Makalah 1
Ciri-ciri
Guru Berkesan
Konsep sekolah berkesan yang
diperkenalkan dalam sistem pendidikan adalah bermatlamat untuk membawa
sistem pendidikan ke arah kecemerlangan.
Seiring dengan slogan “Pendidikan Bertaraf dunia” konsep sekolah berkesan menuntut
warga pendidik khususnya untuk mencapai tahap kualiti yang tinggi dalam
pendidikan. Dato' Dr. Abdul Shukor Abdullah(1995) telah menyenaraikan 17 ciri
guru yang berkesan, namun berdasarkan pengalaman 30 tahun sebagai seorang guru,
saya merumuskan 5 ciri utama guru berkesan dalam bilik darjah.
1. Berilmu Pengetahuan
Guru berkesan adalah mereka
yang menguasai pengetahuan dan kemahiran
untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Sentiasa berusaha
menambah ilmu pengetahuan samada melalui pembacaan buku atau media elekronik,
mengikuti kursus, bengkel dan seminar. Pengetahuan berkaitan penggunaan
teknologi ICT dalam pengajaran juga penting kerana ini akan memberi dampak yang
positif kepada minat pelajar. Membuat penilaian juga memerlukan pengetahuan dan
kemahiran kerana dengan penilaian telus dan sistematik akan membantu guru
memberi nilai tambah dalam pengajarannya.
2. Kreatif
Guru yang kreatif akan
sentiasa mencari idea baru dan menarik dalam kaedah dan teknik pengajarannya
serta menghasilkan Bahan Bantu Mengajar yang berkesan. Selain itu, sentiasa
menyesuaikan bentuk pengajarannya dengan pelajar yang berbeza minat dan tahap
kebolehan. Dengan ini, pelajar berasa
seronok, bertambah minat, faham, menghayati bahan yang diajar, meningkatkan
kemahiran dan aspek kognitif pelajar serta dapat melakukan aktiviti yang
berkaitan dengan pembelajaran yang telah dijalani.
3. Komunikasi Berkesan
Kemahiran berkomunikasi
adalah kebolehan menyampaikan isi pelajaran dengan jelas dan menarik agar mudah
difahami pelajar. Selain itu cara guru berkomunikasi dengan pelajar hendaklah
menggunakan stail komunikasi menyokong yakni dengan menjadi pendengar yang
baik, memahami , menghargai dan tidak melukakan perasaan pelajar. Sikap guru
yang pandai menjaga hati pelajar mereka seperti kerap menegur sapa, berbual-bual,
dan mudah dibawa berbincang akan memberi keyakinan pada pelajar untuk bertanya
dan mengemukakan masalah yang dihadapi, dengan ini pengajaran akan lebih
berkesan. Interaksi dua hala yang wujud akibat berkomunikasi yang baik ilihat
sebagai satu medium yang penting kea rah pembelajaran berkesan .
4. Dedikasi
Guru yang dedikasi sentiasa
ikhlas dan sabar ketika mengajar terutamanya kepada murid-murid yang lemah
tanpa mengabaikan pelajar yang cerdas. Seorang yang berdedikasi tidak kedekut ilmu, tidak terlalu serius dan
boleh menyelitkan unsur-unsur humor dalam pengajarannya. Guru yang dedikasi
juga adalah guru yang tidak kedekut dan berkira dalam pekerjaannya misalnya
membeli dan menyediakan BBM, mengadakan hiasan kelas seperti bunga, alas meja
dan langsir, menyediakan suasana pembelajaran yg sesuai, menarik dan selesa
dalam bilik darjah. Kelas yang kondusif akan menyeronokkan pelajar. Keadaan itu
akan memudahkan guru melaksanakan pengajaran .
5. Kasih sayang
Perbuatan, tuturkata dan
tingkahlaku guru yang menggambarkan sifat kasih sayang dapat membantu guru melaksanakan tugas dengan gembira dan berkesan. Guru yang tidak pilih
kasih, prihatin terhadap anak-anak muridnya sebagai seseorang manusia, dan
turut mengambil berat tentang masa depan mereka akan memberikan kesan yang
mendalam di jiwa pelajar. Pelajar yang terasa di sayangi akan dapat menumpuhkan
perhatian dalam pembelajarannya. Kasih saying juga penting bagi perkembangan
sahsiah dan emosi pelajar.
Salah satu strategi untuk
melahirkan guru yang berkualiti ialah dengan meningkatkan keberkesanan proses
pembelajaran. Bilik darjah adalah medan perjuangan utama kepada kerjaya seorang
guru. Di bilik inilah mereka menunjukkan kebolehan dan keupayaan melaksanakan
tugas pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, adalah penting seorang guru
mengurus bilik darjahnya dengan baik bagi membolehkan pelajar mengikuti
pengajaran guru dengan mudah dan berkesan. Guru yang berkesan adalah adalah
tonggak kecemerlangan sistem pendidikan
sebagaimana hasrat Falsafah
pendidikan Kebangsaan selaras
kehendak masyarakat dan Negara.
📚📚📚📚📚📚📚📚📚📚📚
Makalah Ke 2
Menjadi
guru yang berkesan
Pelajar menengah mungkin
inginkan guru yang `handsome', `cun', kemas, pandai mengajar, tidak kedekut
markah, tidak cerewet...
Ibu bapa pula mungkin
mengharapkan guru yang penyayang, pandai mengajar, banyak ilmu, pandai bergaul
dengan ahli masyarakat, berakhlak mulia, rajin ke surau, rajin ke masjid...
Sebenarnya, guru bukan
seorang tetapi bermacam-macam orang. Pastinya bermacam-macam ragam!
Pengajaran pula bermaksud
memberi arahan, memberitahu atau menjelaskan.
Dengan perkataan lain, guru
dan pengajaran merupakan bidang kerjaya yang penting tetapi penuh cabaran.
Pengajaran memerlukan banyak
usaha. Namun, ia mungkin memudaratkan guru dan pengajarannya apabila
dilaksanakan dengan cara yang salah.
Seorang yang bekerja sebagai
guru pastinya menerima banyak anugerah mental dan spiritual lantaran `mulia'nya
tugas sebagai guru.
Walau bagaimanapun, tugas
untuk mencungkil dan membina bakat seseorang menerusi pengajaran ini bukan
mudah.
Di Malaysia, guru dikehendaki
bertugas menurut ukuran (standard) yang ditentukan oleh Kementerian Pendidikan,
walaupun ukuran yang terbaik ialah ukuran yang digembleng sendiri.
Menurut ukuran yang ideal,
seorang guru adalah contoh kepada anak didik. Namun guru tidak terhindar
daripada melakukan kesilapan lantaran guru adalah manusia biasa!
Guru perlu bersikap objektif,
iaitu lurus dan tepat. Walau bagaimanapun, hubungan guru dengan anak didik yang
`terlalu rapat' akan menyulitkan sikap objektif itu.
Ada kemungkinan si anak didik
akan `memijak kepala' guru berkenaan.
Pengajaran begitu luas
cakupannya dan sangat berkait rapat dengan orang. Ia kerap berubah dan
penyelesaian terakhir mustahil dapat ditemui.
Aspek-aspek penting dalam
situasi pengajaran-pembelajaran, dihasilkan oleh sebab-sebab terdekat dalam
proses berkenaan.
Dengan yang demikian, kita
mungkin tidak mengetahui apa yang akan terjadi dan bagaimana mengawalnya.
Namun, pengajaran masih mempunyai erti, tujuan dan reka bentuk.
Pengajaran, sebagaimana yang
kita maklumi, merupakan suatu cara membimbing anak-anak didik untuk memperoleh
sejumlah pengalaman bermutu dalam usaha mengembangkan bakat dan kebolehan
mereka sebagai insan yang kamil.
Guru perlu mengetahui banyak
perkara. Dia mesti mengetahui hakikat bahawa dia ada tanggungjawab, iaitu untuk
mengajar subjek kepakarannya. Ini demikian, kerana pengajaran adalah suatu
sains dan seni.
Guru mesti mempunyai
pengetahuan tentang beberapa subjek yang berkait dengan subjek kepakarannya.
Dia mesti mempelajari psikologi manusia, dan memahami susunan sosial tempat
berlakunya proses pendidikan.
Namun demikian, guru yang
mengetahui semua perkara pun tidak terlepas daripada menghadapi masalah di
dalam bilik darjah.
Tanggapan ini ada benarnya
kerana pengajaran dalam persembahan sebenar, merupakan suatu seni yang
mengutamakan perseimbangan antara banyak faktor, iaitu pengetahuan, ketrampilan
dan mutu peribadi.
Anak didik tidak selalunya
belajar daripada pengajaran guru. Ia bergantung kepada beberapa syarat, yang
seandainya dipenuhi, seseorang anak didik dapat belajar dengan sewajarnya.
Antaranya, motivasi dan
kesediaan anak didik untuk belajar, tahap perkembangan emosi dan minda,
hubungannya dengan guru, keupayaan belajar makna perkataan, dan kemahiran guru
mengongsi ilmu dan pengalaman.
Seterusnya, bagaimanakah
seseorang guru menjadikan sesuatu pengajaran yang sukar menjadi mudah?
Pertama
Beri contoh. Kaitkan perkara
yang akan diajar kepada sesuatu yang diketahui anak didik, dan pada masa yang
sama, memberikan mereka pengalaman.
Kedua
Sebutkan perkara yang diajar
dalam bahasa atau istilah yang mudah. Jelaskan masalah yang timbul dalam
jangkaan pengalaman dan kefahaman anak didik.
Ketiga
Bahagikan masalah ke
bahagian-bahagian yang mudah.
Keempat, cantumkan
bahagian-bahagian bermasalah supaya keseluruhannya mudah difaham, dan supaya
seluruh masalah merentasi kesemua bahagian yang bermasalah.
Kelima
Tanya soalan-soalan yang
sesuai supaya perkara yang dipelajari mudah difahami.
Keenam, berikan reaksi
terhadap soalan yang menyatakan minat dan tumpuan anak didik. Pengajaran
mungkin lebih berkesan sekiranya ia dilakukan sebagai hasil daripada soalan-soalan
anak didik.
Ketujuh
Dengari anak didik menyatakan
kesukarannya dalam pembelajaran, sama ada kepada guru atau kepada dirinya
sendiri.
Kelapan,
Timbulkan keyakinan. Ulang
proses yang diajar kepada anak didik sehingga meyakinkannya.
Kesembilan,
Erikan pelbagai pendapat.
Lihat perkara yang akan diajar daripada pelbagai sudut, dan lihat masalah
daripada pelbagai kemungkinan.
Kesepuluh,
Sediakan pelbagai pengalaman
atau pembelajaran yang berkait dengan perkara yang dipelajari.
Kesebelas,
Tukar kaedah penjelasan
bersesuaian dengan keupayaan dan tahap perkembangan pembelajaran anak didik dan
kaitkan pembelajaran baharu kepada perkara yang telah diketahui.
Kedua
belas,
Timbulkan suasana
pembelajaran yang bererti, kondusif dan menyeronokkan menerusi pengajaran yang
hidup, riang dan memberansangkan.
Sebagai kesimpulan, dalam
proses pengajaran dan pembelajaran, seorang guru adalah segala-galanya.
Guru bukan seorang guru
semata-mata tetapi dia juga laksana seorang pemandu, kaunselor, pencipta,
pemberi teladan, pekerja rutin, pendakwah, pemantau dan penerima kenyataan.
Guru juga laksana pencetus
wawasan, pendengar, penasihat, penilai, pelakon, penghibur, dan malah 1001
macam watak yang sentiasa berubah demi keberkesanan pengajaran dan pembelajaran
anak-anak didik
Tiada ulasan:
Catat Ulasan