Ahad, Julai 27, 2008

HUKUM GAMBAR & PATUNG



Assalamualaikum

Semasa saya ke Surau SPPK Segambut, salah seorang jemaah telah bertanya tentang masalah patung yang dijadikan perhiasan dalam rumah : Insya ALLAH beberapa hadis di bawah ini, dapat menjelaskannya.


Diriwayatkan daripada Aisyah Radiallahuanha berkata yang maksudnya:
"Sewaktu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam (tiba di rumah) daripada suatu pelayaran, pada ketika itu aku telah memasang tabir pada pintuku tabir bulu yang ada padanya gambar kuda yang mempunyai beberapa sayap, maka Baginda memerintahkanku (agar aku menanggalkannya) lalu aku pun menanggalkannya (daripada pintu itu)." (Hadis riwayat Muslim).


b. Jika diletakkan di tempat yang menghinakannya seperti digunakan sebagai hamparan yang dipijak-pijak atau menjadi hina dengan penggunaannya seperti bantal, sandaran (penyandar), matawang yang menjadi pertukaran di dalam jual beli dan yang seumpamanya hukumnya adalah harus. (Lihat Nihayah Al-Muhtaj 6/379).


Diriwayatkan daripada Aisyah Radiallahuanha berkata yang maksudnya:
"Sewaktu Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam (tiba di rumah) daripada suatu pelayaran; aku telah memasang tabir rak tempat penaruhan barang-barang dengan tabir nipis yang ada padanya gambar-gambar (lukisan-lukisan yang bernyawa). Maka apabila saja Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melihatnya, Ba- ginda menanggalkannya lalu bersabda: "Manusia yang paling berat seksaannya pada Hari Kiamat ialah mereka yang menjadikan sesuatu yang menyamai/menyerupai dengan makhluk Allah." Aisyah berkata (ekoran daripada peristiwa itu: "Maka kami jadikan (kain tersebut) untuk dijadikan sebiji bantal atau dua biji bantal." (Hadis riwayat Bukhari).


Dalam perkara ini juga, Imam An-Nawawi ada berkata di dalam Kitab Syarah Sohih Muslim: "Adapun penggunaan lukisan binatang, maka jika lukisan itu digantungkan di dinding atau lukisan itu pada pakaian yang dipakai atau serban dan seumpamanya yang tidak dianggap hina maka ia adalah haram. Jika ia terletak di hamparan yang dipijak, di bantal tidur, di kusyen sandar dan seumpamanya yang dianggap hina, maka tidaklah ia haram. Akan tetapi adakah (perkara yang sedemikian) itu menegah Malaikat Rahmat masuk ke rumah itu? Dalam perkara ini terdapat pembahasan yang akan kami sebutkan insya-Allah. Tidak ada perbezaan dalam perkara ini semuanya di antara lukisan yang mempunyai bayang (patung) atau yang tidak mempunyai bayang (lukisan, tenunan, lakaran, ukiran dan sebagainya).


Ini adalah ringkasan mazhab kita (Asy-Syafi’e) dalam masalah ini. Inilah juga pendapat jumhur ulama daripada kalangan para sahabat, tabi’in dan orang-orang yang sesudah mereka, iaitu mazhab Ats-Tsauri, Malik, Abu Hanifah dan selain daripada mereka." (Lihat Syarh Shahih Muslim 734).
Wallahu 'alam.

Rabu, Julai 23, 2008

Lagi2 Pengalaman Ilmu.....

Makalah inipun juga makalah yang saya ambil dari website lama saya.....

Salam sejahtera kepada semua .....Pengalaman ilmu saya untuk kali ini masih lagi di Syria. Sewaktu saya menjelajah aleppo bersama Ibrahim Patani, kami sampai di satu bandar agak-agak dalam 60 hingga 70 KM dari bandar Halab (Aleppo) pada waktu malam. Tiada tempat lain untuk kami bermalam melainkan di Masjid, ketika itu musim sejuk, jadi susahlah nak tidur tanpa pemanas dan selimut tebal, nanti berlipat tubuh kesejukan.Semasa bersolat isya' ramai jemaah masjid yang berkenalan dengan kami, malah ada yang bertanya kamu ini Islam ke ? Soalan yang paling saya benci, malah ketika di Jordanpun begitu juga keadaannya, kami keluar dari masjid dan mereka tahu kita solat tadi, ditanyanya juga "you muslim?", tak retilah apa sebenarnya apa sebab merek terkejut.Sedang kami berehat sambil bersandar di dinding masjid, datanglah seorang lelaki arab, mungkin dia tok siak masjid sambil memegang satu mashaf al Quran. Kata lelaki arab "iqra"!, dia suruh saya baca quran. Dalam hati saya "dia ni tak percaya ke aku ni Islam!". Saya baca beberapa ayat dari surah al Baqoroh, kemudian ibrahim pulak, becaan Ibrahim lagi sedap bacaannya, kerana dia memang boleh ngaji berlagu. Tergamam arab tu dengar, dah tu saya hulurkan quran itu kepada lelaki arab itu pula sambil saya kata "wan anta iqra" (awaklah pulak baca), bila dia mula baca, kami nak tergelak sebab bacaannya salah, baris atas dibaca ke bawah, baris depan dimatikannya .....Dengan peristiwa itu, tahulah kita bahawa bukannya ilmu itu diperolehi kerana kita dapat cakap arab, atau kita orang arab, tetapi nak kena belajar, nak kena mengadap kitab dengan tok guru, barulah dapat ilmu dan berguna untuk hidup.Pada malam itu, kami tidak bermalam di masjid tersebut, tetapi bermalam di rumah salah seorang jemaah masjid yang dari tadi memperhatikan kami, dia ajak ke rumah dia, umpama orang mengantuk disorongkan bantal, kami terus saja setuju. Memang arab syria terlalu memuliakan tetamu, itu adat mereka sejak zaman nabi-nabi dulu lagi, kami rasa macam raja berada di rumah beliau. Dahlah tu dapatlah pulak makan nasi dan daging kambing yang gebu2, makan pagipun sama juga, semacam je kami bedalnya....memang perut ni dah lapar sangat.Keesokkan harinya tuan rumah menghantar kami ke stesen bas terdekat dan menjelaskan bas mana yang perlu kami naik untuk balik ke Damascus. Satu malam di rumah beliau cukup memberikan seribu kenangan justeru kemesraan yang diberikan. Rasulullah pernah bersabda, 3 perkara jika tiada di sesebuah rumah orang islam, maka tiada keberkatan dan tiada kerahmatan terhadap rumah tersebut, 1) jika ada anak derhaka (2) rumah yang tidak dibacakan al quran di dalamnya dan (3) rumah yang tidak pernah menerima tetamu. Semoga mendapat pengajaran dan peringatan. Sekian, terima kasih

KISAH MENDAFTAR DI MARKAZ BAHASA DI MUHAJIRIN

Makalah ini saya transferkan dari website saya yang lama untuk renungan bersama....nak belajar kenalah bersungguh-sungguh, jangan sekerat jalan. Mungkin pengalaman ini boleh memenuhi penulisan buku sahabat-sahabat ISIJ.

Selamat bertemu kembali......, siri kali ini masih di Syria. Selama 6 hingga 7 bulan saya belajar di Ma'had Aminiah, saya dah tak tahan dengan suasananya. Selalu sangat bergaduh dengan pelajar-pelajar negro dari Afrika. Pelajar-pelajar negro memang amat kurang akhlaknya, selalu sangat mencuri. Tapi pengalaman dengan mereka memang menyiksakan ..... akhirnya tidak mampu hadapi keadaan ini, maka saya keluar dari Ma'had Aminiah.
Tempat saya seterusnya ialah di Pusat Bahasa di Muhajirin(muhajirin ni saya tak berapa pasti betul atau tidak, kalau ada rakan2 syria yang membacanya sila betulakan), rasanya namanya dah betul, banyak sangat tempat-tempat di Damascus saya tak ingat. Untuk masuk ke PUsat Bahasa tidak semudah disangka. Untuk masuk ke pusat bahasa ini, saya terpaksa mendapat tandatangan dan persetujuan dari Parti Sosialis Syria, yang menjadi masalahnya nak masuk pagarnyapun tak tentu dapat, jaganya mintak macam-macam. Seingat-ingat saya, hampir 50 kali saya ke pejabat parti sosialis, tapi tak pernah dapat masuk.Akhirnya ada sahabat yang beri cadangan ....hasil cadangan itu, saya ke Solihiyyah tempat jualan baju yang agak standard di Damascus. Saya beli baju kot sepasang, tai dan sebuah beg. Masa nak ke pejabat parti sosialis, saya pakai kot dan kenakan tainya dan pegang beg, bergaya sakanlah hari tu, rasa macam pegawai pulak.Sampai dipintu pagar, saya hulur passport malaysia yang memang bewarna merah. Tanya jaga tu "Anta min safarah? (Awak dari kedutaan?), saya tak jawab cuma angguk saje ..... tak disangka-sangka dibenarkan saya naik, sukanya hati ALLAH saje yang tahu. Saya berjaya jumpa pegawai terlibat dan mendapatkan muqafaqohnya (Persetujuannya), jadi tamatlah usaha saya selama berpuluh-puluh hari dengan satu kejayaan, hanya sekadar untuk masuk ke Pusat Bahasa Arab yang berbayar, bukan free.Itulah keadaan di Syria ketika itu, kata orang sebelum inipun memang keadaan lebih teruk, sekarang iaitu tahun 1988 dah dikira elok. Kata orang tak boleh simpan janggut dan tidak boleh pakai tudung....itu sekita tahun 1982... bukan tahun 1988.Tapi keadaan Syria agak tertutup, nak cari beraspun payah, kalau adapun yang seludup, ramai teman-teman ke sempadan Syria Turki untuk membeli beras, jauh sungguh, sehari naik keretapi. Untuk jimatkan beras, kami campur dengan satu bahan yang dinamakan "burghul", hampas gandum untuk makanan merpati, kami campurkan dengan beras agar jadi banyak, bila dah makan, bunyi "angin"pun berdentum-dentumlah. Itulah cara makan di Damascus.Saya hanya bertahan sehingga bulan september 1988 sahaja......lepas tu saya kembali berpindah ke Jordan. Bukan kerana keadaan yang parah di Damascus, tapi kerana nasihat dari sahabat yang sampai sekarang ini saya saya rasa terhutang budi pada beliau.......Semasa saya ke Jordan untuk habiskan cuti, saya menginap di rumah Dr Akram Laldin, ahli rumah yang lain ialah Nabil Iskandar, Syafie (Indonesia - sekarang penasihat Bank Islam di Indonesia), dan beberapa orang lagi.....Kata Akram "anta ni nak belajar kat mana, sekali syria sekali jordan, ana bimbang anta tak habis belajar...tetapkanlah kat mana anta nak belajar!" saya rasa nasihat inilah yang menyebabkan saya terus duduk di Jordan, meneruskan kembali "Markaz Bahasa" saya di Univeristi Jordan di Fakulti Bahasa.Saya sampai hingga ke level 4 di PUsat Bahasa Uni Of Jordan, level yang paling atas dah tak ada. Maknanya saya dah sedia untuk masuk ke Fakulti penuh. Sayapun daftarkan nama di Fakulti Syariah, Uni Of Jordan...dan memang dah naik namanya...tapi sayangnya Jordan telah menaikkan yuran di semua universitinya. Saya tak mampu. ...... ape jadi lepas itu, saya balik Malaysia...frust jugak, agaknya pelajar saya terhenti di sini ke ? nanti saya akan beritahu dalam keluaran yang lain....... terima kasih kerana menungguh

Khamis, Julai 17, 2008

ISTIQAMAH DALAM BELAJAR

Assalamualaikum buat teman-teman yang pernah dan akan membaca blog saya ini,Buat siri kali ini, saya akan berkongsi pula dengan teman-teman mengenai zaman pengajian saya di Syria dan Jordan.Lebih kurang tajuknya ialah "Istiqomah Dalam Belajar".Sewaktu saya di Amman, Jordan dan sempat masuk ke Markaz Bahasa di Fakulty of Arts, University of Jordan, saya memasang cita-cita untuk ke Syria untuk belajar Bahasa Arab. Cita-cita saya ini sebenarnya ada sebelum saya ke Jordan lagi. Tetapi oleh kerana kawan rapat saya Mohd Yong kata Syria ni tak aman, banyak peperangan dan lain-lain lagi, sayapun batalkan niat saya itu.Tetapi niat itu datang semula bila dah sampai Jordan. Tambah2 pulak Ust Yusof Daud (Sekarang YDP Pas Titiwangsa) memberitahu tentang kelebihan belajar bahasa Arab di sana.Maka pada awal tahun 1988, saya telah ke Syria bersama rakan-rakan saya Roslan, Harun, Wan Abd Aziz. Saya mendaftar di Markaz Lughah di Muhajirin (telah diceritakan dlm keluaran yg lalu).Tetapi semasa saya belajar di Syria, saya kerap berulang alik ke Jordan, sebenarnya hati saya lebih terpikat dengan Jordan bukan di Syria, bila buat perbandingan minat saya dengan Syria dah kurang. Tetapi oleh kerana Syria belanja amat murah, maka saya cuba mengurangkan bebanan keluarga yang bersusah payah hantar duit belanja.Semasa kali ke 4 saya berulang alik ini, yang memang menghabiskan duit, memang saya tak banya fikir sangat masa tu, saya dinasihati oleh Dr Akram Lal Din (skrg pensyarah UIAM) untuk buat pendirian dimana saya ingat belajar.Nasihat beliau inilah yang menyebabkan saya buat keputusan untuk menyambung belajar di Jordan. Nasihatlah inilah yang menjadi punca kejayaan saya sekarang ini. Saya berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda saya daripada titik tolak itu. Semua takdir ALLAH yang menentukan, kita manusia berusaha. Usaha saya ketika itu ialah mendengar nasihat, dan ALLAH jadikan hati saya berpegang dengan nasihat itu.Saya memang amat berterima kasih dengan sahabat lama saya ini Dr Akram. Beliau dah meneroka bidang ilmu terlalu jauh, sedangkan saya baru berada di ambang pintu. Walaupun umur dah agak bertambah, namun saya tetap memegang nasihat itu.Sekarang saya dah sem ke 5 di UM bidang Pendidikan Islam untuk mendapat MA Pendidikan Islam. Tinggal Laporan Penyelidikan saja, dan saya sedang berusaha menyudahkannya bulan Jun in Insya ALLAH.Oleh itu nasihat saya, supaya semua rakan-rakan mengambil pengajaran terhadap kisah saya ini, semoga memberi manafaat kepada kita bersama Insya ALLAH.Sekianlah sahaja kali ini.

Rabu, Julai 16, 2008

DEBAT dalam sejarah....

Salam sejahtera buat semua rakan-rakan
Seronok dengan debat semalam, kerana ia adalah debat pertama dalam sejarah. Kredebiliti dan ketrampilan serta ketokohan dapat dilihat menerusi tokoh-tokoh yang di atas pentas. Isu perdebatan iaitu "minyak" juga amat sesuai dengan suasana sekarang. Jawap menjawappun adalah maklumat-maklumat secara life dapat dianalisa oleh semua penonton dan pendengar. Terlalu lama rakyat malaysia menunggu program life seperti ini. Mendengar sendiri dari mulut tokoh-tokoh yang terlibat secara langsung dengan politik tanah air. Semua hamba rakyat dapat memilih hujjah siapa yang kemas dan munasabah, serta juga dapat menilai kebenaran cakap masing-masing. Hentakkan dan asakkan yang berlangsung merupakan suatu proses penghujjahan yang disaksikan oleh semua hamba rakyat. Hari ini, adalah hari selepas perdebatan. Banyak kedai yang kehabisan surat khabar jualannya di awal pagi lagi. Ini menunjukkan kebanyakkan hamba rakyat berminat dengan isu ini. Kadang tu rasa macam isu debat ini boleh menggantikan perlawanan bola sepak.
Menyentuh tentang isu yang didebatkan, rasanya perlu kita lihat juga latar belakang kedua-dua tokoh ini. Seorang mantan Menteri Kewangan, juga bekas Timbalan Perdana Menteri, juga pernah menjawat jawatan Menteri Pelajaran. Manakala tokoh yang sebelah adalah tokoh yang baru dikenali di arena politik berbanding dengan tokoh yang tadi, baru menjawat jawatan Menteri Penerangan dan menjadi ADUN untuk kali kedua pilihanraya, iaitu PRU11 dan PRU12. Titik persamaan agaknya boleh ditemui pada sejarah kedua-dua tokoh ini, kalau tak silap saya (sila betulkan kalau salah), kedua-dua tokoh ini pernah berada dalam ABIM satu ketika dulu. Setakat mana maklumat ini mempengaruhi penghujjahan masing-masing tentu sekali segelintir sahaja yang dapat mengesannya.
Saya menilai kredibiliti kedua-dua tokoh ini sebagaimana banyak orang menilainya, juga turut dinilai oleh akhbar-akhbar. Saya melihat ketokohan mantan Timbalan Perdana Menteri lebih terserlah daripada tokoh kedua. Ini adalah kerana, fakta yang dikeluarkannya adalah lebih kemas dan berdasarkan pengalaman dan maklumat yang banyak telah menguatkan bahasa yang diatur. Tambahan lagi kebanyakkan ucapannya melihat kepada rakyat dan permasalahan mereka yang perlu diselesaikan. Manakala pihak Menteri Kewangan pula lebih berpihak kepada kerajaan, memanglah sebab beliau orang kerajaan, tetapi kurang menyebut tentang kebajikan rakat, yang disebut ialah rakyat mesti faham kenapa minyak perlu dinaikkan kerajaan, tanpa disedari bahawa kerajaan tidak mahu memahami kesusahan rakyat. Ini sekadar analisa yang saya perolehi menerusi debat semalam.
Fakta-fakta tentang petronas juga jelas dinyatakan, rakyat nampak dengan jelas betapa besar pendapatan petronas yang menjadi syarikat gergasi yang menanggung sepenuhnya kerajaan malaysia.
Dalam satu aspek yang sukar ditemui sepanjang perdebatan tersebut ialah, kenyataan-kenyataan tentang pandangan Islam berhubung kenaikkan harga minyak, ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis nabi serta juga tanggungjawab negara yang mempunyai bilangan umat Islam yang ramai. Agaknya pandangan saya ni kolot.......dalam orang berbincang tentang isu global kita nak suruh baca al-Quran, hadis dan lain-lain.....agaknya kolot ke tu? bagi saya balik kepada penyelesaian Islam adalah lebih syumul dan lengkap serta memenuhi semua ruangan kelemahan yang ada dalam penyelesaian manusia. Semoga pandangan ini dapat dikongsi oleh semua rakan-rakan.

Jumaat, Julai 11, 2008

TANDA KIAMAT

Tajuk : Ilmu Agama Akan Beransur-ansur Hilang
Daripada Abdullah bin Amr bin 'ash r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, "Bahawasanya Allah swt. tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah swt. menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain."
Penjelasan :
a) Hadis ini termasuk dari tanda-tanda hampirnya kiamat yang ramai manusia lupa dengannya.
b) Tandanya ialah kemelesetan ilmu, ini disebabkan oleh kematian ulama. Tetapi mati ulama memberi 3 makna iaitu :
1. Matinya ulama, dengan makna bercerai nyawa dari badan.
2. Ulama disekat dari memberikan ilmu, umpama dilarang berkuliah dan
berceramah,mungkinpemerintah antara yang terlibat memencenkan ulama.
3. Ilmu yang tidak diamalkan adalah juga bermaksud dengan kematian ulama. Apabila alim
ulama mengajar tetapi meninggalkan amalan terhadap ilmu tersebut.
c) Orang jahil akan memenuhi ruangan kosong para ulama, mereka berfatwa mengikut nafsu mereka, yang haram dihalalkan manakala yang halal diharamkan, manusia ketika itu amat jahil.
d) Orang jahil ini bukan sekadar menyesatkan dirinya sendiri, malah juga turut menyesakan orang lain.
Inilah kisah akhir zaman yang kita sedang memasuki pintunya sekarang, walaupun ramai yang yang tak sedar.
Semoga mendapat perhatian.
Akhukum Fil Islam : Shukri Harun

Rabu, Julai 09, 2008

MUBAHALAH

Ada Mufti kita yang mencadangkan supaya kes liwat ini diselesaikan dengan 'MUBAHALAH'. Ada juga yang membangkang dan ada juga yang menyetujuinya. Memang mubahalah ada implikasinya, dan implikasinya mungkin memenuhi ruang masa yang agak lama. Semuanya ada nas dan dalil masing-masing. Namun begitu masyarakat Islam tentu ada segelintir yang tidak mengetahui apakah sebenarnya 'mubahalah' itu. Pihak yang memberi cadangan sedang menyelinap masuk ke dalam kancah politik, walaupun beliau menafikan penglibatannya dan tidak mahu melibatkan diri dengan politik. Bila kita berani komen orang politik dan memberi pandangan tentang arus politk negara tidakkah kita sedang melibatkan diri dalam politik, cuma mungkin kita tidak dilabelkan berada di atas landasan mana.
Kita gusar juga, kalau-kalau kita digunakan oleh seseorang ataupun organisasi tertentu untuk menyerang seseorang tanpa menghadapi risikonya, tetapi kita yang menerima risikonya. Kalau begini keadaannya, kita perlu mengkaji semula penglibatan kita. Rasanya menerima hakikat kita kurang matang dalam politik amat perlu, agar kesilapan yang kita lakukan jika boleh dikatakan kesilapan, tidak berpusing menghala kita balik, dan langsung memberikan impak yang amat buruk.
Allah menyebut mengenai mubahalah dalam ayat 61 surah Al Imran, yang bermaksud : "[61] Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta.
Inilah ayat Al-Quran yang ada kaitan dengan 'Mubahalah'. Ayat ini pernah ditafsirkan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam kuliah-kuliah beliau di Masjid Rusila. Asal dan sebab diturunkan ayat ialah sempena kedatangan seramai 60 orang yahudi Najran, termasuk 14 orang pemimpin mereka menemui Rasulullah. Kisah ini ada dinyatakan oleh Ibnu Ishak dan dinaqalkan oleh Ibnu Kathir dalam tafsirnya.
Orang Yahudi ini telah berdebat dengan Rasulullah tentang kerasulan baginda serta juga kaitannya dengan kerasulan Nabi Isa alaihissalam. Mereka telah diajak oleh Rasulullah untuk membuktikan kebenaran Islam atau Kristian dengan bersumpah yakni mubahalah bersungguh-sungguh dengan laknat dari ALLAH terhadap sesiapa yang berbohong dan menyampaikan dakwaan palsu. Apabila Yahudi mendengarkan cabaran Rasulullah ini mereka telah balik berbincang dengan para ulama mereka, ternyata mereka gerun untuk bermubahalah kerana kata ulama mereka bahawa Rasulullah adalah sebenarnya nabi dan apabila mereka bermubahalah dengan Rasulullah maka kecelakaan akan ditimpakan atas mereka dan kaum mereka.
Inilah sedikit sebanyak kisah 'Mubahalah" yang telah dijelaskan dalam tafsir Ibnu Kathir dan dari kuliah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Semoga kita sama-sama mendapatkan sedikit peringatan dan penjelasan.
Apapun yang kita bicarakan di tengah-tengah masyarakat memang akan mempunyai dua kesan, baik atau buruk. Ada yang pada anggapannya bagus dan baik tetapi tidak baik baginya atau bagi sesetengah orang, dan ada yang beranggapan tidak baik tetapi sebenarnya bagus dan baik untuknya atau sesetengah orang, dalam firman ALLAH menerusi surah Al-Baqaroh ayat 216 ada menyebutkannya.
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.“
Kita juga perlu bimbang kalau-kalau apa yang dibicarakan di khalayak ramai mempunyai unsur-unsur tohmahan atau fitnah serta membawa perbalahan di kalangan masyarakat. Semoga kita sentiasa berhati-hati dalam membicarakan sesuatu terutama apabila kita sedang dinilai dan diperhatikan orang. Wallahu 'alam.

Isnin, Julai 07, 2008

PASANG SURUT POLITIK MALAYSIA

Assalamualaikum
Salam sejahtera buat semua rakan-rakan yang berjuang di tengah-tengah jalan da'wah yang penuh dengan ranjau dan duri, penuh dengan susah payah, jerit perit dan berbagai-bagai tribulasi yang boleh dirasai ketika dalam saf perjuangan.
Entah macamana apabila telah selesai pilihanraya, kesan-kesan/impaknya mula dirasakan, arusnya kadangkala laju dan kadangkala perlahan. Rakyat kitapun mengikuti perkembangan demi perkembangan. Berbagai-bagai spekulasi dan komentar yang dilontarkan di sana dan di sini, menerjah telinga semua yang peka dan prihatin dengan masalah masyarakat.
Kita juga menjadi pemerhati, pembaca dan pemberi komen terhadap semua yang berlaku. Semuanya bakal menjadikan kita matang dalam memerhati, dalam berfikir serta matang dalam bertindak.
Mutakhir ini isu lapuk mengenai 'liwat' yang dilontarkan kembali ke tengah masyarakat oleh pihak-pihak yang mempunyai banyak tujuan dan agenda tersendiri yang payah kita nak duga. Kebenarannya masih tidak dapat dipastikan kerana baru di peringkat report polis. Tetapi seandainya isu politik adalah isu sebenarnya, sememangnya setiap yang mendengar berita ini dikemundangkan perlu berfikir dan menganalisanya dengan sedalam-dalamnya.
Dalam ayat 12 Surah An-Nur Allah berfirman :
لو لاسمعتموه ظن المؤمنون والمؤمنات بأنفسهم خيرا وقالوا هذا افك مبين
(Kalaulah apa yang kamu dengar itu menjadikan orang beriman lelaki dan perempuan beranggapan baik terhadap diri mereka sendiri, dan berkata ini adalah satu berita bohong yang nyata - An Nur 12)
Ayat di atas ada kena mengena dengan Abu Ayyub dan Ummu Ayyub yang mendengar berita tuduhan zina terhadap Aisyah. Mereka telah melihat tuduhan itu terhadap diri mereka sendiri, kalau aku sendiri aku tidak akan melakukan zina, bagaimana pula dengan Aisyah isteri Rasulullah tentulah dia tidak mungkin melakukannya. Itulah yang dikatakan beranggapan baik.
Sikap inilah yang perlu dipegang oleh semua pihak, samada orang perseorangan, pemimpin, pihak akhbar dan lain-lain. Agar isu yang menyentuh kepribadian dan maruah seseorang tidak dilelong di tengah masyarakat untuk tujuan persendirian dan kepuasan nafsu.
Tetapai sebagaimana kita semua tahu, kita bimbang isu ini bukan liwat sebenarnya tetapi adalah isu politik, isu cantas dalam politik, kotor dalam permainan sesetengah pihak. Seandainya ada unsur-unsur ini, maka kita mengharapkan agar ALLAH menyelesaikannya dengan sebaik-baiknya dan memberikan kekuatan kepada sesiapa yang ditimpa atasnya musibah ini. Serta mudah-mudahan ALLAH menginsafkan sesiapa yang berniat tidak baik jika ada.