Fahaman
atau kumpulan syiah ini bukannya wujud semasa, atau sebelum zaman Rasulullah,
malah zaman Khalifah Ali pun, kumpulan syiah ini belum wujud lagi. Golongan
Ansar, Muhajirin, Aus, Khazraj dan Khawarij adalah sebahagian nama-nama
golongan yang pernah tercatat dalam sejarah Rasulullah. Tiada bukti yang
tertulis menunjukkan wujudnya satu fahaman atau kumpulan yang dinamakan syiah
ketika itu. Istilah "syiah" ini mula digunakan selepas kesyahidan
cucu Rasulullah s.a.w, Saidina Husain bin Ali.
Syiah dari
pandangan golongan syiah itu sendiri bererti pengikut, penyokong dan pencinta
yang merujuk kepada Saidina Ali r.a dan ahlul baitnya.
Menerusi
ulama syiah, Fairuz Abadi di dalam Qamus al-Lughat pada kalimat “شَاعَ” menyatakan: Syiah umumnya bererti setiap
orang yang mengakui kepimpinan Ali dan Ahlul Baitnya.
Dari mana
penggunaan perkataan "Syiah" ini di ambil?
Syiah dari
sudut bahasa bererti pengikut. Perkataan ini ada disebutkan di dalam ayat
al-Quran menerusi surah as-Safat: 83
واِنَّ مِن شِيعَتِهَ لاِبرَاهِيم
“Dan sesungguhnya Ibrahim benar-benar termasuk
Syiah-nya (pengikut Nuh)”
Sementara
di dalam ayat lain:
هذا مِن شِيعَتِهِ وهذا
من عَدُوِّهِ فاسْتَغَاثَهُ الذِي مِنشِيعَتِهِعَلى الذِي مِن عَدُوِّهِ
“(Orang) ini adalah dari Syiah-nya (pengikutnya) dan
(orang) ini adalah dari musuhnya. Lalu Syiah-nya meminta bantuan darinya
terhadap lawan musuhnya” [al-Qasas: 15]
Ayat-ayat
al Quran ini tidak merujuk kepada golongan syiah (al-Ithna ‘Asyariyyah,
Ismailiyyah, Zaidiyyah dsb) yang kita kenali pada hari ini, malah tidak wujud
pun pada zaman Nabi Ibrahim. Maksud syiah di dalam al Quran itu merujuk kepada
pengikut sesuatu kaum/umat pada masa itu. Istilah itu adalah sekadar kata umum
yang bererti pengikut, bukannya nama khas yang dikhususkan kepada pengikut Ali
dan Ahlul Baitnya.
Kumpulan
yang bersimpati kepada kesyahidan dan amat menyanjungi Saidina Husain telah
mengguna pakai perkataan "syiah" di dalam al Quran, untuk menamakan
kumpulan mereka. Dan seterusnya istilah syiah ini sudah menjadi hak eksklusif
khusus bagi golongan ini.
Permulaan Kemunculan Syiah
Yang biasa
menjadi pendapat umum, Syiah dikatakan puak yang menyokong Saidina Ali bin Abi
Talib r.a. dalam pertelingkahannya dengan Muawiah bin Abi Sufyan r.a. Namun
tidak bermakna pengikut Ali itu syiah dan pengikut Muawiah itu Sunni. Malah,
ramai tokoh ahli sunni berkeyakinan bahawa dalam perselisihan yang berlaku di
antara dua sahabat Rasulullah s.a.w ini, kebenaran lebih berpihak kepada pihak
Ali berbanding dengan Muawiyah.
Sebenarnya,
puak Syiah ini muncul selepas pertelingkahan Saidina Husain yang tidak
mengiktiraf kekhalifahan Yazid bin Muawiah.
Kisahnya
bermula apabila Saidina Husain berangkat dari Madinah menuju ke Kufah, Iraq
setelah penduduknya berjanji untuk menyokong, melindungi serta membantunya
sekiranya diserang mana-mana pihak. Namun janji-janji tersebut tidak
dilaksanakan dan seterusnya menjadi punca syahidnya Husain di pertempuran
Karbala.
Setelah
Saidina Husain syahid, sebahagian mereka telah menyesali dosa mereka dan
memberontak kepada pemerintahan Bani Umayyah. Mereka inilah dikenali sebagai
syiah. Ketika itu tidak ada perbezaan akidah melainkan perbezaan gerakan
politik yang menentang pemerintahan Bani Umayyah. Ini bermakna Syiah adalah
satu gerakan politik semata-mata di awal kemunculannya.
Permulaan Gerakan Anti-Sahabat
Gerakan
anti-sahabat Rasulullah dimulai oleh Abdullah ibn Saba’ (Ibn Saba') yang
berasal dari kota Sana’a, Yaman. Dia adalah seorang bangsa yahudi yg menganut
islam pada zaman Uthman tetapi tidak memperbaiki keislamannya.
Saidina
Uthman bin Affan diangkat menjadi Khalifah selepas Khalifah Umar bin Khatab
dibunuh oleh Abu Lu’lu Al-Majusi . Ketika itu, berlaku pergolakan dan keresahan
di kalangan umat Islam. Dengan ketegasan sikap dan kebijaksanaan Uthman,
suasana pemerintahan dapat dikendalikan dengan aman dan ramai yang memeluk
islam termasuk seorang pemuda Yahudi dari Yaman bernama Abdullah bin Saba'.
Bagaimanapun,
Abdullah bin Saba' mempunyai tujuan lain untuk memeluk Islam. Dia berharap
Khalifah selaku pemerintah negara Islam akan memberi penghormatan kepadanya
dengan diberikan jawatan kedudukan tinggi dalam kerajaan. Bagaimanapun Khalifah
Uthman menolak dan berkata;
"Aku
hanyalah pelayan umat, aku diangkat menjadi Khalifah bukan atas keinginan aku,
tetapi kesepakatan umat Islam".
Khalifah
Uthman berkata lagi,
"Tidakkah
tuan tahu bahawa jawatan bukan satu kehormatan, tetapi satu amanah. Apakah tuan
sanggup memikul amanah itu, sedangkan tuan baru memeluk Islam dan lebih
daripada itu tidak layak sesuatu kedudukan diminta atau diminati kerana Allah
yang memberi atau mencabut kedudukan seseorang".
Oleh itu
Abdullah bin Saba' kecewa dan menyimpan dendam kepada Khalifah Uthman, umat
Islam dan Agama Islam. Maka, antara dakyahnya ialah menabur fitnah dan
menimbulkan keraguan kepada orang Islam. Beliau mengatakan bahawa pewaris Nabi
dan Khalifah yang sah adalah Saidina Ali bin Abi Talib, bukannya Abu Bakar,
Umar, Uthman atau sahabat-sahabat lain. Dia menjelajah ke seluruh tempat untuk
menyebar fitnah dan pengaruhnya tersebar luas ke Mesir, Kufah dan Basrah. Untuk
menyakinkan orang ramai akan kata-katanya dan bukannya atas kepentingan diri
sendiri, beliau mengguna dan menjaja nama Saidina Ali dan keluarga Rasulullah
s.a.w (ahlul bait). Kononnya hujah-hujah beliau adalah datangnya dari mulut Saidina
Ali dan Rasulullah sendiri.
Beliaulah
juga orang yang terawal meletakkan Saidina Ali ke tahap yang lebih tinggi dari
Rasullullah s.a.w. Beliau pernah berkata," Sesungguhnya yang menjadi Nabi
pilihan Allah adalah Ali bin Abi Talib. Hanya kebetulan pada ketika itu
malaikat Jibrail mengantuk sehingga wahyu Allah diberikan kepada Muhammad,
iaitu orang yang tidak berhak".
Mendengar
berita itu, Ali bin Abi Talib sangat marah, dan ketika beliau diangkat menjadi
khalifah keempat mengganti Uthman, beliau memerintahkan Abdullah bin Saba'
diusir dari Madinah. Tidak berhenti setakat itu, Abdullah bin Saba' tetap
meneruskan untuk memporak peranda sesama kaum muslimin serta hubungan Saidina
Ali dan para sahabat yang lain secara halus.
Hakikatnya
Abdullah bin Saba' serta pengikut-pengikutnya bukanlah penyokong tulen atau
syiah Saidina Ali tetapi berpura-pura menjadi pengikut kuat Saidina Ali dan
Ahlul Bait. Beliau juga mempunyai ramai pengikut yang dikenali sebagai
Sabaiyyah juga tergolong sebagai orang-orang munafik yang lagaknya seperti
orang Islam yang taat dan menyelinap dalam tentera Ali. Golongan Sabaiyyah ini
lah yang menjadi punca berlakunya Perang Jamal.
Bagi
golongan sunni, Ibn Saba' atau Sabaiyyah adalah perintis kepada perpecahan umat
Islam dan seterusnya mendorong kepada beberapa pecahan ummah termasuk
kemunculan fahaman syiah. Beliau lah sebagai tokoh berperanan utama yang
menyelipkan pemikiran-pemikiran sesat dalam ajaran syiah.
Kitab-kitab
Syiah seperti Syarh Nahjul Balaghah Li Ibn Abil Hadid ada menceritakan
berkenaan Ibn Saba' walaupun terdapat golongan syiah yang menafikan kewujudan
seseorang yang bernama Ibn Saba' atau Abdullah bin Saba'.
Pemilihan Khalifah Selepas Umar Al-Khattab
Pada tahun
644M, Khalifah Umar Al-Khattab mati dibunuh oleh seorang Majusi bernama Abu
Lu'lu'ah al-Farisi. Pembunuhan ini berpunca dendam Abu Lu'Lu'ah kepada Umar
yang tidak memihaknya dalam isu kharaj (seperti cukai) dengan majikannya. Di
kala ini, Pembunuh Umar r.a. ini disanjung dan dipuja oleh penganut Syiah
Imamiyyah. Mereka mengunjungi dan menghormati kuburnya di Kashan, Iran kerana
telah berjaya membunuh Umar r.a. Malah beliau digelar Baba Syuja'uddin (Sang
pembela agama yang gagah berani).
Abu
Lu'lu'ah menikam Khalifah Umar sebanyak enam kali dengan pisau bermata dua
sewaktu Umar mengimami solat subuh di Masjid al-Nabawi, Madinah. Tikaman di
bahagian perut menyebabkan punca kematian Sayyidina Umar. Sebaik saja menikam
Khalifah Umar, Abu Lu'luah cuba lari tetapi ditahan oleh para sahabat yang
lain. Apabila ditahan menyebabkan dia terus menggunakan pisaunya untuk menikam
mereka yang cuba menangkapnya. Ini menyebabkan berbelas orang sahabat gugur
syahid dan cedera. Akhirnya Abdullah bin 'Auf az-Zuhri berjaya memegang bajunya
dan terus menariknya sehingga dia rebah di atas lantai. Melihat dirinya telah
terkepung, maka dia terus membunuh dirinya sendiri dengan menggunakan pisau
ditangannya.
Berbeza
ketika Khalifah Abu Bakar meninggal dunia, beliau hanya menamakan Umar sebagai
penggantinya yang layak sebagai khalifah. Tetapi Umar Al-Khattab telah
menamakan 6 orang pengganti. Antaranya Abu Ubaidah Al Jarrah, Ali bin Abi
Talib, Abdul Rahman bin Auf dan Usman bin Affan. Sebenarnya pilihan pertama
Umar adalah Abu Ubaidah Al-Jarrah tetapi beliau telah meninggal dunia di Syam
akibat wabak taun.
Ketika
Umar merasakan dirinya tidak mampu bertahan lama, beliau mengusulkan
(penggantinya), " Aku tidak akan membuatnya maka sesungguhnya orang yang
lebih mulia daripadaku telah meninggalkan urusan ini(pemilihan) kepada muslimin
maka Rasulullah S.A.W sendiri meninggalkan urusan ini. Sekiranya aku membuat
pemilihan maka aku akan memilih orang yang lebih baik daripadaku iaitu Saidina
Abu Bakar. Jika Abu Ubaidah bin Jarrah masih hidup, nescaya aku akan
melantiknya. Jika Salim Abu Huzaifah masih hidup nescaya aku akan
melantiknya". Kemudian beliau memanggil Abdul Rahman bin 'Auf lalu berkata
:"Aku mahu memberi sumpah setia kepadamu". Mendengar kata-kata
Saidina Umar itu lalu Abdullah bin 'Auf bertanya :" Adakah engkau telah
bermesyuarat dalam perkara ini?. Jawab beliau :"Demi Allah aku belum lagi
berbuat demikian". Kata Abdul Rahman bin 'Auf :"Demi Allah aku tidak
masuk campur dalam masalah ini selama-lamanya". Perintah beliau :"
Carilah kata putus sehingga aku boleh melantik daripada kalangan mereka yang
telah dipilih oleh Rasulullah S.A.W yang mana baginda redha dengan
mereka". Abdul Rahman bin 'Auf terus memanggil Saidina Ali, Saidina
Uthman, Zubair bin al-Awwam dan Sa'ad bin al-Waqas. Dia berkata :" Tunggulah
kehadiran saudaramu Talhah yang mana dia sekarang berada di luar Madinah dan
jika tidak maka laksanakan urusan kamu".
Dua hari
selepas peristiwa serangan itu, iaitu pada subuh hari pertama bulan Muharram
tahun 22 hijrah Khalifah Umar menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam usia
63 tahun iaitu sama dengan umur Rasulullah S.A.W dan Sayyidina Abu Bakar ketika
wafat. Suhaib ar-Rumi telah mengimamkan solat jenazah. Beliau dikebumikan dalam
bilik Sayyidatina 'Aisyah selepas mendapat keizinannya, iaitu disebelah makam Rasulullah
S.A.W dan Sayyidina Abu Bakar.
Pada hari
itu juga para ahli majlis Syura telah bermesyuarat. Daripada keenam-enam
sahabat, kesemuanya menolak dan hanya tinggal Ali, Abdul Rahman dan Uthman
sahaja.
Abdul
Rahman bin Auf juga menarik diri tetapi beliau menawarkan diri untuk menjadi
orang tengah. Beliau akan membuat bancian di kalangan penduduk Madinah sama ada
mahu Ali bin Abi Talib ataupun Uthman bin Affan sebagai khalifah. Setelah
membuat bancian beliau telah berjumpa dengan keduanya dan mereka redha dengan
apa juga keputusan Abdul Rahman.
Lalu Abdul
Rahman mengangkat tangan Uthman dan menyatakan orang Madinah lebih ramai
memilih beliau. Perkara ini menjadi titik tolak perpecahan umat Islam ketika
itu kerana pihak yang menyokong Ali mendakwa Abdul Rahman tidak berlaku adil
kerana beliau mempunyai hubungan persaudaraan sepupu dengan Uthman.
Bagaimanapun Ali menyakini amanah yang dilakukan oleh Abdur Rahman dan membaiat
Uthman sebagai khalifah Islam.
Pembunuhan Khalifah Uthman
Khalifah
Uthman merupakan seorang pemimpin yang lemah lembut, zuhud dan sangat sabar.
Beliau memegang jawatan khalifah ketika umurnya hampir 80 tahun. Kerajaan Islam
dalam keadaan aman semasa 6 tahun awal pemerintahannya, sehinggalah berlakunya
fitnah yang dicetuskan oleh Abdullah Ibn Saba’ (Ibn Saba) yang amat memusuhi
Khalifah Uthman.
Ibn Saba
memfitnah Uthman menyalah guna kuasa dengan memberi kekayaan kepada keluarga
dan saudara maranya, merampas tanah orang miskin, gabenor2 Uthman yang zalim
dan sebagainya. Walaupun Uthman telah menghantar surat menjelaskan perkara
sebenar kepada jajahan pemerintahan Islam tetapi tidak berjaya meredakan fitnah
tersebut.
Mereka
yang terpengaruh dengan fitnah Ibn Saba termasuk dari Kufah, Basra dan Mesir
telah berjumpa dengan Uthman supaya meletak jawatan. Mereka inilah digelar
sebagai kumpulan Sabaiyyah oleh sejarawan Islam. Para sahabat di Madinah ketika
itu mencadangkan supaya Uthman menahan kumpulan ini tetapi Uthman berlembut dan
memaafkan mereka.
Golongan
Sabaiyyah makin berani membuat surat palsu dari Saidina Ali (kepada penduduk
Mesir), Zubir Awwam (kepada penduduk Kufah) dan Abi Talhah (kepada penduduk
Basra) untuk memujuk mereka menyerang Madinah. Mereka menggunakan nama
ketiga-tiga mereka ini kerana mereka sahabat nabi yg dijamin syurga dan
dihormati. Penduduk Syam tidak dipengaruhi oleh pemberontak ini kerana penduduk
di situ tidak akan mempercayai surat tersebut memandangkan Gabenor Syam,
Muawiyah adalah saudara kepada Uthman.
Akhirnya
golongan Sabaiyyah berjaya mempengaruhi ramai orang Islam untuk mengepung rumah
Uthman di Madinah ketika musim haji. Mereka memilih musim haji kerana ramai
sahabat nabi akan pergi menunaikan haji ke Mekah. Terdapat beberapa sahabat
yang cuba menolong Uthman termasuk Abu Hurairah, Hisam iaitu wakil yang dihantar
oleh Saidina Ali dan beberapa orang lain. Tetapi Uthman menyuruh mereka pulang
dan tidak memerlukan perlindungan.
Sebenarnya
Uthman sudah merasakan beliau akan dibunuh pada hari pengepungan tersebut.
Beliau juga bermimpi bertemu Rasulullah dan berbuka dengan baginda pada malam
itu. Beliau memakai seluar kerana khuatir auratnya akan terlihat jika beliau
dibunuh nanti.
Pada 656
masihi, ketika tu Uthman telah berusia 90 tahun. Pemberontak menyerbu masuk ke
rumahnya ketika beliau sedang berpuasa dan membaca masyhaf Al-Quran.
Pemberontak tersebut menghentak kepala Uthman dengan besi hingga darahnya
terkena masyhaf Al-Quran tersebut. Masyhaf tersebut masih boleh dilihat pada
masa ini. Pemberontak kemudiannya memotong jari tangan isteri Uthman, Nailah.
Maka
terjadilah fitnah terbesar dalam dunia Islam ketika itu iaitu pembunuhan
seorang khalifah Islam yang menyebabkan perpecahan yang lebih besar dari
sebelum itu. Selama 5 hari selepas itu umat Islam tidak ada pemimpin, sedangkan
pemberontak masih berada di dalam Madinah iaitu kira-kira 2000-3000 orang.
Ahli Syura
dan penduduk Madinah mendesak Saidina Ali supaya menjadi pengganti khalifah
walaupun pada awalnya Saidina Ali menolak cadangan tersebut. Perkara pertama
yang beliau ingin lakukan ialah mencari pembunuh Uthman dan menghapuskan
golongan Sabaiyyah yang menghasut para sahabat dan orang Islam. Tetapi beliau
tidak bertindak dengan segera dan perlu lebih berhati-hati kerana
pemberontak-pemberontak masih ramai di Madinah dan orang Islam masih berpecah belah
yang memihak kepada Uthman dan sebahagian lagi mereka yang termakan hasutan
golongan Sabaiyyah. Walaupun begitu, kedua-dua pihak di Madinah ini tidak
memusuhi dan memerangi Khalifah Ali, melainkan penduduk luar Madinah yang tidak
berpuas hati dengan kelewatan Khalifah Ali untuk bertindak menangkap pembunuh
Uthman.
Selepas
kematian Uthman, lebih ramai pemberontak masuk ke dalam kota Madinah hingga
jumlahnya mencecah 5,000-6,000 orang. Pemberontak tersebut juga merupakan dari
kalangan orang-orang Islam terutamanya dari Kufah, Basra dan Mesir yang berjaya
diperdaya oleh golongan Sabaiyyah.
Kota
Madinah kian tidak tenteram dengan ketiadaan pemimpin dan ini mendedahkan umat
Islam kepada bahaya, maka segeralah para sahabat ridwanullahi ‘alaihim mencari
calon yang paling layak. 3 nama untuk menggantikan Uthman iaitu Ali bin Abi
Talib, Abi Talhah dan Zubair bin Awwam, namun mereka menolaknya. Menurut
Muhammad al-Hanafiah (Muhammad bin ‘Ali bin Abi Talib r.a), ayahnya pernah
berkata kepada orang ramai, “Janganlah kamu memilih aku, sesungguhnya aku lebih
baik menjadi Wazir (pembantu Khalifah) berbanding menjadi Amir (Khalifah)”.
Menurut
riwayat lain, daripada Abu Basyir al-’Abidi “Selepas terbunuhnya Uthman r.a,
berhimpunlah golongan Muhajirun dan Ansar termasuk Talhah dan Al-Zubair
berjumpa dengan Ali r.a untuk di bai’at sebagai khalifah, Namun Ali berkata:
“Aku tidak berhajat akan urusan kamu, aku bersama kamu, sesiapa sahaja yang
kamu pilih, aku akan meredhainya, maka pilihlah (selain aku) demi Allah”. Lalu
mereka (para sahabat) berkata: “Kami tidak akan memilih selain kamu”. Kata Abu
Basyir lagi“Mereka datang kepada Ali berkali-kali sehingga yang kali
terakhirnya mereka berkata kepadanya: “Sesungguhnya tidak boleh bagi manusia
tanpa adanya pemimpin sedangkan telah berlanjutan masa (tanpa pemimpin)”. Lalu
kata Ali kepada mereka: “Sesungguhnya kamu telah berulang kali datang kepada
aku dan kamu enggan (memilih selain aku) dan sesungguhnya aku hendak berkata
suatu perkara jika kamu menerimanya, maka aku menerima permintaan kamu, jika
tidak maka aku tidak berhajat akannya (tidak berhajat menjadi Khalifah)”.
Mereka berkata: “Apa sahaja yang kamu katakan, akan kami akan terima
Insya-Allah”.
Akhirnya
Ali ketika itu berumur 58 tahun, menerima jawatan tersebut dan orang pertama
yang membai’at beliau adalah Talhah dengan lisan, diikuti dengan Sa’ad (ibn Abi
Waqqas r.a) dengan tangannya. Turut membai’at beliau, ialah Al-Zubair bin
al-’Awwam r.a. Namun sesetengah riwayat mengatakan Talhah dan Az-Zubair
membai'at dalam keadaan paksa-rela oleh situasi yang ditimbulkan oleh
pemberontak. Pemberontak juga pernah mengugut bunuh Ibn Umar sekiranya (Ibn
Umar) tidak bersetuju menjadi khalifah. Malah Ali juga sendiri tidak mahu
dilantik sebagai khalifah sekiranya tiada bai'at dari para sahabat. Oleh itu,
pemberontak mendesak para sahabat supaya Ali dilantik sebagai khalifah. Jika
tidak kota Madinah berubah menjadi lebih parah.
Untuk
mengelak masalah yang lebih besar sebelum para pemberontak itu bertindak di
luar jangkauan melantik orang yang menjadi boneka mereka sebagai khalifah dan
menyebabkan urusan pemilihan khalifah terkeluar dari tangan sahabat
ridwanullahi ‘alaihim dan jatuh ke tangan pemberontak, maka Talhah dan
Az-Zubair bergegas membai’at Ali r.a. Talhah dan Az-Zubair mengakui Ali adalah
orang yang paling layak dilantik sebagai khalifah tetapi bukan dalam keadaan
situasi yang mendesak itu.
Perlantikan
Saidina Ali sebagai Khalifah menyebabkan ramai dikalangan penduduk Mekah, Mesir
dan beberapa kawasan jajahan Islam lain mempersoalkan perlantikan tersebut. Ini
adalah kerana mereka pernah mendapat surat daripada Saidina Ali , kononnya
meminta penduduk disitu menyerang kota Madinah sewaktu pemerintahan Khalifah
Uthman. Sedangkan mereka tidak menyedari bahawa surat itu adalah palsu yang
diedarkan oleh golongan Sabaiyyah yang dipimpin oleh Abdulah bin Saba'.
Dengan
kenaikan Ali sebagai khalifah seolah-olah mengesahkan surat itu benar-benar
ditulis oleh Ali sendiri. Ini juga merupakan satu perancangan licik golongan
Sabaiyyah memecahkan perpaduan umat Islam. Malah Khalifah Ali sendiri tidak
tahu siapa penulis sebenar surat tersebut. Hakikatnya Khalifah Ali juga tidak
menyedari ada dalang sebenar (Sabaiyyah) kerana mereka juga hidup seperti orang
Islam (munafik).
Khalifah
Ali berpendapat bahawa pemberontakan yang berlaku terhadap Khalifah Uthman
adalah berpunca daripada gabenor-gabenor di tanah jajahan tidak disenangi
rakyat atau gagal mententeramkan rakyatnya daripada memberontak terhadap pemerintahan
Uthman. Oleh itu beliau telah menggantikan semua gabenor-gabenor yang dilantik
oleh Uthman termasuk Muawiyah di Syam. Di Basrah, Abdullah bin Amir digantikan
dengan Uthman bin Hanif, Saad bin al-as menggantikan Amran bin Syahab di Kufah
dan di Syam, Muawiyah digantikan dengan Syahab Bin Hanif.
Khalifah
Ali juga berpendapat tindakan ini juga dapat meredakan kemarahan orang yang
tidak suka kepada gabenor pemerintahan Uthman sebelum ini. Tetapi hal ini
semakin menimbulkan prasangka di kalangan sahabat yang lain. Malah seorang
sahabat iaitu Al-Mughirah menasihati Ali supaya jangan memecat gabenor Uthman
ketika itu. Uthman tidak pernah terus memecat gabenor yang dilantik oleh Umar
sebelumnya. Ia akan menimbulkan fitnah. Tetapi Ali bertegas meneruskan hasratnya.
Pada
mulanya Khalifah Ali memang berazam mencari pembunuh Uthman yang sebenar, namun
pergolakan umat Islam ketika itu menyebabkan Khalifah Ali lebih menumpukan
untuk perkukuhkan dahulu negara Islam dan menenangkan umat Islam. Malah tiada
seorang saksi pun yang berani tampil melihat pembunuhan Uthman. Khalifah Ali
tidak mampu menghukum semua pemberontak kerana jumlahnya yang ramai, mereka
terdiri kaum muslimin dan tidak semua terlibat dalam pembunuhan Uthman.
Sebelum
Perang Jamal tercetus, Khalifah Ali pernah berkata “Bagaimana aku hendak
bertindak dengan kaum yang kita tidak kuasai? Tiada cara hendak cari pembunuh
Uthman kerana mereka ramai dan tiada saksi ketika pembunuhan di rumah Uthman.
Siapa yang tahu cara untuk mencari pembunuh Uthman sila bagitau aku!“. Sahabat
semua diam termasuk termasuk Zubair dan Talhah. Dan akhirnya mereka taat kepada
Khalifah Ali. Namun akibat fitnah dan perancangan licik golongan pemberontak
dan Sabaiyyah, berlakulah peperangan Jamal.
Khalifah
Ali kemudiannya telah mengubah ibukota Islam dari Madinah Ke Kufah atas alasan
Madinah tidak selamat untuk diduduki lagi untuk mentadbir negara Islam. Beliau
wafat selepas sembahyang Subuh di Masjid Kufah pada 17 Ramadan 41 Hijrah / 661
Masihi kerana dibunuh oleh seorang puak Khawarij, Abdul Rahman bin Muljam. Puak
Khawarij merupakan bekas pengikut Khalifah Ali yang tidak berpuashati
perjanjian damai dengan Muawiyah sewaktu Perang Siffin. Khawarij berpakat untuk
membunuh Ali r.a, Mu’awiyah r.a, Amr bin Ash r.a dan Abu Musa al-Asy’ari r.a.
Bagaimanapun rancangan pembunuhan itu hanya berjaya ke atas Khalifah Ali.
Jenazah
Khalifah Ali kemudiannya dikebumikan di Dar al-Imarah (Kufah). Namun bagi
golongan syiah beranggapan beliau dikebumikan di Mashhad al-Najf.
PERANG JAMAL
Pengenalan
Perang
Jamal atau Perang Unta berlaku pada 11 Jamadilakhir 36H atau Disember 657M yang
mengambil masa tidak sampai sehari. Peperangan ini berpunca daripada salah
faham di antara pihak Khalifah Ali dan pihak Saiditina Aishah yang menyebabkan
10-13 ribu tentera terkorban termasuk dua sahabat besar Rasulullah s.a.w,
Talhah & Zubair al Awwam. Salah faham ini ditimbulkan oleh pihak munafik
pimpinan Abdullah bin Saba’ (Sabaiyyah) yang membuat huru-hara selepas
perbincangan perdamaian tercapai di anatara kedua-dua pihak. Peperangan ini
merupakan perang saudara pertama kaum muslimin yang berakhir dengan kemenangan
dipihak Khalifah Ali. Peperangan ini dinamakan peperangan Jamal (unta) kerana
Aisyah menunggang unta ketika berperang.
Rombongan
Aisyah, Talhah dan Az-Zubair
Ketika
pemberontakan ke atas Khalifah Uthman tercetus, Saiditina Aisyah pada masa itu
berumur 40 tahun berada di Mekah menunaikan haji. Aisyah telah mengumpul orang
Islam dan penduduk di Mekah untuk membantu Uthman menghadapi pemberontakan di
Madinah. Ketika dalam perjalanan menuju ke Madinah, diberitakan Uthman telah
dibunuh. Ketika itu para sahabat mempunyai beberapa cadangan kepada Aisyah,
sama ada meneruskan perjalanan ke Madinah atau, menuju ke Syam untuk meminta
bantuan Muawiyah, namun akhirnya mereka memilih jalan menuju ke Basrah.
Mereka
berasakan Kota Madinah dalam keadaaan tidak tenteram setelah jatuh ke tangan
pemberontak yang masih ramai disitu. Sekiranya tetap meneruskan perjalanan ke
Madinah, Aisyah dan rombongannya akan berada pada situasi yang membahayakan
kerana mereka adalah dari kalangan orang yang menyokong Uthman. Mereka menuju
ke Basrah untuk merancang strategi dan mengumpul kekuatan menangani pemberontak
yang memecah belah umat Islam, dan berazam memulih kembali perpaduan umat
Islam. Walaupun Ali kemudiannya telah dilantik sebagai Khalifah, mereka tidak
berpuas hati kerana Ali dilihat gagal menghukum pembunuh Uthman, seolah-olah
Ali dalam keadaan terikat dan tertekan dikelilingi golongan pemberontak.
Selepas
Talhah dan Zubair membai'ah Saidina Ali sebagai Khalifah, mereka meminta izin
untuk melakukan umrah. Ketika dalam perjalanan, mereka bertemu dengan Aisyah,
di dalam pertemuan itu mereka bersepakat untuk meminta Khalifah Ali
mempercepatkan qisas (hukuman) keatas pembunuh Uthman.
Apabila
melihat Aisyah dan pasukannya pergi ke Basrah, golongan munafik Sabaiyyah
menyalakan api fitnah dengan menyebar berita kononnya pemergian Aisyah tersebut
adalah mengumpul kekuatan dan menuju ke Madinah untuk memberontak kekhalifahan
Ali.
Semangat
Perdamaian
Apabila
Ali mendengar khabar angin itu, beliau mengutuskan al-Qa’ qa’ untuk berjumpa
Aisyah, Talhah dan Zubair di Basrah.
Menurut
Ibn Kathir menulis: “Sesungguhnya Ali telah mengutuskan al-Qa`qa` sebagai
utusan menemui Talhah dan Zubair untuk mengajak mereka kepada kesatuan dan
jamaah dan menyatakan kepada mereka berdua betapa bahayanya perpecahan dan
perselisihan. Lalu al-Qa`qa` menuju ke Basrah dan orang yang pertama ditemuinya
ialah Aishah."
Beliau
berkata: “Wahai Ummu Mukminin, apakah yang mendorong ibu menjejakkan kaki di
bumi ini?”.
Aishah
menjawab: “Wahai anakku, untuk mendamaikan antara manusia.”
Kemudian
al-Qa`qa` meminta supaya Aishah memanggil Talhah dan al-Zubair, lalu mereka
berdua pun datang.
Al-Qa`qa`
berkata kepada mereka “Saya telah bertanya kepada Ummu Mukminin sebab mengapa
beliau menjejakkan kaki ke sini dan beliau menjawab untuk mendamaikan antara
manusia.”
Lalu
mereka berdua menyatakan: “Kami pun dengan tujuan yang sama.” Talhah dan
al-Zubair juga mengatakan bahawa mereka datang hanya untuk mendamaikan antara
manusia.
Mereka
juga menjawab: “Kamu memang benar dan melakukan yang terbaik. Oleh itu,
pulanglah, jika Ali datang dan dia berpandangan seperti kamu, keadaan akan
menjadi baik.”
Lalu
al-Qa`qa` pulang menemui Ali dan mencerita apa yang berlaku dan Ali amat
gembira.
Aishah
telah menulis surat kepada kepada Ali menyatakan beliau datang untuk tujuan
perdamaian. Kemudian Ali menulis kepada Talhah dan al-Zubair: “Jika pendirian
kamu berdua masih kekal seperti ketika al-Qa`qa` meninggalkan kamu berdua, maka
tunggulah sehingga kami datang dan membincangkan perkara ini. Lalu mereka
berdua menjawab: “Sesungguhnya kami masih lagi berpendirian seperti ketika
al-Qa`qa` meninggalkan kami iaitu untuk berdamai.
Khalifah
Ali menghebah berita perdamaian ini kepada kaum muslimin, namun terdapat
golongan yang membenci situasi perdamaian ini terutamanya dari golongan
Sabaiyyah.
Pertemuan
Ali dan Aisyah
Khalifah
Ali bersama tentera-tenteranya (sebagai langkah berjaga-jaga) menuju ke Basrah
untuk tujuan perdamaian dengan Saiditina Aisyah. Malangnya kebanyakan tentera
yang mengikut Ali adalah dikalangan pemberontak (dari golongan munafik
Sabaiyyah) yang menyelinap di dalam tentera muslimin. Ramai sahabat tidak mahu
serta dalam rombongan tersebut. Abu Musa dan anaknya, Hassan bin Ali telah
menasihati Ali supaya jangan keluar kerana tindakan itu lebih membawa
keburukan. Tetapi ijtihad Ali adalah untuk membawa keamanan.
Apabila
kedua-dua pasukan saling berhadapan, Khalifah Ali berjumpa dengan Thalhah dan
Zubair. Beliau mengimbas kembali akan saat manis ketika bersama Rasulullah
s.a.w dan berperang melawan orang musyrikin. Aisyah, Zubair dan Talhah meminta
Ali mencari pembunuh Uthman. Tetapi Ali dengan tegas menjelaskan dalam keadaan
sekarang, permintaan itu adalah mustahil tanpa sokongan dan perpaduan umat
Islam khususnya dari kalangan para sahabat. Malah bilangan pemberontak yang
juga dari kalangan umat Islam sangat ramai di Madinah dan amat sukar mengenapasti
siapakah pembunuh Uthman yang sebenar. Aisyah menyedari kesilapan mereka tidak
berbai'ah kepada Ali dan memberitahu kepada rombongannya, mereka tersilap dalam
hal ini dan mereka akan bersatu bersama Khalifah Ali untuk menguatkan kembali
perpaduan umat Islam dan mencari pembunuh Uthman yang sebenar.
Menurut
al-Imam Ibn Hazm rahimahullah (456H): “Dan adapun (pemergian) Ummul Mukminin
(Aisyah), al-Zubair dan Thalhah radhiallahu 'anhum berserta orang-orang yang
bersama mereka (ke Basrah), tidaklah mereka sedikit jua bertujuan membatalkan
kekhalifahan Ali, mereka tidak mencabar jawatan tersebut, mereka tidak menyebut
apa-apa kecacatan yang merendahkan beliau daripada jawatan tersebut, mereka
tidak bertujuan mengangkat khalifah baru yang lain dan mereka tidak memperbaharui
bai‘ah kepada sesiapa yang lain. Ini adalah sesuatu yang tidak dapat diingkari
oleh sesiapa jua dengan apa cara jua.”
Golongan
Sabaiyyah berasa terancam dengan perdamaian tersebut. Pada malamnya, mereka
merancang untuk melagakan kedua-dua pihak Ali dan Saiditina Aisyah. Jika umat
Islam bersatu, pasti akan memudahkan tindakan diambil ke atas para pembunuh
Uthman. Sekiranya umat Islam kekal berpecah, selagi itulah para pembunuh Uthman
akan terselamat daripada apa-apa tindakan. Jika mereka tidak bertindak cepat,
lambat laun tembelang mereka akan pecah, dan mereka pasti di qisaskan atau di
hukum. Dianggarkan jumlah mereka menyelinap dalam tentera Ali ketika itu
dikatakan mencecah 1,000-2,000 orang.
Mereka
segera mengatur rancangan dan membuat keputusan bahawa satu kumpulan dari
mereka akan berada di pihak Aishah manakala satu lagi kumpulan kekal di dalam
pasukan Ali. Mereka akan bertindak secara senyap untuk mencetuskan kekacauan
dengan saling menyerang di antara satu sama lain menyebabkan berlaku kekeliruan
kepada kedua-dua belah pihak.
Berlakunya
Perang
Sebelum
subuh, golongan Sabaiyah menyerang pasukan Aisyah secara mengejut. Dalam
suasana terperanjat daripada tidur, pasukan Aisyah menyangka bahawa tentera Ali
telah berlaku khianat dan menyerang mereka.
Golongan
Sabaiyyah disebelah pasukan Aisyah berteriak bahawa tentera Ali telah menyerang
curi dan menipu mereka. Sebagai tindakan mempertahankan diri sendiri, mereka
menyerang balas ke atas tentera Ali.
Golongan
Sabaiyyah disebelah pasukan Ali pula berteriak bahawa rombongan Aisyah telah
menyerang. Lalu Pasukan Ali menyangka pasukan Aisyah telah berlaku khianat dan
menyerang mereka. Dengan itu mereka menyerang balas untuk mempertahankan diri.
Tidak sesiapapun di kalangan mereka yang menyedari perkara sebenar yang
terjadi. Disitulah bermulalah Perang Jamal sekali pun kedua-dua pihak pada
asalnya tidak berniat untuk berperang.
Syaikh
al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H) meringkaskan detik-detik ini dalam
satu perenggan: “Mereka (para pembunuh Uthman) menyerang khemah Thalhah dan
al-Zubair. Lalu Thalhah dan al-Zubair menyangka bahawa Ali telah menyerang
mereka, maka mereka menyerang kembali untuk mempertahankan diri. Seterusnya Ali
pula menyangka bahawa mereka (Thalhah dan al-Zubair) menyerangnya, maka Ali
menyerang kembali untuk mempertahankan diri. Maka berlakulah fitnah
(peperangan) tanpa ia menjadi pilihan mereka (kedua-dua pihak). Manakala Aisyah
radhiallahu 'anha hanya berada di atas pelana untanya, beliau tidak menyerang
dan tidak memerintahkan serangan. Demikianlah yang diterangkan oleh tidak
seorang daripada para ilmuan dalam bidang sejarah (Ahl al-Ma’rifat bi
al-Akhbar).” [Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah fi Naqd Kalam al-Syi‘ah wa
al-Qadariyyah (diteliti oleh M. Rasyad Salim; Muassasah Qurtubiyyah, 1986),
jld. 4, ms. 317]
Al-Hafiz
Ibn Katsir rahimahullah (774H) memperincikan detik-detik tercetusnya Perang
Jamal: “Orang-orangpun merasa tenang lagi lega …… pada waktu malamnya kedua-dua
pihak bermalam dalam keadaan yang sebaik-baiknya. Akan tetapi para pembunuh
Uthman melalui malam tersebut dalam keadaan yang seburuk-buruknya. Mereka
berbincang dan bersepakat untuk mengobarkan peperangan pada awal pagi esoknya.
Mereka bangun sebelum terbit fajar, jumlah mereka menghampiri seribu orang. Masing-masing
kelompok bergabung dengan pasukannya lalu menyerang mereka (pasukan Aisyah)
dengan pedang."
Tentera
Ali berjaya menguasai peperangan tersebut kerana pada masa itu, pasukan Aishah
tidak mempunyai kelengkapan yang mencukupi. Ini adalah kerana tujuan kedatangan
mereka adalah bukan untuk berperang tetapi untuk mencari jalan perdamaian.
Dalam
peperangan ini, Aisyah tidak melibatkan diri dalam medan pertempuran tetapi
unta yang dinaiki Aisyah telah terbunuh tertusuk tombak. Lalu Aisyah terjatuh
dari unta tersebut.
Pembunuhan
Talhah dan Az-Zubair
Sewaktu
pertempuran berlaku, Khalifah Ali sempat bertemu Zubair dan Talhah, katanya;
“Wahai
Zubair, aku minta kau jawab kerana Allah!”
“Tidakkah
engkau ingat, sewaktu Rasulullah menghampiri kita yang sedang berkumpul
bersama, lalu beliau (Rasulullah) bersabda;
“Wahai
Zubair, tidakkah engkau mengasihi Ali..”
Kemudian
engkau menjawab “Kenapa pula aku tidak mengasihi saudara sepupuku, anak kepada
ibu dan bapa saudaraku, serta se akidah denganku…”
Rasulullah
bersabda lagi “Hai Zubair demi Allah, bila engkau memeranginya (Ali), jelas
engkau telah berlaku zalim kepadanya…”
Sewaktu
itu Zubair tersedar akan kesilapannya “Ya, sekarang aku ingat, hampir aku
terlupa (sabda Rasulullah), demi Allah aku tidak akan memerangimu."
Talhah dan
Zubair menarik diri dari perang saudara itu. Mereka mengundur diri setelah tahu
kedudukan sebenar peperangan itu, tambahan pula apabila mereka terlihat Ammar
bin Yasir berperang di pihak Ali. Mereka teringat sabda Rasulullah kepada Ammar
“Yang akan membunuhmu ialah golongan yang derhaka…”
Bagaimanapun,
Zubair diekori oleh Amru bin Jurmuz, lalu dibunuh sewaktu Zubair sedang solat,
manakala Talhah dipanah/lembing oleh rakan sepasukan iaitu, Marwan bin Hakam,
setelah mendapati Talhah mengundur diri dari berperang. Ketika itu Talhah
berusia 63 tahun.
Ketika Ali
nampak jasad Talhah yang terkorban, beliau turun dari kuda mengangkat mayat
Talhah dan menangis sambil berkata “Semoga Allah merahmatimu Aba Muhammad,
sesungguhnya aku berasa amat sedih melihat engkau dibunuh di bawah bintang di
langit. Kalaulah aku mati dahulu tentu aku tak melihat peristiwa ini“.
Manakala
Zubair menuju ke Wadi Suba’, tetapi di bunuh oleh Amir bin Jurmuz ketika solat.
Si pembunuh juga membawa pedang Zubair bin Awwam yang dibunuh dengan gembira
dan menyatakan mereka berjaya membunuh Zubair. Lalu Ali berteriak si pembunuh
itu akan dibalas dengan api neraka. Ini adalah kerana Ali mendengar Rasulullah
berkata dalam hadisnya yang menyatakan, berikan neraka kepada pembunuh Zubair.
Zubair ini adalah penolong nabi. Rasulullah pernah berkata “Setiap nabi
mempunyai seorang penolong, Zubair ini adalah penolongku“. Ali telah
menyembahyangkan semua mayat dari kedua-dua tentera.
Ketika Ali
menatap pedang Zubair beliau berkata“Demi Allah pedang ini sudah banyak
berjasa, digunakan oleh pemiliknya (Zubair) untuk melindungi Rasulullah dari
ancaman bahaya…”
KESAN PEPERANGAN
Peperangan
ini membawa kepada kesedihan dan penyesalan di antara kedua-dua pihak. Mereka
menyedari ditipu oleh golongan yang tidak menyokong perdamaian (golongan
Sabaiyyah).
Saidina
Hassan Bin Ali r.a pernah berkata kepada ayahnya,“ Wahai Ayah, telah aku
nasihati mu, supaya engkau jangan menghantar tentera keluar.”
Aisyah
juga dihantar pulang ke Madinah dengan dikawal oleh sepasukan wanita bersenjata
lengkap. Khalifah Ali berpesan kepada tenteranya supaya tidak menjadikan
peperangan ini seperti peperangan lain (dengan tentera musyrikin) kerana perang
ini berlaku sesama kaum muslimin. Harta peperangan pihak Aishah tidak boleh
dijadikan sebagai ghanimah. Mereka yang lari tidak boleh dikejar dan yang
terbunuh hendaklah disemadikan sebagai seorang Islam.
Akibat daripada peperangan itu,
penentangan terhadap Khalifah Ali semakin memuncak terutamanya dari Muawiyah
biMengenali asal usul fahaman syiah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan