Khamis, Ogos 31, 2017

MENJAGA PERASAAN ORANG LAIN

Sheikh Abu Bakar bin Salim ialah seorang yang terkenal dengan sikap pemurahnya & suka melayan kepada para tetamu. Setiap hari beliau menyembelih seekor unta untuk menjamu para tetamunya. Suatu hari, datang seorang wanita tua ingin menghadiahkan beberapa cupak gandum kepada beliau.

Apabila wanita tersebut datang ke rumah Sheikh Abu Bakar bin Salim, pembantunya menanyakan apa hajat wanita tersebut. Diberitahukan dia ingin menghadiahkan gandum yang dibawanya. Pembantu tersebut mengatakan;

"Tidakkah engkau tahu bahawa Sheikh Abu Bakar bin Salim hari-hari menyembelih seekor unta dan menyediakan makanan yang banyak untuk para tetamunya? Dan kamu datang dengan beberapa cupak gandum ini sahaja?"

Maka wanita tersebut kecil hati dan pergi. Sheikh Abu Bakar bin Salim yang mendengar, turun dari rumahnya dan berlari memanggil kepada wanita tersebut dan ditanya apa hajatnya. Wanita tersebut memberitahukan hajatnya yang datang ingin memberikan hadiah berupa beberapa cupak gandum.

Maka Sheikh Abu Bakar bin Salim mengambil gandum tersebut, diletakkan di dalam serbannya, kemudian dicium gandum tersebut dan mengucapkan terima kasih serta mendoakan kepada wanita itu di atas pemberian hadiah tersebut. Beliau melakukan seperti itu semata-mata kerana ingin menghargai & menjaga perasaan wanita tersebut, walaupun pada zahirnya ianya sebuah pemberian yang kecil, akan tetapi *menjaga perasaan orang lain adalah amat bernilai disisi ALLAH S.W.T.*

Wanita tersebut pun akhirya gembira dan pulang. Sheikh Abu Bakar bin Salim kemudian menegur pembantunya dengan berkata;

"Kami tidak sampai kepada kedudukan yang kami sampai di sisi ALLAH S.W.T, kecuali dengan menjaga perasaan orang lain"

Menjaga perasaan orang adalah bahagian daripada karomah yang diberikan oleh ALLAH S.W.T kepada hamba yang beriman kepada-Nya.

• Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid
#DarMedia #DarulMurtadza #1438H

Tiada ulasan: