Kisah
perutusan Rasulullah SAW kepada satu kerajaan besar pada zaman Rasulullah SAW
iaitu kerajaan Rom di bawah pemerintahan rajanya bernama Hercules diperincikan
dalam kisah kali ini yang sangat menarik untuk tatapan pembaca sekalian.
Ikutilah
kisah bersejarah ini seterusnya.
Rasulullah
SAW telah memilih Sayyidina Dehya’ al Qalbi sebagai utusan kepada Hercules
(Hercules), Kaisar atau Raja Rom. Pusat pemerintahan kerajaan Rom adalah di
Kostantinopel, Turki. Selain dari Eropah, kerajaan Rom juga menguasai negara
Syam dan Mesir. Rom telah menang terhadap Parsi dalam peperangan besar terakhir
di antara mereka. Dua kerajaan ini adalah dua empayar yang menguasai dunia
ketika itu. Beberapa tahun sebelum itu, Rom telah dikalahkan oleh Parsi.
Selepas kekalahan itu, Hercules telah bernazar akan berjalan kaki untuk
melakukan ibadah haji sekiranya Rom dapat mengalahkan Parsi. Dia berazam akan
berjalan kaki dari Kostantinopel ke Baitul-Maqdis. Setelah Rom menang pada kali
ini, Hercules ingin menunaikan nazarnya.
Ketika
dalam perjalanan ke Baitul-Maqdis, dia bermimpi bahawa kerajaannya akan
dijatuhkan oleh satu kaum yang berkhatan. Sebaik sahaja tiba di Baitul-Maqdis,
dia bertanya kepada para pendeta Baitul-Maqdis siapakah yang berkhatan di
negeri mereka. Para pendeta memberitahu bahawa hanya orang Yahudi yang berkhatan.
Hercules berazam akan menghapuskan seluruh keturunan Yahudi yang berada di
Syam. Sebelum sempat bertindak kepada bangsa Yahudi, Hercules mendapat tahu
bahawa orang Arab juga ada yang berkhatan. Seorang pencuri daripada bangsa Arab
telah ditangkap. Apabila diperiksa tentera Rom mendapati lelaki Arab ini
berkhatan. Mereka segera memberitahu Hercules bahawa orang Arab juga berkhatan.
Hercules minta supaya pencuri itu dibawa kepadanya.
Dia
bertanya kepada pencuri itu, “Siapa kamu?”
Lelaki
itu memberitahu namanya dan dia berbangsa Arab daripada suku Quraisy.
Hercules
bertanya lagi, “Adakah sesuatu yang pelik berlaku di tempat kamu?”
Lelaki
itu memberitahu, “Ada seorang lelaki bernama Muhammad dari kalangan kami telah
mengaku menjadi Nabi.”
Hercules
tidak terkejut kerana sememangnya dia mengetahui bahawa ada Nabi yang akan
diutuskan kerana dia juga seorang yang alim dengan ilmu Kitab Nasrani. Hercules
mahu mengetahui lagi tentang kemunculan Nabi daripada bangsa Arab ini. Dia
telah memerintahkan tenteranya supaya membawa kepadanya orang Arab Quraisy yang
sedang berada di Syam.
Ketika
itu Abu Sufyan dan para peniaga Mekah sedang berada di Syam. Lalu merekalah
yang dibawa bertemu Hercules. Imam Bukhari RA telah merakamkan di dalam Sahih
Bukhari perbualan berikut di antara Hercules dan Abu Sufyan.
Hercules
bertanya kepada rombongan Abu Sufyan, “Siapakah di kalangan kamu yang paling
dekat nasabnya dengan Muhammad?”
Abu
Sufyan menjawab, “Akulah yang paling dekat.”
Nasabnya
bertemu dengan Rasulullah pada datuknya yang kelima. Kaisar memerintahkan
rombongan Quraisy duduk dan Abu Sufyan mengadapnya. Hercules mahu Abu Sufyan
menjawab semua soalannya dengan jujur. Sekiranya Abu Sufyan berbohong Hercules
mahu semua anggota rombongan yang lain memberi jawapan yang benar.
Abu
Sufyan menegaskan, “Demi Allah, sekalipun aku berbohong tiada siapa yang akan
membantah kerana kedudukan aku di kalangan mereka. Tetapi aku seorang pemimpin
Quraisy. Berbohong adalah aib besar apatah lagi di hadapan orang ramai.”
Seterusnya
berlakulah dialog di antara Hercules dan Abu Sufyan.
Hercules:
“Bagaimana nasabnya?”
Abu
Sufyan: “Dia daripada keturunan yang mulia”.
Hercules:
“Apakah ada orang sebelumnya membuat pengakuan yang serupa?
Abu
Sufyan: “Tidak ada.”
Hercules:
“Apakah ada di kalangan datuk-datuknya raja?”
Abu
Sufyan: “Tidak ada.”
Hercules:
“ Apakah pengikutnya dari kalangan pembesar atau daripada kalangan rakyat
jelata?”
Abu
Sufyan: “Bahkan pengikutnya dari kalangan rakyat jelata.”
Hercules:
“Apakah jumlah mereka bertambah atau berkurang?”
Abu
Sufyan: “Jumlah mereka bertambah.”
Hercules:
“ Apakah ada salah seorang dari mereka murtad dari agamany.a kerana benci
kepada agamanya?”
Abu
Sufyan: “Tidak ada.”
Hercules:
“Apakah kamu menuduh dia menipu sebelum dia membawa apa yang dibawanya sekarang
?”
Abu
Sufyan: “Tidak.”
Hercules:
“Apakah dia mengkhianati perjanjian?”
Abu
Sufyan: “Tidak, tetapi sekarang kami sedang dalam tempoh perjanjian dengannya.
Kami tidak tahu kali ini apakah dia akan khianat atau tidak.”
Abu Sufyan
memang mencari-cari peluang untuk memburukkan Rasulullah SAW di depan Hercules
namun tiada peluang melainkan dalam jawapan ini.
Hercules:
“Apakah kamu memeranginya?”
Abu
Sufyan: “Ya, kami memeranginya.”
Hercules:
“Bagaimana kesudahan peperangan kamu dengannya?”
Abu
Sufyan: “Peperangan di antara kami dengan mereka silih berganti, adakala mereka
menang, adakalanya kami menang.”
Hercules:
“Apakah yang dia perintahkan kepada kamu?”
Abu
Sufyan: “Dia memerintahkan kami supaya menyembah Allah SWT yang Esa dan
melarang kami dari mensyirikkan Allah SWT Dia juga memerintahkan kami
meninggalkan apa yang disebut oleh ayah dan datuk kami. Dia juga memerintahkan
kami mendirikan sembahyang, berkata benar, menjauhi maksiat dan menyambungkan
silaturrahim.”
Semua
soalan Hercules kepada Abu Sufyan adalah berdasarkan ciri-ciri Nabi akhir zaman
yang diketahuinya dalam kitab Nasrani. Setelah mendengar keterangan Abu Sufyan,
Hercules
telah membuat kesimpulan berikut. Hercules menitahkan kepada penterjemahnya,
“Katakan kepada Abu Sufyan, aku telah bertanya tentang nasabnya dan kamu
memberitahuku bahawa dia dari keturunan yang mulia. Demikianlah para Rasul
diutuskan dari nasab yang mulia di kalangan kaumnya.”
“Aku
bertanya kamu, apakah ada orang lain yang mengaku sepertinya, kamu kata tidak
ada, kalau ada orang lain yang mengaku sebelumnya nescaya aku akan mengatakan
bahawa dia meniru seseorang sebelumnya.”
“Aku
tanya kamu, adakah dia dari pada keturunan raja, kamu jawab, tidak. Kalau dia
dari keturunan raja nescaya aku akan berkata bahawa dia mahu mengembalikan
pemerintahan ayahnya.”
“Aku
juga bertanya kamu, apakah kamu menuduh dia sebagai penipu sebelum dia membawa
dakwahnya. Kamu jawab, tidak. Kalaulah dia meninggalkan dusta terhadap manusia
tentu dia tak akan mendustakan Allah.”
“Aku
bertanya kamu, apakah golongan pembesar yang mengikutinya atau rakyat jelata.
Kamu kata, rakyat jelata yang mengikutinya. Mereka adalah pengikut para Rasul.”
“Aku
bertanya kamu apakah mereka bertambah atau berkurang. Kamu katakan bahawa
mereka bertambah. Maka begitulah keadaan Iman sehinggalah ia mencapai
kemenangan.”
“Aku
bertanya kamu, apakah ada salah seorang dari mereka murtad dari agamanya kerana
membenci agama itu setelah dia memeluknya. Kamu jawab, tiada. Begitulah Iman
apabila ia telah bertakhta di hati.”
“Aku
bertanya kamu, apakah dia pemah mengkhianati perjanjian. Kamu kata dia tidak
pemah mengkhianati janji. Begitulah akhlak para Rasul, mereka tidak khianat.”
“Aku
bertanya kamu apa yang dia perintahkan pada kamu. Kamu jawab, dia memerintahkan
kamu agar menyembah Allah yang Esa dan tidak mensyirikkan-Nya. Dia juga
memerintahkan kamu mendirikan sembahyang, berkata benar, menjauhi maksiat dan
menyambung silaturrahim.”
Akhirnya
Hercules menyatakan, “Kalaulah benar apa yang kamu nyatakan tadi, pasti dia
akan menguasai tempat aku berdiri ini. Dia pasti akan mendapat kuasa
pemerintahan dan pemerintahannya akan sampai ke tempat ini. Telah ada dalam
pengetahuanku bahawa seorang Nabi akan diutuskan tetapi aku sama sekali tidak
menyangka bahawa dia daripada kalangan kamu. Kalaulah aku sudah meyakininya aku
akan berjalan kepadanya dan kalau aku sudah berada di sisinya aku akan membasuh
kakinya.”
Selepas
sahaja Abu Sufyan keluar dari pertemuan itu dia berkata kepada rombongnnya,
“Demi Allah, isu Muhammad ini sudah menjadi besar malah Hercules pun takut
kepadanya!”
Setelah
memeluk Islam Abu Sufyan pernah berkata, “Sebenarnya ketika itu Islam telah
mula masuk ke dalam hati aku.” Walaupun Abu Sufyan belum mahu masuk Islam lagi
ketika itu
tetapi
rupanya dia sudah terkesan dengan kenyataan Hercules itu.
Selepas
pertemuan inilah Sayyidina Dehya’ pun sampai ke Syam untuk menyampaikan
perutusan Rasulullah SAW kepada Hercules.
Muhammad
yang sedang dipertanyakan oleh Hercules, tiba-tiba muncul dengan mesej ini:
Dengan
nama Allah, Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
“Dari
Muhammad Rasulullah kepada Hercules, Pemerintah Rom. Kesejahteraanlah kepada orang
yang mengikuti petunjuk. Seterusnya daku menyeru kepada kamu dengan seruan
Islam. Terimalah Islam nescaya kamu akan selamat. Allah akan memberikan dua
kali pahala kepada kamu.
Kalau
kamu berpaling maka kamu akan menanggung dosa para petani (kebanyakan rakyat
Rom sebagai petani.) Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang sama di
antara kita bahawa kita tidak menyembah selain Allah dan kita tidak
mensyirikkan-Nya dengan sesuatu dan janganlah sebahagian kita mengambil
sebahagian yang lain sebagai Tuhan selain Allah. Kalau mereka berpaling, maka
katakanlah.
Saksikanlah
bahawa kami adalah orang yang tunduk kepada Islam. ”
Sebaik
sahaja diterjemahkan perutusan ini kepada Hercules, dia benar-benar gementar
apatah lagi dia baru saja berdialog dengan Abu Sufyan. Fikirannya berat dan
perasaannya kacau. Ternyata seluruh ciri kenabian yang diketahuinya ada pada
Rasulullah SAW. Sekarang dia sedang menghadapi perutusan Nabi itu. Hercules
meminta Sayyidina Dehya’ menyampaikan surat itu kepada Safatir yang merupakan
pendeta yang paling alim tentang Injil. Dia bersama Ketua Pendeta dan
sekumpulan pendeta mengiringi Hercules melaksanakan ibadah haji ke
Baitul-Maqdis. Apabila Safatir membaca surat Rasulullah SAW dia juga merasa
gementar. Dia terus bertanya lagi kepada Sayyidina Dehya’ RA segala persoalan
demi memastikan lagi bahawa inilah dia Nabi akhir zaman yang telah dikhabarkan
dalam Injil.
Setelah
itu dia berkata, “Aku tahu ini zaman kedatangan Nabi tetapi aku tak sangka dia
akan diutuskan dari bangsa Arab. Namun aku bersaksi bahawa tiada Tuhan
melainkan Allah dan Muhammad adalah Pesuruh Allah.” Safatir telah masuk Islam
di tangan Sayyidina Dehya’ RA.
Setelah
itu Safatir mengumpulkan semua pendeta yang ikut dalam rombongan itu. Dia
membacakan kepada mereka perutusan dari Rasulullah dan dia menerangkan kepada
mereka tanda-tanda yang ada pada Rasulullah Safatir juga mengingatkan mereka
dengan keterangan daripada Injil yang membenarkannya bahawa Muhammad adalah
Nabi akhir zaman. Setelah itu dia berkata kepada mereka, “Aku menyeru kamu
semua kepada agama Islam dan aku telah bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan
Allah dan Muhammad adalah Pesuruh Allah.”
Para
pendeta tidak menerima seruan Safatir malah mereka khuatir apabila berita
Safatir masuk Islam diketahui oleh orang ramai, mereka akan meninggalkan agama
Kristian. Maka mereka telah membunuh Safatir. Gugurlah Safatir sebagai syahid
demi kebenaran yang disampaikannya kepada para pendeta dibawahnya. Melihat
Safatir dibunuh oleh para pendeta, Hercules berasa takut.
Hercules
memberitahu Sayyidina Dehya’ RA, “Kedudukan Safatir lebih mulia dari kedudukan
aku. Kalaulah mereka tidak mendengar kata-kata Safatir, mereka juga tak akan
mendengar kata-kata aku.”
Namun
selepas itu Hercules telah mengumpulkan para pendeta, para penasihat Kaisar dan
semua pembesar Kristian di istananya. Setelah mereka masuk ke dalam istana,
Hercules memerintahkan tenteranya menutup dan mengawal ketat semua pintu
istana. Setelah itu barulah dia berdiri di atas anjung istana. Lalu Hercules
membacakan kepada mereka perutusan Rasulullah M sambil menyatakan ciri-ciri
seorang Nabi dari Injil yang temyata semuanya ada pada diri Rasulullah SAW
Hercules juga menegaskan bukti-bukti yang membuktikan kebenaran Rasulullah
SAW.
Seterusnya
dia berkata, “Dengan itu aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan
Muhammad adalah Pesuruh Allah. Maka marilah kita semua masuk Islam!”
Keyataan
itu telah mengejutkan semua yang hadir. Mereka sama sekali tidak dapat menerima
seruan Hercules. Semua mahu lari keluar dari istana tetapi semua pintu istana
sudah dikunci dan dikawal ketat oleh tentera. Hercules hanya memerhatikan
mereka dari atas anjung. Oleh kerana tiada peluang untuk keluar mereka kembali
berkumpul dan menyatakan pendirian mereka kepada Hercules.
Mereka
berseru, “Wahai Kaisar! Demi Allah, kami tidak akan meninggalkan agama Kristian
walaupun kamu membunuh kami semua!”
Sesungguhnya
Hercules tersepit di antara dua pilihan. Kalaulah semua pembesar Kristian
menentangnya, dia pasti akan kehilangan takhtanya. Namun sekiranya dia bersama
mereka dia terpaksa menolak kebenaran yang telah diakuinya. Dia mesti membuat
keputusan segera demi menyelamatkan keadaan. Lalu dia berkata, “Sebenarnya aku
tidak masuk Islam tetapi aku hanya mahu menguji kamu. Apabila aku melihat
dakwah Muhammad semakin membesar aku risau terhadap pendirian kamu. Maka aku
mahu menguji dan melihat keteguhan agama kamu.
Apabila
aku dapati kamu semua tetap dengan agama kamu, maka aku juga bersama-sama
dengan kamu.” Alangkah leganya seluruh pembesar Kristian mendengar kenyataan
ini malah mereka merasa gembira. Hercules masih tetap bersama mereka.
Selepas
itu Hercules datang kepada Sayyidina Dehya’ RA. Dia mengirimkan hadiah dan wang
emas kepada Rasulullah SAW Dia berpesan, “Beritahu Rasulullah SAW bahawa aku
telah bersaksi bahawa Tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah Pesuruh
Allah. Namun aku terpaksa mengeluarkan ucapanku tadi demi untuk mempertahankan
takhtaku. Sebenamya Iman telah masuk ke dalam hati aku.” Apabila Sayyidina
Dehya’ RA pulang ke Madinah, dia pun menyampaikan kiriman dan pesanan Hercules
kepada Rasulullah SAW.
Mendengar
semua itu Rasulullah SAW telah bersabda: “Musuh Allah ini telah berbohong, dia
tidak masuk Islam. Dunia telah menguasainya.”
Rasulullah
SAW telah membongkar hakikat sebenar Hercules. Dia bukan seperti Raja Najasyi
kerana dunia telah menguasainya. Lalu Rasulullah SAW memerintahkan supaya semua
wang itu diagih-agihkan kepada fakir miskin. Demikianlah perutusan pertama
Rasulullah telah menggegarkan seorang pemerintah kuasa besar dunia pada waktu
itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan