Buat teman-teman, pagi ni saya membaca ayat ini.....surah ali Imran ayat 161
وَمَا كَانَ لِنَبِيٍّ أَن يَغُلَّ وَمَن يَغْلُلْ يَأْتِ بِمَا غَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ثُمَّ تُوَفَّى كُلُّ نَفْسٍ مَّا كَسَبَتْ وَهُمْ لاَ يُظْلَمُونَ
(Maksud ayat : Tidak mungkin seorang nabi berkhianat dalam urusan harta rampasan perang. Barangsiapa yang berkhianat dalam urusan rampasan perang itu, maka pada hari kiamat ia akan datang membawa apa yang dikhianatinya itu, kemudian tiap-tiap diri akan diberi pembalasan tentang apa yang ia kerjakan dengan (pembalasan) setimpal, sedang mereka tidak dianiaya.)
Saya cuba memahami bahawa ayat yang menjelaskkan tentang rampasan perang ialah harta orang ramai, atau juga dimaksud harta kerajaan. Apabila seseorang ketua yang menjadi tunggak kepada masyarakat menguruskan harta awam, maka ia hendaklah menguruskannya dengan cara yang paling teliti.
Sifat amanah yang ada pada Rasulullah saw adalah satu sifat yang terbukti berfungsi dengan aktif apabila berhadapan dengan perkara seperti ini. Terdapat di kalangan umat Islam di zaman baginda telah menuduh baginda tidak adil dalam mengagihkan harta rampasan perang, pada hal bagindalah orang yang paling adil. Rasulullah bertanya kepada orang yang mempertikaikan keadilannya "Siapakah yang paling adil kalau bukan Allah dan Rasul-Nya?!"
Keadilan itu ialah apa yang ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya, bukannya apa yang difikirkan oleh seseorang yang hanya mencakupi dirinya sahaja.
Kepada ketua atau pemimpin yang menguruskan mana-mana sumber kewangan, beringat-ingatlah tentang hal ini, kerana ia suatu urusan yang menyentuh prinsip hidup serta juga menyentuh kepercayaan seseorang kepada pengurusan ketuanya atau pemimpinnya.
Nabi Yusof pernah menyebut bahawa :
قَالَ اجْعَلْنِي عَلَى خَزَآئِنِ الأَرْضِ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ
Berkata Yusuf: "Jadikanlah aku bendaharawan negara (Mesir); sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan".(Surah Yusof ayat 55)
Nabi Yusof menyebutkan bahawa sesiapa sahaja yang ingin mengurus seperti menguruskan kewangan mestilah memiliki ilmu pengetahuan, sebagaimana dalam ayat tadi. Namun begitu, Nabi Yusof as juga mengingatkan kita tentang godaan yang sering menjadi ujian kepada jiwa dan nafsu manusia, firman Allah Ta'ala :
وَمَا أُبَرِّئُ نَفْسِي إِنَّ النَّفْسَ لأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلاَّ مَا رَحِمَ رَبِّيَ إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), karena sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyanyang.(Surah Yusof ayat 53)
Mudah-mudahan setiap yang berfungsi sebagai pengurus sesebuah firman atau syarikat mendapat peringatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan