MUQADDIMAH
Hari Kiamat pasti akan terjadi. Di saat itu langit akan peccah, gunung ganang akan berterbangan, bumi dan seisinya akan hancur lebur, Bumi yang dipihak ini akan bertukar menjadi bumi yang lain. Langit yang menaungi kita juga akan bertukar dengan langit yang lain pula.
Tiada siapa yang mengetahui bilakah peristiwa dahsyat itu akan terjadi kecuali hanya Allah swt. Namun begitu, Allah dengan kasih saying-Nya dan juga dengan hikmah-Nya telah menunjukkan kepada kita beberapa tanda yang terjadi mendahuluinya, supaya orang yang berdosa sempat bertaubat dan orang-orang yang sudah insaf akan menambahkan lagi amalan mereka.
Dunia pada hari in itelah dan sedang merasakan tanda-tanda itu. Bahkan debaran jantung dunia akan sentiasa dikejutkan oleh peristiwa-peristiwa ganjil yang aka nterjadi dari masa ke semasa. Kita hari ini merasakan kemerosostan umat Islam, para ulama berkurangan, cabaran hebat terhadap iman, kemungkaran berleluasa di tengah-tengah masyarakat, keruntuhan moral, gempa bumi demi gempa bumi dan peperangan demi peperangan. Tanda-tanda kiamat yang kecil ini sangat banyak kita rasakan. Hampir seratus tanda yang sekarang ini sedang kita alami.
Apa yang dapat kita perkatakan disini ialah, tanda-tanda yang kecil ini dari masa ke semasa semakin bertambah serius dan sudah hampir ke peringkat yang paling teruk yang selanjutnya akan disambut oleh tanda-tanda kiamat yang besar, di mana apabila kita menemui tanda kiamat besar yang pertama maka tanda-tanda lainya akan segera mengikutinya seperti yang telah disebutkan dalam hadis Rasulullah saw.
Tanda-tanda kiamat yang besar itu ialah seperti yagn telah disebutkan dalam hadis Rasulullah saw di bawah ini :
عن حذَيفة بْنِ أَسِيْدٍ الغِفَارِي رضي الله عنه قال اِطَّلَعَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ونحنُ نَتَذَكَرُ فقال : ماتَذَاْكِرُوْنَ قالوا : نَذْكُرُ السَّاْعَةَ, قال : إِنَّها لَنْ تَقُوْمَ حَتَّى تَرَوْنَ قَبْلَها عَشَرَ آيَاْتٍ فَذَكَرَ الدُّخَاْنَ والدَّجالَ والدَّاْبَةَ وطُلُوْعَ الشَّمسِ مِنْ مَغْرِبَها ونُزُوْلَ عِيْسَى عليه السلامُ ويَأْجُوجَ ومَأْجُوجَ وثَلاَثَةَ خُسُوْفَاْتٍ خَسْفٌ بِالْمَشْرِقِ خَسْفٌ بِالْمَغْرِبِ وخَسْفٌ بِجَزِيْرَةِ العَرَبِ وءَاْخِرُ ذَلكَ نَاْرٌ تَخْرُجُ منَ اليَمَنِ تَطرُدُ النَّاْسَ إلى مَحْشَرِهِم – رواه مسلم
Ertinya ;
Daripada Huzaifah bin Asid Al Ghifari ra, berkata : datang kepada kami Rasulullah saw dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang, lalu beliau bersabda “apa yang kamu perbincangkan?”, Kami menjawab “Kami sedang berbincang tentang hari kiamat!”, Lalu Nabi saw bersabda : “Tidak akan terjadi kiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya”. Kemudian beliau menyebutkannya : “asap, Dajjal, binatang, terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turun Nabi Isa bin Mariam alaihissalam, Ya’juj dan Ma’juj, tiga kali gempa bumi, sekali di Timur, sekali di Barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab, dan yang terakhir sekali adalah api yang akan keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia ke Padang Mahsyar mereka.
Sepuluh tanda kiamat yang disebutkan Rasulullah saw dalam hadis ini adalah tanda-tanda kiamat yang besar yangakan terjadi di saat hampir tibanya hari kiamat, sepuluh tanda itu ialah :
(1) Dhukhan (asap) yang akan keluar dan mengakibatkan penyakit yanng seperti selsema di kalangan orang-orang yang beriman dan akan memasuki segala rongga badan orang-orang kafir lalu mereka menjadi menggelembung kemudian asap itu keluar semula dari badan mereka.
(2) Dajjal yang akan membawa fitnah besar yang akan meragut keimanan, hinggakan ramai orang akan terpedaya dengan seruannya.
(3) Binatang besar yang keluar berhampiran Bukit Sofa di Makkah yang akan bercakap bahawa manusia sudah tidak mahu beriman lagi kepada Allah swt.
(4) Matahari akan terbit dari tempat tenggelamnya. Maka pada saat itu Allah swt tidak lagi menerima iman orang kafir dan tidak menerima taubat daripada orang yang berdosa.
(5) Turunya Nabi Isa as ke permukaan bumi ini. Beliau akan mendukung pemerintahan Imam Mahdi yang berdaulat pada masa itu dan beliau akan mematahkan segala salib yang dibuat oleh orang-orang Kristian dan beliau jug akan membunuh Dajjal.
(6) Keluarnya bangsa Ya’juj dan Ma’juj yang akan membuat kerosakan di permukaan bumi ini, iaitu apabila mereka berjaya menghancurkan bumi ini, iaitu apabila mereka berjaya menghancurkan dinding yang dibuat dari besi bercampur tembaga yang telah didirikan oleh Zul Qarnaian bersama dengan pembantu-pembantunya pada zaman dahulu.
(7) Gempa bumi di Timur.
(8) Gempa bumi di Barat.
(9) Gempa bumi di semenanjung Arab.
(10) Api besar yang akan menghalau manusia menuju ke Padaang Mahsyar. Api itu akan bermula dari arah negeri Yaman.
Mengikut pendapat Imam Ibnu Hajar Al Asqalani di dalam Kitab Fathul Bari beliau mengatakan, “Apa yang dapat dirajihkan (pendapat yang terpilih) dari himpunan hadis-hadis Rasulullah saw ialah bahawa keluarnya Dajjal adalah yang mendahului segala petanda-petanda besar yang berlaku di permukaan bumi ini. Keadaan itu akan disudahi dengan kematian Nabi Isa as (setelah beliau turun dari langit). Kemudian terbitnya matahari dari tempat tenggelamnya adalah permulaan tanda-tanda kiamat yang besar yang akan merosakkan sistem alam cakerawala yang mana kejadian in iaka ndisudahi dengan terjadinya peristiwa kiamat yang dahsyat itu. Barang kali keluarnya binatang yang disebutkan itu aka nterjadi di hari yang matahari pada waktu itu terbit dari tempat tenggelamnya.
Walaubagaimanapun di sana masih ada lagi bebebrapa tanda kiamat yang besar, iaitu pemerintahan Imam Mahdi yang mendahului kemunculan Dajjal, al Quran akan diangkat dan Ka’bah akan dihancurkan.
Maka dalam buku ini, kita cuba untuk menghuraikan susunan kejadian yang akan berlaku dengan berpandukan kepada pendapat Imam Ibnu Hajar tadi dan juga dengan merujuk kepada beberapa buah kitab yang dikarang oleh para ulama dalam masalah ini. Dan untuk memudahkan kita mengikuti susunan kejadian atau “agenda kiamat” ini, maka kami membahagikan peristiwa-peristiwa yang bakal terjadi ini keapda tiga bab iaitu :
Bab Pertama : Peristiwa-peristiwa yang akan terjadi sebelum kemunculan Dajjal.
Bab Kedua : Kemunculan Dajjal
Bab Ketiga : Peristiwa-peristiwa yang akan terjadi setelah pembunuhan Dajjal sehingga terjadinya hari kiamat.
Mudah mudahan buku ini dapat memberikan sedikit panduan kepada kita dan semoga mendapat keberkatan dari Allah swt.
الحمدُ للهِ ربِّ العالمين حمدا يُوافيْ نِعَمَهُ ويُكافئُ مزيدَهَ وصلَّى الله على سيدنا محمد وعلى ءاله وصحبه وسلم
Abu Ali Al-Banjari An-Nadawi
(Ahmad fahmi Zamzam)
23 Jamadil Akhir 1418H/25 Oktober 1997
Ma’ahad Tarbiah Islamiah
Derang, Pokok Sena,
06400 Kedah Darul Aman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan