Khamis, Mac 05, 2009

Nostalgia Kelahiran Manusia Agung


Assalamualaikum

Mulai minggu depan, kita sambut lagi hari lahir Rasul tercinta. Terasa benar akan dhaifnya diri apabila mengingati baginda yang serba sempurna dibandingkan diri yang baru sesaat berjuang. Tapi, Rasulullah tetap kita kenangi, menjadi nostalgia indah buat mukmin yang cuba mengislahkan dirinya ke arah kebaikkan.

Biarpun hati ini bimbang akan kekurangan diri yang mungkin tidak disedari, tetapi mengingati hari lahir baginda merupakan satu suntikan perjuangan yang mampu menjadikan kita lebih berdaya saing.

Satu kelebihan yang ada pada baginda ialah isteri-isteri baginda dan anak-anak baginda semua tergolong daripada manusia yang menyertai sama dalam perjuangan baginda. Walaupun begitu, apa yang kita lihat mengenai penduduk di Mekah itu sendiri, kebanyakkannya mempunyai tali persaudaraan dengan baginda Sollahu alaihi wasallam, dan ramai juga yang menjadi penentang kepada perjuangan baginda.

Namun bila kita undur ke belakang sedikit, lihat akan perjuangan Nabi Nuh dan Nabi Lut alaihimasssalam. Suatu memori duka perjuangan yang tidak mampu diselesaikan dengan kekuatan perjuangan iaitu mengenai kekufuran anak Nabi Nuh, juga Isterinya, begitu juga dengan isteri Nabi Lut alaihissalam.

Bolehkah kita tuduh, kedua-dua nabi ini tidak melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai suami dan isteri ? Rasanya tak patut kalau kita guna kalimah 'tuduh'. Tidak ada pula dinyatakan dalam al-Quran mengenai mereka yang lalai dalam mendidikan keluarga mereka. Dari sini bolehlah kita nyatakan bahawa, kesilapan bukan pada nabi Nuh dan nabi Lut yang mulia lagi bersih ini, tetapi adalah satu kehendak ALLAH yang tidak mampu diatur selia oleh hamba-hamba-Nya meskipun ia seorang nabi. Hati manusia milik ALLAH, hati isteri nabi Lut dan isteri Nabi Nuh serta anaknya terletak di tangan ALLAH, hidayah itu milik ALLAH, firman ALLAH Ta'ala :

إنك لا تهدي من أحببتَ ولكن الله يهدي من يشاء

(sesungguhnya kamu tidak mampu memberi hidayah kepada orang yang kamu kasih, akan tetapi ALLAH lah yang memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya)

Hakikat para nabi ini telahpun melaksanakan tugasan mereka mendidik kaum mereka dan keluarga mereka, yang menyebabkan mereka menerima da'wah yang dibawa ialah ALLAH kerana ALLAH memilik hati manusia.
Rasulullah sendiripun merasai kepedihannya apabila Abu Thalib, bapa saudaranya yang sentiasa mempertahankan baginda, apabila kesudahan hidupnya tanpa beriman kepada ALLAH, mati musyrik. Firman ALLAH dalam Surah At-Taubah ayat 113 : (ayat pada paparan di permulaan article)
(Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli Neraka)
Meskipun pedih untuk menerima ketentuan ini, tetapi manusia mesti akur dan patuh, disebaliknya memang ada hikmah yang kita tidak tentu mengetahuinya. Nabi Nuh alaihissalam pernah bertanya ALLAH sebagaimana terdapat dalah surah Hud ayat 45.
(Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku sendiri dan bahawa janjiMu itu adalah benar dan Engkau adalah sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya.)
Apa jawapan ALLAH, firman-Nya:
(Allah berfirman: Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana dia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil.)
Inilah jawapan ALLAh yang menunjukkan bahawa semuanya dibawah ketentuan-Nya, meskipun orang yang mengeluh dan merayu itu nabi-Nya yang amat dikasihi-Nya. Hikmahnya berada dalam ilmu ALLAH, bila perlu barulah ALLAH maklumkan.
Kisah Luqman al-Hakim juga sama, menurut satu riwayat dalam Tafsir Ibnu Kasthir, bahawa anak Luqman tidak beriman kepada ALLAH Ta'ala, tetapi apabila melihat kepada kata-kata Luqman yang penuh dengan hikmah, seolah-olah kita tidak percaya begitu keadaan anaknya, inilah bukti bahawa hati itu milik ALLAH. Bagi manusia ialah doa dan harapan kepada ALLAH semata serta usaha mendidik, usaha memperjuangkan, usaha dan usaha, dan yang menjayakannya ataupun sebaliknya, adalah milih ALLAH sepenuhnya. Kita hanya disuruh berkata :
حسبنا الله ونعم الوكيل ولا حول ولا قوة إلا بالله العلي العظيم
(Memadailah ALLAH, Dialah sebaik-baik tempat pergantungan dan penyerahan diri, tiada daya upaya dan kekuatan melainkan kekuatan-Nya, Dialah Yang Maha Tinggi dan Maha Hebat)
Abu Nu'man Adib.

2 ulasan:

tajudin berkata...

Salam Ustaz, Selamat Menyambut Maulidur Rasul.

Shukri Harun berkata...

Terima kasih syeikh Tajudin....semoga perjuangan baginda sentiasa kita kenang dan bertindak menyambungnya