Khamis, Julai 07, 2011

SIFAT KE 16 MUNAFIQ - MENCACI MAKI

Perbuatan mencaci maki atau menyakiti seseorang muslim adalah dilarang dalam Islam kerana boleh menjejaskan nama baik dan maruah orang. Sikap demikian adalah termasuk amalan orang munafiq dan merupakan suatu pembohongan yang besar dan nyata.
Firman Allah subhanahu wata'ala :
والذين يُؤذونَ المؤمنين والمومنات بغيرٍ ما اكتسَبُوا فقدِ احْتَمَلقوا بِهِما وإثما مبينا
(Ertinya : Orang-orang yang menyakiti mukmin lelaki dan mukmin perempuan dengan sesuatu yang tidak dibuatnya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan yang besar dan dosa yang nyata - al Ahzab 58)
Islam adalah agama universal yang sentiasa mementingkan perpaduan, keharmonian dan saling hormat menghormati antara satu sama lain tanpa mengira pangkat, kedudukan dan keturunan. Malah umat Islam hendaklah sentiasa menjagai kehormatan diri dan maruah orang lain agar dapat membentuk budaya hidup masyarakat penyayang dan berakhlak mulia berladaskan iman.
يا أيها الذين ءامنوا لا يسخرْ قوم من قوم عسى أن يكونوا خيرا منهم
(Ertinya : Hai orang-orang beriman, janganlah kamu menghina (mencaci) suatu kaum yang lain kerana boleh jadi kaum yang dihina itu lebih baik dari kaum yang menghina - Al Hujurat - 11)
Rasulullah sollahu alahi wasallam bersabda :
لا ينبغي لصديقٍ أن يكونَ لَعَّانا
(Ertinya : Tidak patut seseorang sahabat baik mengutuk sahabatnya - Muslim dari Abi Hurairah)
Rasulullah sollahu alahi wasallam :
ليسَ المؤمنُ بطعانٍ ولا بِلعَّانٍ ولا بالفاحِشِ ولا بالبَذِيَّ
(Ertinya : Seorang mukmin bukanlah orang yang suka mencaci, bukan suka menghina, bukan yang suka berbuat keji dan bukan orang suka bercakap keji - Muslim)
Dalam Islam setiap muslim itu bersaudara terhadap sesama muslim yang lain dan tidak menghina atau menganiaya. Jika seseorang itu menghina, mengutuk atau mengeji, maka dianggap berlaku jahat sesama muslim.
Perbuatan mencaci maki sesama muslim amat didbenci dan mendatangkan kemurkaan Allah subhanu wata'ala.
Rasulullah sollahu alahi wasallam :
سابُ المُسلم فسُوقُ وقتالُهُ كُفرٌ
(Ertinya : Mencaci orang Islam itu termasuk kerja fasiq dan membunuhnya termasuk kafir)
Rasulullah sollahu alahi wasallam :
لَعْنُ المُؤمنِ كَقَتْلِهِ
(Ertinya ; Mengutuk seseorang muslim itu seperti membunuhnya)
Rasulullah sollahu alahi wasallam :
لا يدخلُ الجنةَ مَنْ لا يَأْمَنُ جارَهُ بِوائِقِهِ
(Ertinya : Tidak masuk syurga orang yang tetangganya tidak merasa aman dari gangguannya (menyakiti)

Tiada ulasan: