Selasa, Mac 04, 2014

Kisah Taubat Fudhail Bin 'Iyadh



Fudhail bin ‘Iyadh adalah seorang yang sangat wara’ dan sering menangis apabila mengenangkan dosa-dosa yang dilakukannya. Beliau dulu adalah seorang perompak yang menunggu kafilah-kafilah perdagangan untuk dijadikan mangsanya. Namun, apabila Allah menyintai seseorang hambaNya, dan apabila IA ingin agar hambaNya kembali ke jalanNya, maka hamba itu akan diberikan jalan yang sebenar, dan akan disedarkan dengan berbagai-bagai cara.

Di sini kita bentangkan bagaimana tercetusnya taubat Fudhail bin ‘Iyadh kepada Allah Ta’ala. Pada suatu ketika, ketika tiga kafilah perniagaan yang berjalan secara beriringan melintasi kawasan operasi Fudhail bin ‘Iyadh. Apabila menyedari kehadiran tiga kafilah ini, Fudhail dan teman-temannya sebagaimana biasa bersiap sedia untuk merompak.

Tetapi kali ini, rombongan kafilah ini lebih bersedia, mereka telah merancang sesuatu, agar Fudhail dapat disedarkan, supaya Fudhail kembali kepada Allah Ta’ala.

Apabila Fudhail memulakan operasinya dengan menyerang kafilah pertama, ketika dia memecut kudanya ke arah kafilah pertama, salah seorang yang berada dalam kafilah tersebut bersedia dengan anak panahnya, dan memanah ke arah Fudhail dengan membaca firman Allah Ta’ala :
أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ آمَنُوا أَن تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ
Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah (16 Al Hadid)

Apabila panah tersebut terkena Fudhail, meraunglah Fudhail dan jatuh dari kudanya. Apabila Fudhail bangun, ditanya kenapa dia meraung, jawab Fudhail aku meraung bukan kerana panah semata-mata, tetapi kerana panah itu ditujukan kepadaku dengan disertai bersama ayat Allah.

Apabila kafilah ke dua melalui Fudhail, salah seorang daripada yang berada dalam kafilah memanah Fudhail buat kali kedua sambil membaca ayat Allah :
فَفِرُّوا إِلَى اللَّهِ إِنِّي لَكُم مِّنْهُ نَذِيرٌ مُّبِينٌ
(Katakanlah wahai Muhammad kepada mereka): "Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), sesungguhnya aku diutuskan Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata (50 Az Zariyat)

Apabila terkena panah kedua ini, Fudhail menjerit dan meraung lagi kuat dari yang pertama, lalu dia jatuh pengsan, bila sedar kata Fudhail aku terkena panah Allah.

Selepas itu, lalu pula kafilah ke tiga, kali ini Fudhail dipanah pula kali ketiga, pemanahnya memanah sambila membaca firman Allah Ta’ala :
وَأَنِيبُوا إِلَى رَبِّكُمْ وَأَسْلِمُوا لَهُ مِن قَبْلِ أَن يَأْتِيَكُمُ الْعَذَابُ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ
"Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan.

Panah ke tiga ini menyebabkan Fudhail menjerit dan meraung lebih kuat dari yang kedua dan yang pertama. Sedar dari pengsannya Fudhail menjerit kepada teman-temannya, wahai teman bertaubatlah kepada Allah, jalan yang kita lalui ini adalah jalan yang salah.

Fudhail bertaubat dari segala dosa-dosa yang dilakukannya, beliau telah ke Mekah untuk mendekatkan dirinya dengan Allah Ta’ala.



Tiada ulasan: