ORANG DUDUK ATAS KASTURI
Hazrat ‘Abdullah bin ‘Umar r.anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiga macam orang yang tidak ada ketakutan pada hari kiamat yang penuh dengan huru hara dan mereka tidak akan dihisab. Mereka berada di atas timbunan-timbunan kasturi sehinggalah kesemua manusia telah habis dihisab. Pertama, seseorang yang mempelajari al-Quran semata-mata kerana Allah s.a.w dan kemudian mengimami orang ramai dalam solah sedangkan mereka menyukainya. Kedua ialah orang yang mengajak orang lain kepada solah semata-mata kerana Allah s.a.w . Ketiga ialah orang yang berlaku baik antara dirinya dengan tuannya, juga antara dirinya dengan orang bawahannya.” (Hadith riwayat Tabarani)
Keterangan
Kepedihan, kedahsyatan, kengerian, musibah dan kesusahan hari kiamat adalah begitu hebat sekali sehingga tidak ada mana-mana hati orang islam yang kosong daripada perkara ini atau tidak mengetahui tentang perkara ini. Sekiranya kita terlepas daripada segala kerumitan pada hari tersebut kerana sesuatu sebab tertentu maka itu adalah lebih baik daripada ribuan nikmat dan lebih berharga daripada jutaan kegembiraan. Sekiranya seseorang itu bukan sekadar terlepas daripada kerumitan tersebut, malah mendapat kegembiraan dan kenikmatan yang lain lagi maka orang yang sedemikian adalah orang yang benar-benar bertuah. Sementara itu, kebinasaan dan kerugian yang besarlah bagi manusia yang tidak berperasaan, yang mengatakan bahawa mempelajari al-Quran adalah sia-sia, tidak berguna dan membuang masa sahaja.
Dalam kitab Mu’jam Kabir, pada permulaan hadith ini dinukilkan bahawa sahabat Rasulullah s.a.w Hazrat ‘Abdullah bin ‘Amr r.a berkata, “Sekiranya saya tidak mendengar hadith ini daripada Rasulullah s.a.w (beliau mengulangi kata-kata ini sebanyak tujuh kali) maka saya sekali-kali tidak akan meriwayatkan hadith ini.”
PAHLAWAN NERAKA
Suatu hari satu pertempuran telah berlaku di antara pihak Islam dengan pihak Musyrik. Kedua-dua belah pihak berjuang dengan hebat untuk mengalahkan antara satu sama lain. Tiba saat pertempuran itu diberhentikan seketika dan kedua-dua pihak pulang ke markas masing-masing. Di sana Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat telah berkumpul membincangkan tentang pertempuran yang telah berlaku itu. Peristiwa yang baru mereka alami itu masih terbayang-bayang di ruang mata. Dalam perbincangan itu, mereka begitu kagum dengan salah seorang dari sahabat mereka iaitu, Qotzman. Semasa bertempur dengan musuh, dia kelihatan seperti seekor singa yang lapar membaham mangsanya. Dengan keberaniannya itu, dia telah menjadi buah mulut ketika itu.
"Tidak seorang pun di antara kita yang dapat menandingi kehebatan Qotzman," kata salah seorang sahabat. Mendengar perkataan itu, Rasulullah s.a.w. pun menjawab, "Sebenarnya dia itu adalah golongan penduduk neraka." Para sahabat menjadi hairan mendengar jawapan Rasulullah s.a.w. itu. Bagaimana seorang yang telah berjuang dengan begitu gagah menegakkan Islam boleh masuk dalam neraka. Para sahabat berpandangan antara satu sama lain apabila mendengar jawapan Rasulullah s.a.w. itu. Rasulullah s.a.w. sedar para sahabatnya tidak begitu percaya dengan ceritanya, lantas Baginda s.a.w. berkata, "Semasa Qotzman dan Aktsam keluar ke medan perang bersama-sama, Qotzman telah mengalami luka parah akibat ditikam oleh pihak musuh. Badannya dipenuhi dengan darah. Dengan segera Qotzman meletakkan pedangnya ke atas tanah, manakala mata pedang itu pula dihadapkan ke dadanya. Lalu dia terus membenamkan mata pedang itu ke dalam dadanya."
"Dia melakukan perbuatan itu adalah kerana dia tidak tahan menanggung kesakitan akibat dari luka yang dialaminya. Akhirnya dia mati bukan kerana berlawan dengan musuhnya, tetapi membunuh dirinya sendiri. Melihatkan keadaannya yang parah, ramai orang menyangka yang dia akan masuk syurga. Tetapi dia telah menunjukkan dirinya sebagai penduduk neraka." Menurut Rasulullah s.a.w. lagi, sebelum dia mati, Qotzman ada mengatakan, katanya, "Demi Allah aku berperang bukan kerana agama tetapi hanya sekadar menjaga kehormatan kota Madinah supaya tidak dihancurkan oleh kaum Quraisy. Aku berperang hanyalah untuk membela kehormatan kaumku. Kalau tidak kerana itu, aku tidak akan berperang."
Riwayat ini telah dirawikan oleh Luqman Hakim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan