Khamis, Oktober 09, 2008

PERJUANGAN MESTI DITERUSKAN

Assalamualaikum
salam buat semua rakan-rakan seperjuangan...teruskan perjuangan walaupun apapun yang berlaku dihadapan kita. Sewaktu menjadi pelajar DSTGHH dari tahun 1978 hingga 1987, saya seringkali mendengar satu pepatah arab yang sering diulang-ulang oleh DSTGHH, katanya "biarkan anjing menyalak dikiri kanan jalan, namun kafilah terus berjalan". Ini pepatah yang amat sesuai dengan keadaan sekarang ini.
Kita perlu menyedari bahawa pendidikan/pentarbiahan dari asas adalah suatu usaha yang amat penting dalam menjamin seseorang da'e itu terus berada di atas trek perjuangannya. Sejak dari dulu lagi jemaah kita berhadapan dengan orang melompat keluar dari saf perjuangan. Bermula dari Presidennya, Naibnya lebih-lebih lagi mereka yang memegang jawatan pertengahan, juga ada yang melompat dengan tujuan meninggalkan perjuangan Islam yang mulia ini. Kekuatan jemaah juga kadang-kadang goyah juga, tetapi dapat diperkemaskan serta diperkukuhkan kembali. Kekuatan akar umbinya juga salah satu faktor terbesar kelangsungan jemaah di tengah arus gelombang yang tidak diketahui arah puncanya. Kita sering diperdengarkan dengan satu ayat dari surah As Soff ayat 4, Firman ALLAH TA'ALA
إن الله يحب الذين يقاتلون في سبيله صفا كأنهم بنيان مصوص
"Sesungguhnya ALLAH menyukai orang-orang yang berjuang pada jalannya dalam satu soff seumpama mereka suatu binaan yang tersusun kukuh dan rapi"
Kenapakah ALlah menyintai/menyukai orang-orang yang berjuang dalam satu soff, kerana ia menjamin kesatuan dan kejituan saf perjuangan serta menguatkannya. Bagi menjamin kejituan jemaah dan kesepaduan kata ahlinya maka kita juga seringkali mendengar para pimpinan ulama kita membaca satu hadis nabi yang memaparkan hadis yang diambil dari Huzaifah Ibnul Yaman, sabda nabi sollahu 'alaihi wasalam :
تلزم جماعة المسلمين وإمامهم
"dan berilah komitmentmu kepada jemaah Islam dan seluruh kepimpinannya"
Seluruh perjalanan jemaah akan menjadi selari serta amat minima masalah dalamannya selagi setiap ahli menerima dan memberikan kataatan kepada setiap arahan pucuk pimpinan yang lebih dikenali dengan Majlis Syura. Malah sistem syura yang diguna pakai dalam jemaah merupakan satu kekuatan yang tidak boleh disangkal, di samping itu ianya mengandungi keberkatan dan bersifat sama-sama menanggung baik buruknya. Firman Allah :
وشاورهم في الأمر فإذا عَزَمْتَ فتوكل على الله
"dan berbincanglah dalam urusan kamu, seandainya kamu telah membuat keputusan maka bertawakkallah/berserahlah kepada ALLAH (dengan melaksanakannya)"
Semua yang saya utarakan di atas sebenarnya adalah jambangan pengisian yang telah lama dilalui oleh para pendukung perjuangan Islam. Cuma saya ulanginya kembali agar setiap individu yang pernah melalui tahap-tahap pentarbiahan menyedari bahawa mereka perlu mengikuti dan mematuhi setiap taujihat yang diberikan kerana disebalik taujihat itu mengandungi suatu konsep kesepaduan dan kesamaan fikrah yang amat sukar dihasilkan dalam sejarah perjuangan Islam oleh pejuang-pejuang yang lampau.
Setakat ini hanya Rasulullah Sollahu 'alaihi wasallam sahaja yang mampu untuk menyatukan semua segi dalam saf perjuangan zaman baginda. Ia merangkumi kesatuan pemikiran, kesatuan tindakan, kesatuan kecenderungan dan sebaginya.
Menerusi kemelut yang sedang kita tenggelam didalamnya sekarang amat memerlukan ketaatan serta juga kepatuhan setiap ahli.
Pendukung jemaah perlu ingat, apabila kita telah dikira matang dalam perjuangan, ini bermakna kita boleh berjalan seorang diri tanpa rasa hormat kepada orang lama dalam perjuangan yang banyak mendidik, yang banyak menghabiskam wang dan masa untuk mendidiknya. Suara-suara kasar dan kurang adab kedengaran demi mempertahankan pandangan asing yang tidak pernah diisi dalam pengisian-pengisian peringkat pentarbiahan dulu. Agaknya individu ini merasai ia sudah boleh berdiri sendiri dan tidak perlu lagi bimbingan orang lain, dia boleh memilih jalannya sendiri, tanpa mengira kesan-kesan yang akan dihasilakan dalam masa beberapa tahun ke depan.
Rasanya, penghormatan kepada pimpinan adalah salah satu rukun kejituan jemaah, serta kesepaduan jemaah. Pernah diceritakan bahawa seorang sahabat nabi bernama Hubab bin Munzir Pernah bertanya baginda dalam peperangan Badar, katanya "Wahai Rasulullah, adakah tempat tuan hamba berkhemah ini merupakan perkhabaran dari langit (wahyu)? Rasulullah menjawab "BUkan, bahkan ianya adalah salah satu tektik dan strategi peperangan", lalu Hubab mencelah lagi "Kalau begitu bagi pandangan saya, tempat berkhemah paling sesuai ialah dihadapan mata air yang pertama'.
Kisah ini ialah mengenai tempat berkhemah tentera, terdapat dua mata air di hadapan yang boleh dimanafaatkan oleh musuh, jadi kalau berkhemah di hadapan mata air ini, maka seluruh mata air dapat dikawal oleh tentera Islam, pihak musuh tidak akan mengambil manafaatnya dan mereka akan kehausan kerana ketiadaan air.
Pandangan yang amat lunak dibentangkan kepada baginda ini perlu dicontohi oleh pejuang Islam zaman moden ini. Penghormatan para sahabat adalah antara senjata terhebat yang dimiliki oleh baginda Sollahu 'alaihi wasallam, dan ia merupakan sesuatu yang besar dalam saf perjuangan, kerana ia adalah punca kekuatan jemaah.
Mungkin article ini berfungsi untuk memotong arus kecelaruan pemikiran yang sedang melanda sesetengah da'e sekarang ini, walaupun arus itu terlalu besar, namun arus sungai memang halus, tetapi mampu meredakan kelajuan gelombang laut yang menggunung.
Fikir-fikirkanlah. Wasallam.

Tiada ulasan: