Selasa, Mei 11, 2010

TAUBAT MALIB BIN DINAR DENGAN SEBAB MIMPINYA


 

Assalamualaikum. Buat mereka yang berdosa dan sukar melepaskan dosanya daripada berulang, maka bacalah kisah taubat Malik bin Dinar ini, saya petik dari blog Ba'lawi....mohon dari tuannya untuk saya naqalkan ke dalam blog saya.
Ibnu Al-Jauzi meriwayatkan dalam Kitab At-Tawwabin(orang-orang yang bertaubat), daripada Malik Bin Dinar bahawa beliau ditanya mengenai sebab taubatnya, lalu beliau menjawab: “Dahulunya aku adalah seorang polis (di zamannya) dan aku pernah membeli seorang hamba wanita yang cantik. Dia amat sesuai bagiku. Lalu, dia melahirkan seorang anak untukku dan aku pun amat kasih padanya. Ketika mana dia mula berjalan, maka bertambahlah kasih sayangku buatnya dalam hatiku. Dia bermesra denganku dan aku pun bermesra dengannya. Setelah dia berumur 2 tahun, dia meninggal dunia dan kesedihannya itu pedih buatku.”

“Pada satu malam iaitu malam pertengahan bulan Syaaban, iaitu malam Jumaat. Aku terlihat di dalam mimpiku seolah-olah telah berlakunya hari kiamat. Sangkakala pun telah ditiup dan para penghuni kubur pun dibangkitkan. Lalu semua makhluk pun dihimpunkan dan aku juga bersama mereka. Maka aku pun terdengar satu pergerakan, aku memalingkan pandanganku.

Tiba-tiba ianya adalah seekor ular besar berwarna hitam kebiruan. Ia telah pun membuka mulutnya dan mengejarku. Aku berlari-lari di hadapannya tergesa-gesa. Dalam perjalananku, aku berjumpa dengan seorang lelaki tua yang bersih pakaiannya serta berbau wangi. Maka aku pun memberi salam kepadanya. Dia menjawab salam kepadaku.

Aku pun berkata: “Wahai lelaki tua, selamatkanlah aku dari ular ini dan semoga Allah menyelamatkanmu jua.” Lelaki itu pun menangis dan berkata: “Aku ini lemah dan ianya (ular) pula lebih kuat dariku. Berlarilah dengan segera. Semoga Allah merupakan buatmu sesuatu yang menyelamatkanmu darinya.” Lalu, aku pantas berlalu terus ke hadapan. Lalu aku pun naik ke atas satu anjung daripada anajung-anjung hari kiamat itu. Lalu aku pun melalui di tepi beberapa tingkatan api neraka dan aku hampir-hampir terjatuh ke dalamnya disebabkan pergelutanku itu.

Maka satu suara menjerit: “Berundurlah kamu! Kamu bukan daripada ahlinya.” Lalu aku berasa senang dengan kata-katanya itu dan aku pun berundur. Ular itu juga kembali mengejarku. Maka aku pun kembali semula kepada orang tua itu dan aku berkata: “Wahai orang tua! Aku sudah pun memintamu supaya menyelamatkanku dari ular itu, tapi kamu tidak melakukannya.” Lalu orang tua itu pun menangis dan berkata: “Aku ini lemah. Tetapi, kamu berlarilah kepada bukit itu. Di sana terdapat tinggalan orang-orang Islam. Jikalau kamu ada tinggalan di sana, ianya dapat membantumu.”

Aku pun melihat ke arah sebuah bukit yang dikelilingi oleh perak. Padanya terdapat lubang dindingnya yang menembusi di belakangnya, terdapat dua daun pintu diperbuat dari emas merah, diselangi dengan batu delima dan diliputi oleh permata. Pada setiap daun pintu terdapat tirai dari sutera. Setelah mana aku melihat ke arah bukit itu, aku pun berlari-lari ke arahnya dan ular itu masih di belakangku.

Sehinggalah aku mendekatinya, beberapa malaikat A.S menjerit: “Angkatlah tirai, bukalah daun pintu dan perhatikanlah!, moga-moga terdapat simpanan buat orang putus asa ini dalam kalanganmu semua yang dapat menyelamatkannya dari musuhnya itu.” Setelah mana dibuka daun-daun pintu itu dan mereka memerhatikanku, aku dapati ramai kanak-kanak seumpama bulan-bulan. Ular itu pun mendekatiku dan aku tercengang. Beberapa orang dari kanak-kanak itu menjerit: “Dengarlah kamu semua! Kesemua kamu perhatikannya! Musuhnya telah pun menghampirinya.” Mereka itu pun datang memerhatikan sekumpulan demi sekumpulan.

Tiba-tiba anak perempuanku memerhatikan aku, menangis dan berkata: “Demi Allah ini adalah ayahku!” Lalu dia pun melompat kepadaku dalam satu bekas diperbuat dari cahaya jalan seperti anak panah sehinggalah dia berada di sisiku. Dia pun menghulurkan tangan kirinya ke arah tangan kiriku. Maka aku pun berpaut kepadanya. Dia juga menghulurkan tangan kanannya ke arah ular itu sehinggalah ia melarikan diri. Kemudiannya, anakku itu meletakkan aku dan dia duduk dalam pangkuanku. Dia meletakkan tangan kanannya ke atas janggutku sambil berkata: Wahai ayahku!


“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah?”(Surah Al-Hadid: 16).

Lalu aku pun menangis dan berkata: “Wahai anakku! Kamu semua tahu tentang Al-Quran?” Maka dia pun berkata: “Wahai ayahku! Kami semua lebih mengetahui tentangnya berbanding kamu semua.” Aku berkata: “Beritahulah kepadaku tentang si ular yang hendak membinasakanku itu.” Si anak itu menjawab: “Itulah amalan burukmu yang telah engkau menguatkannya. Ianya hendak menghumbankanmu ke dalam neraka Jahannam.” Aku bertanya: “Lelaki tua yang aku berjumpa dengannya itu?” Dia menjawab: “Itulah amalan solehmu yang engkau telah melemahkannya sehingga ianya tidak lagi mampu mengalahkan amalanmu yang buruk itu.” Maka aku pun berkata: “Wahai anakku, apakah yang kamu semua lakukan di bukit ini?” Dia menjawab: “Kanak-kanak orang Islam telah tinggal di dalamnya sehinggalah ke hari kiamat. Kami pula menantikan kamu semua datang kepada kami, maka kami dapat membantu kamu semua.” Malik bin Dinar pun berkata: “Maka aku pun terjaga dalam keadaan takut dan gementar. Maka aku pun memecahkan kesemua alat-alat yang digunakan dalam menentang Allah. Aku juga telah meninggalkan kesemua itu. Aku jua telah mengikatkan taubatku dengan Allah Taala, iaitu Taubat Nasuha. Maka Allah pun menerima taubatku itu.”

Tiada ulasan: