silap namanya) "Anta tukar penumpang ke ?" suzaidi jawab "ya ustaz, penumpang kereta ni dah balik malam ni, jadi saya tukar ke tempat dia!". Saya ingat lagi saya pernah pesan "jaga-jaga, jalan hampir aqabah tu gelap sangat, driver anta tu lesen baru, tu sebelah kanan, di Jordan ni sebelah kiri!" saya pesan pada adik-adik ni.
Masa cuti, memang ramai pelajar yang bercuti...termasuklah rakan-rakan kita pelajar-pelajar baru ini.
Esoknya, pagi-pagi lagi rumah saya di Duwar Iskan diketuk orang, tapi sayangnya saya tak ingat siapa yang datang. Wajahnya sugul dan sedih. Katanya "Ustaz Yi, adik-adik baru kita ke aqabah berlanggar, 4 darinya mati ditempat kejadian, seorang lagi lagi amat kritikal, pihak jemaah minta ust ke aqabah segera, ustaz harun Sulaiman akan ke aqabah terus melalui suweileh. Saya tergamam campur terkejut, spontan teringat apa yang saya pesan semalam. Tak cakap apa-apa, saya terus ke dalam bersiap, dari dalam rumah isteri (pelajar Jordan panggil Kak Yah) menjerit terkejut bila saya beritahu kemalangan itu.
Sampai di Hospital Aqabah, saya terus ke wad icu untuk melihat salah seorang yang masih hidup, sebelum sempat sampai ke wad tersebut, terdengar sahabat kita ini menjerit kesakitan dan terus meninggal. Saya lihat mukanya membengkak dan amat lebar, kerana henttakkan pintu kereta, itulah yang terakhir meninggal, Semuanya 5 orang. Saya ke bilik mayat untuk mengecam mayat, semua saya kenal, semuanya sahabat-sahabat kita yang jumpa semalam di airport, yang saya pesan semalam.
Sewaktu saya menaip article inipun masih terbayang lagi wajah ngeri mereka, berbagai-bagai keadaan.
Menunggu ijraat (proses) keluarkan mayat amat sukar, sehinggalah saya menerima panggilan dari pegawai kedutaan menyuruh saya pulang ke Amman, kerana pihak kerajaan Jordan telah mengambil alih pengurusan jenazah untuk dibawa pulang ke Malaysia. 3 hari saya di Aqabah, lemah lesu, lembik...nasib baiklah ada yang sewa kereta, bertukar-tukar driver cepatlah jugak sampai ke Madinatu Jaisy. Kawasan tentera.
Bila sampai di Madinatu Jaisy, beribu pelajar Malaysia menanti sampainya jenazah mereka. Melihatkan begitu ramai pelajar malaysia lelaki dan perempuan, saya rasa amat terharu. Kalau tidak silap saya, apabila satu demi satu mayat yang di bawa keluar dari helicopter tentera, ada satu mayat yang harum baunya, cuma sayangnya saya tak ingat nama sahabat kita ini.
Banyak kisah ini tidak dapat saya recall kembali, agak-agaknya ada teman-teman dan rakan-rakan yang masih ingat, berkongsilah dengan saya. Marilah sama-sama kita hadiahkan sekalung al fatihan kepada adik-adik kita ini. al fatihah.

Tiada ulasan: