Assalamualaikum kepada rakan-rakan
Alhamdulillah pada 29 Ramadhan bersamaan 29 Sept 08, zaujah (isteri) saya telah selamat melahirkan anak ke 6 kami. Kali ni ALLAH kurniakan bayi lelaki, dan inilah juga anak lelaki ke 2 kami.
Memang kami mengharapkan anak lelaki. Tetapi berdasarkan petua dari Bidan Kampung yang pernah kami kunjungi di Terengganu, anak yang zaujah saya kandung ialah perempuan. Kami juga pernah ke Klinik di Kosas Ampang untuk scan. Memang kata doktor yang merawat zaujah saya juga mengatakan bayi perempuan. Tetapi semuanya perancangan ALLAH Ta'ala, bila lahir ALLAH kurniakan anak lelaki, sebagai satu hadiah hari raya untuk kami sekeluarga.
Semuanya adalah dalam ketentuan ALLAH, semuanya dalam ILMULLAH, ilmu manusia amat cetek dan tidak pasti, biarpun disokong oleh alatan yang kononnya canggih, dan biarpun disokong oleh pengalaman yang berpuluh tahun yang dimiliki bidan kampung, tetapi semua bentuk ilmu itu mempunyai unsur kelemahan yang menggambarkan betapa lemahnya manusia. Ini semua mesti disedari oleh manusia.
Anak kami ini dinamakan dengan nama Naufal Adib ada irasan anak lelaki saya yang pertama iaitu Nu'man Adib. Kami mengharapkan agar bayi lelaki ini akan menjadi pelapis perjuangan kami menyebarkan ilmu ALLAH.
Mendidik anak-anak memang bukan suatu tugasan yang senang, bukan satu tugasan yang boleh dibuat sekadar melepas batuk di tangga. Semua dipertanggungjawab ke atas setiap ibubapa. Allah akan mempersoalkan setiap perkara yang kita lakukan terhadap anak kita, samada kita sempurnakan pendidikannya ataupun kita lalai dari pendidikannya. Persoalan anak yang kita didik itu menjadi atau sebaliknya, ramai orang kata bukan urusan kita tetapi adalah urusan Allah, kita hanya berusaha.
Sekali imbas memang betul...tetapi bila didalami akan perkataan tadi, rasanya kita tidak mempunyai suatu 'penyelidikan' ataupun 'muhasabah' ke atas setiap program yang kita laksanakan terhadap anak-anak kita.
Rasanya sikap menganalisa setiap aktiviti yang kita laksanakan terhadap anak-anak kita perlu kita kaji kesesuaiannya. Mungkin ada anak kita yang tidak sesuai dengan pendekatan a, tetapi sesuai dengan pendekatan b. Pemilihan terhadap kaedah yang sesuai adalah berdasarkan pemerhatian terhadap keberkesanan kaedah tersebut terhadap anak kita.
Pandangan yang saya utarakan inipun berdasarkan pengalaman dengan anak-anak saya sendiri. Juga berdasarkan pengalaman dengan pelajar-pelajar yang pernah saya ajar di sekolah. Namun satu perkara yang mungkin kita perlu ingat dan mungkin juga rasa bersalah, apabila kita silap dalam pendidikan anak-anak, maka kesilapan itu akan menjadi darah daging anak-anak kita, dan kesilapan itulah yang membesarkan mereka.
Misalnya, semasa saya pindah ke Shah Alam dari Terengganu justeru kenkangan hidup yang meruncing. Anak 1 dan ke 2 selama ini bersekolah agama, tidak dapat diteruskan ketika di Shah Alam. Akibatnya saya masukkan ke sekolah biasa, apabila dah masuk ke sekolah biasa, tahu sajalah apa yang ada di situ. Keadaan sekolah ini mempengaruhi pendidikan anak2 saya, walaupun tidaklah ketara keberkesanannya, misalnya hafalan surah-surah tertentu tidak lagi diamalkan, sehingga hilang semua hafalan itu. Di sekolah agama dulu, banyak doa yang anak saya ingat, tetapi dah hilang apabila tidak dipraktikkan di sekolah baru, sedangkan di sekolah agama memang dipraktikkan dan diperlancarkan sentiasa. Subjek2 agama dah tak macam di sekolah agama dulu, kalau sekolah agama dulu ada fekah, tauhid, nahu, dan lain2, tetapi di sekolah baru semua berkumpul dalam satu subjek "Pendidikan Islam", ilmu koktail yang tidak menjamin keberkesanan kepada pelajar, hanya sekadar ingin melihat pelajar mendapat a dalam peperiksaan, bukan pengamalan yang jauh lebih penting dari ilmu itu sendiri.
Kata Imam Al Ghazali "Ilmu itu tiada manafaatnya jika tanpa amalan" (dalam buku Ayyuhal walad). Inilah bukti betapa pendidikan anak-anak yang diamanahkan ALlah kepada kita ibubapanya amat besar fungsinya kepada masa depan anak-anak kita.
Bagi saya, anak-anak saya yang diamanahkan kepada saya akan saya halakan mereka kepada perjuangan Islam, kerana itulah kehidupan saya sehingga ke hari ini. Memang itulah hasratnya, tetapi setakat mana yang saya dah berjaya menuju ke matlamat itu, masih lagi kabur dan kelabu, mudah-mudahan Allah menyenangkan urusan pendidikan anak-anak ini.
Semoga sama-sama mendapat manafaat dan pengajaran.
Ini bukti akan kesan yang lahir dari pendidikan anak-anak
2 ulasan:
tahniah diucapkan kepada ustaz.. semoga anak tersebut menjadi pejuang yg hebat dalam menegagkkan agama Allah di muka bumi ni mcm datuk dan ayahnya, insyaAllah..
tahniah ustaz.. anak adalah pemberian allah utk kita. ada hikmah dan tujuan mengapa Allah menghadiahkan kita anak lelaki atau anak perempuan.
Catat Ulasan