Khamis, Januari 07, 2016

RAJA ZALIM DISEMBUHKAN, RAJA ADIL DIMATIKAN

Kisah berlaku pada satu zaman di mana terdapat seorang raja yang amat zalim. Hampir setiap orang rakyatnya pernah merasai kezalimannya itu.

Pada suatu ketika, raja zalim ini ditimpa penyakit yang sangat berat dan kronik. Maka seluruh tabib yang ada dalam kerajaan itu dikumpulkannya. Di bawah ancaman pedang, mereka disuruh untuk menyembuhkannya. Namun sayangnya tidak ada seorang tabib pun yang mampu menyembuhkannya. Semuanya cemas sehingga akhirnya seorang rahib tampil mengatakan bahawa penyakit sang raja itu hanya dapat disembuhkan dengan memakan sejenis ikan tertentu, yang sayangnya ketika itu bukanlah musimnya ikan itu muncul ke permukaan.

Betapa gembiranya raja mendengar khabar itu. Meskipun raja menyedari bahawa ketika itu bukanlah musim ikan itu muncul ke permukaan namun disuruhnya juga semua orang untuk mencari ikan itu. Aneh bin ajaib walaupun belum musimnya, temyata ikan itu sangatlah mudah ditemukan. Sehingga akhirnya sembuhlah raja itu dari penyakitnya.

Di lain waktu dan tempat, ada seorang raja yang amat terkenal keadilan dan kesaksamaannya. Ia sangat dicintai oleh seluruh rakyat jelata. Pada suatu ketika, raja yang bijaksana itu jatuh sakit. Ternyata kesimpulan yang dibuat oleh para tabib ialah sama, iaitu ubatnya adalah sejenis ikan tertentu yang ketika itu sangat banyak terdapat di permukaan laut. Kerana itu mereka sangat optimis rajanya akan segera pulih kembali.

Tapi apa yang terjadi? Ikan-ikan yang seharusnya banyak dijumpai di permukaan air itu, tidak ada satu pun yang nampak. Walaupun pihak istana telah menghantar para ahli selamnya, tetaplah ikan itu tidak dapat ditemui - walaupun seekor. Pelik bin ajaib kerana waktu itu adalah musim yang biasanya ikan itu berlompatan di permukaan air kerana banyaknya. Apa yang berlaku, akhirnya Sang Raja yang bijaksana yang di kasihi rakyat itu pun mangkat.

Dikisahkan para malaikat pun kehairanan dengan dua kejadian itu. Akhirnya mereka menghadap Tuhan dan bertanya, "Ya Tuhan kami, apa sebabnya Engkau menghantar ikan-ikan itu ke permukaan sehingga raja yang zalim itu selamat untuk terus hidup menzalimi rakyatnya sementara pada waktu raja yang adil lagi bijaksana itu sakit, Engkau menyembunyikan ikan-ikan itu ke dasar laut sehingga akhirnya raja yang baik itu meninggal?"

Tuhan pun berfirman, "Wahai para malaikatKu, sesungguhnya raja yang zalim itu pernah berbuat suatu kebaikan. Kerana itu Aku balas kebaikannya itu di dunia, sehingga pada waktu dia datang menghadap-Ku di akhirat, tidak ada lagi kebaikan sedikitpun yang dibawanya. Dan Aku akan tempatkan ia di dalam neraka yang paling bawah! Sementara raja yang baik itu pernah berbuat salah kepada-Ku, kerana itu Aku hukum dia dengan menyembunyikan ikan-ikan itu, sehingga nanti dia akan datang menghadap-Ku dengan seluruh kebaikannya tanpa ada sedikit pun dosa padanya, kerana hukuman atas dosanya telah Kutunaikan seluruhnya di dunia!"

Marilah kita mengambil iktibar dari kisah ini. Yang pertama, kisah ini memberi panduan untuk terus berbuat kebaikan walaupun sedang ditimpa musibah. Terimalah musibah dan kesulitan dengan redha lantaran kita yakin ianya adalah penghapusan dosa - satu peluang keemasan yang Tuhan anugerahkan agar kita kembali mengadap Tuhan dalam keadaan bersih dari segala noda dan dosa. 
 
Sebab itu kita menyaksikan ramainya orang soleh yang ditimpa ujian, musibah, kepayahan, kesakitan dan penderitaan. Tuhan yang maha mengasihi hamba-hambaNya itu tahu untuk mendahulukan semuanya itu di dunia. Dosa dan kesalahan yang hukumannya segera ditunaikan Allah di dunia ini juga sehingga dengan itu di akhirat, dosa itu tidak ada lagi untuk diperhitungkan. Keyakinan hal ini dapat menguatkan iman kita bila sedang ditimpa musibah atau ujian.
 
Iktibar yang kedua adalah: bila kita tidak pernah menempuh susah, derita atau musibah, janganlah kita terleka. Ingatlah Tuhan boleh lakukan apa sahaja pada kita. Jangan-jangan Allah 'menghabiskan' tabungan kebaikan kita di dunia sehingga tiada lagi apa-apa yang boleh kita bawa ke akhirat. Keyakinan akan hal ini dapat menjaga hati kita untuk tidak terbuai dengan lazatnya kenikmatan duniawi sehingga melupakan urusan ukhrawi.

Iktibar ketiga adalah: musibah yang menimpa seseorang belum tentu kerana orang itu telah berbuat kejahatan atau dosa. Keyakinan ini akan dapat mencegah kita dari berprasangka buruk menyalahkannya, justeru yang timbul adalah keinginan untuk membantu meringankan penderitaannya.

Iktibar yang keempat adalah: Allah itu maha besar kasih sayangNya. Jika kita bersungguh-sungguh mendapatkanNya, Dia akan membuka jalanNya untuk kita tempuhi. Jalan Tuhan itu biasanya menempuh susah dan derita berbanding jalan kesenangan dan keselesaan. Tuhan melayan para kekasihNya dengan ujian penderitaan di dunia yang sementara untuk memberi balasan keselamatan yang kekal abadi di akhirat

Tiada ulasan: