Halaman

Sabtu, Oktober 08, 2011

TASAUF MODEN DI MASJID KOTA DAMANSARA 8/10/2011

Salam buat semua teman-teman yang sudi membaca semua article dalam blog saya ini. Buat kali ini saya akan salinkan satu tajuk dari Tasauf Moden yang telah saya bentangkan di Masjid Kota Damansara pagi tadi dalam Kuliah Subuh : (Teks ini boleh didapati dalam internet)

"Tiap-tiap sesuatu di dalam alam ini ada batas perjalanannya. Tetapi akal tidak terbatas, adapun manusia bertingkat-tingkat di dalam darjat akalnya, laksana darjat wangi dari tiap-tiap bunga.

Dari sabda Nabi itu, dapat kita ambil kesimpulan bahawa darjat bahagia manusia itu menurut darjat akalnya, kerana akallah yang dapat membezakan antara baik dengan buruk, akal yang dapat mengagak-agihkan segala pekerjaan, akal yang menyelidik hakikat dan kejadian segala sesuatu yang dituju dalam perjalanan hidup dunia ini. Bertambah sempurna, bertambah indah dan murni akal itu, bertambah pulalah tinggi darjat bahagia yang kita capai, sebab itu menurut kehendak hadis tadi kepada kesempurnaan akallah kesempurnaan bahagia.

Akal manusia bertingkat, kehendak manusia berbeza-beza menurut tingkat akal masing-masing. Setengah manusia sangat cinta kepada kehormatan dan kemuliaan, sehingga simpang perjalanan dan segala ikhtiar dipergunakannya untuk sampai ke situ. Ia mahu berkorban, mahu menempuh kesusahan dan kesakitan asal ia boleh encapai kemuliaan dan kehormatan. Pada hal setengah golongan tidak peduli semua itu. Buat dia, asal dapat mencapai hidup, tak mengganggu orang lain, cukuplah. Apa guna menghabiskan tenaga untuk mencapai kemuliaan dan kehormatan yang bagaikan mimpi itu.

Harta benda dunia, sebagian besar manusia berusaha mencari, bersusah payah, menghabiskan tenaga, tidak peduli hujan-panas, haus lapar, kadang-kadang berhilang-hilang negeri, meninggalkan kampung, anak isteri dan handai taulan. Padahal ada pula golongan yang tidak peduli akan harta benda itu, asal hatinya tenteram di dalam khalwat mengingat Tuhannya, sebagaimana kebiasaan ahli-ahli zuhud dan sufi yang masyhur, asal lekat pakaian untuk penutup aurat, dapat sesuap pagi dan petang, cukuplah. Dia juga ignin kekayaan, tetapi kakayaan jiwa. Dia ingin juga kemuliaan, tetapi kemuliaan yang lebih kekal dari harta.

Ada orang lupa siang, lupa malam, lupa kampung dan lupa negeri hanya untuk mencari pangkat, mencari tepuk kuduk (sanjungan), mencari pujian, mencari beberapa keping emas, perak dan tembaga yang akan dideretkan di atas dadanya, yang tergadai, teragun harta benda pusaka nenek moyangnya. Padahal ada pula golongan yang tidak lekat di hatinya segala perhiasan yang tak kekal itu, kerana dipandangnya bahawa segala barang-barang perhiasan dada itu, tak lebih harganya dengan permainan kuda-kuda dan puput anak-anak.

Ada orang yang di mana-mana ingin menonjolkan diri seperti 'ayam putih', di gelanggang. Ingin, terus di muka saja hendaknya, jangan sampai ketinggalan. Padahal ada pula orang yang benci pada segala yang ramai, berniat hendak memisahkan dirinya ke tempat sunyi, supaya tidak bergaul dengan manusia yang ramai ini, yang diikat oleh beberapa kewajipan, yang memenatkan diri. Di tempat sunyi dia bebas mengingat Rabbul Izzati semata-mata.

Segala perbezaan dan perubahan tingkatan pandangan hidup manusia itu, timbul kerana perbezaan tingkatan pendapat akal. Berlainan pendapat kerana berlainan pengetahuan, pendidikan dan berbeza pula bumi tempat tegak. Jika akal itu telah tinggi kerana tinggi pengetahuan (ilmu) dipatrikan oleh ketinggian pengalaman, bertambahlah tinggi darjat orang yang mempunyainya. Kerana sesungguhnya segala sesuatu yang ada dalam alam ini, hakikatnya sama saja, yang berubah adalah pendapat orang yang menyelidikinya. Maka kepandaian manusia menyelidiki itulah yang menjadi pangkal bahagia atau celakanya.

Bertambah luas akal, bertambah luaslah hidup, bertambah datanglah bahagia. Bertambah sempit akal, bertambah sempit pula hidup, bertambah datanglah celaka.

Oleh agama perjalanan bahagia itu telah diberi berakhir. Puncaknya yang penghabisan ialah kenal pada Tuhan, baik makrifat kepadaNya, baik taat kepadaNya dan sabar atas musibahNya. Tidak ada lagi hidup di ata itu!

Kuliah bersambung ke bulan depan Insya Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan